suria

Rebutlah ganjaran berlipat ganda pada 10 hari terawal Zulhijah

Bulan Zulhijah lebih sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidiladha iaitu melaksanakan ibadah korban namun terdapat ganjaran lain yang perlu diambil iaitu 10 hari terawal dalam bulan tersebut. Gambar hiasan.

MASYARAKAT pada hari ini dapat dilihat lebih mementingkan hal kebendaan berbanding mengejar apa yang dituntut oleh Rasulullah.

Pada duna akhir zaman ini, umat Islam seharusnya merebut ganjaran yang akan menjadi bekalan pada akhirat kelak tapi hal duniawi lebih diberi perhatian apatah lagi dengan adanya media sosial ketika ini yang tidak dimanfaatkan dengan betul.

Jika ada tawaran murah di gedung beli-belah pula yang menawarkan harga hebat dengan potongan diskaun berlipat kali ganda, ia lebih menjadi tumpuan yang sememangnya menguntungkan pembeli.

ARTIKEL BERKAITAN: Lakukan 6 amalan diajar Nabi SAW agar jadi penyelamat ketika meniti Titian Sirat

Maka berpusu-pusulah manusia sama ada yang mampu mahupun yang tidak mampu untuk menunaikan keinginan masing-masing.

Jika hal dunia kita boleh mencari dan berusaha bersungguh-sungguh kenapa soal akhirat kita jarang mengambil peduli walaupun tawaran yang sangat menarik diberikan oleh Allah kepada mereka yang sentiasa mencari redaNya.

Melakukan solat secara berjemaah juga antara perkara yang dituntut.

Antara tawaran hebat yang Allah berikan kepada kita dalam masa terdekat ini ialah kelebihan bagi mereka yang melakukan ibadah pada 10 hari terawal dalam bulan Zulhijah.

Firman Allah di dalam Surah Al-Fajr ayat ke 2 yang maksudnya; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Kata Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya.

Di dalam hadis Nabi pula menceritakan mengenai kelebihan 10 hari terawal Zulhijah melebihi berjihad di jalan Allah.

Sabda baginda Rasulullah: Tidak ada hari yang amal soleh yang lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini.

Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah?

Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid). - [Imam At-Tirmizi No 757].

Hadis menjadi dalil kepada beramal soleh pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah berbanding amalan-amalan pada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia adalah perkara yang paling disukai oleh Allah, maka ia adalah sesuatu yang afdal disisiNya.

Bagi kadar gandaan pahala pula Imam Al-Tirmizi dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadis daripada Al-Nahhas Bin Qahm, daripada Qatadah, daripada Ibnu Al-Musayyab, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda yang maknanya.

Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr. - [Imam At-Tirmizi No 758, Imam Ibn Majah 1728].

Amalan berpuasa pada 10 hari terawal Zulhijah akan mendapat gajaran pahala yang berlipat ganda. Gambar hiasan.

Namun, ulama hadis melemahkan Al-Nahhas Bin Qahm dan hadis ini termasuk dalam kategori hadis yang lemah akan tetapi dalam kelebihan untuk beramal maka ulama membenarkannya sebagai pemangkin untuk beramal dalam 10 hari terawal Zulhijah.

Antara amalan yang perlu dilakukan dalam 10 hari ini ialah:

1. Solat

Seharusnya kita melakukan solat berjemaah dan yang paling baik adalah di masjid dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.

Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. - [Imam Muslim].

2. Puasa

Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan. - [Imam Ahmad No 6/287].

Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. Takbir, Tahlil dan Tahmid

Ini kerana berdasarkan hadis Ibnu Umar yang mengatakan bahawa Rasulullah bersabda: Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah). - [Imam Ahmad No 5446].

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu, solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan ialah Pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Zulhijah, puasa

Artikel Lain