suria

Naskhah khas kumpulan hadis versi Braille catat sejarah negara

Ringkasan Sahih Al Bukhari adalah yang pertama dalam kod braille.

INDUSTRI penerbitan buku negara mencipta sejarah apabila sebuah kitab kod Braille dilancarkan untuk kegunaan golongan cacat penglihatan.

Kitab bertajuk Ringkasan Sahih Al Bukhari sebanyak enam jilid itu dihasilkan lengkap dengan terjemahan Bahasa Melayu adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Pegawai Pemasaran Kumpulan Pendidikan Sofa, Mohammad Tajul Ahmad Tajuddin memberitahu idea penghasilan kitab itu dalam bentuk Braille adalah kerjasama antara Kolej Islam As Sofa dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

ARTIKEL BERKAITAN: Hati sayu lihat artifak peninggalan Nabi Muhammad, pengunjung pameran rasa lebih ‘dekat’ dengan baginda

Terjemahan ke Bahasa Melayu pula dilakukan oleh Pengerusi Kolej Islam As Sofa sendiri iaitu Datuk Muhammad Fuad Kamaludin.

Jelas Mohammad Tajul, naskhah Ringkasan Al Bukhari itu mengambil masa kurang empat tahun untuk disiapkan kesemua enam jilidnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PERTIS, Dr. Zamzuri Ghani membaca Ringkasan Sahih Al Bukhari yang diterjemah dalam kod braille.

"Dewasa ini banyak usaha yang diambil untuk menerbitkan al-Quran dalam kod tulisan Braille tetapi kelainan yang ingin diketengahkan oleh kami dengan mengumpul hadis-hadis sahih, menyusunnya dan mencetak dalam bentuk kod Braille.

"Usaha ini Insya-Allah dapat dimanfaatkan oleh golongan cacat penglihatan Islam yang kini dianggarkan sekitar 100,000 orang," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammad Tajul berkata, selain dijual, pihaknya juga membuka peluang kepada orang ramai untuk membeli kitab tersebut sebagai sumbangan.

Katanya, setiap pembelian kitab tersebut ia akan diinfaqkan kepada Pertis serta kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, selain Ringkasan Al Bukhari, pihaknya turut melancarkan kitab Manaqib Syuyukh Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang juga hasil Muhammad Fuad yang juga Khalifah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara.

Kitab Manaqib Syuyukh Tarekat Ahmadiah Idrisiah.

Kitab itu katanya merupakan yang julung-julung kali dikeluarkan berkaitan manaqib insan-insan terpenting dalam Tarekat Ahmadiah Idrisiah iaitu syeikh-syeikh umum Tarekat Islamiah.

"Mereka adalah Qutb Dairah al Taqdis Imam Ahmad ibn Idris, Al Arif Billah Sayyid Abdul Ali ibn Ahmad ibn Idris, Sayyid Muhammad Al Syarif Al Idrisi, Sayyid Al Mirghani Al Idrisi dan Sayyid Al Hasan Al Idrisi.

"Buku berbentuk biografi ini merupakan khazanah yang melimpahkan kekayaan dan kehebatan Islam terutamanya dari sudut perjuangan dan dakwah.

"Ini kerana buku seumpama ini telah berjaya membongkar kisah sebenar perjuangan dan perjalanan tokoh-tokoh Islam yang telah menghijaukan tanah yang gersang dengan pohon ilmu, hikmah, ma'rifah, akal budi dan persaudaraan serta kasih sayang serata dunia," ujarnya.

Jika ingin mendapatkan kitab dan buku berkenaan boleh menghubungi 012-3271719.

Artikel Lain