suria

Dosa silam akan terhapus jika taubat diterima, maka berhijrahlah

Seseorang yang berhijrah untuk berubah menuju kebaikan dan sentiasa berdoa memohon keampunan akan mendapat keredaan Allah. Gambar hiasan.

AHAD lalu iaitu 1 Hijrah 1441, seluruh umat Islam menyambut Tahun Baharu.

Sambutan ini mempunyai kaitan dengan peristiwa baginda Nabi Muhammad SAW bersama  penganut Islam pada peringkat permulaan Islam berhijrah dari Mekah ke Yathrib iaitu nama asal Madinah.

Pada peristiwa ini juga bermulalah kiraan tahun mengikut bulan dalam Islam bermula.

Hijrah itu sendiri yang mana dalam Bahasa Melayu kita bermakna berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain atau dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.

Pada zaman awal kebangkitan Islam, Nabi SAW bersama sahabat berpindah dari satu tempat dan keadaan di mana ajaran Islam dan penganutnya ditekan, diejek, diseksa, dibunuh menuju ke satu tempat yang selamat.

Dengan kata lain, berpindah dari tempat yang tidak selamat kepada tempat yang selamat, dari tempat yang banyak berlaku penganiyaan dan kejahatan kepada tempat yang aman dan banyak kebaikan.

Mengambil semangat hijrah itu, maka sepatutnya begitulah kita hendaklah berhijrah dari satu keadaan yang tidak selamat untuk iman dan Islam kita kepada satu keadaan yang lebih selamat bukan sahaja untuk dunia bahkan untuk akhirat kita.

Dalam surah al Kahfi, penghuni gua lari kerana hendak menyelamatkan diri dari dibunuh dan menyelamatkan akidah dari dipaksa untuk menyembah berhala yang bukan Tuhan sebenar.

Mereka berhijrah dari satu keadaan iaitu tidak boleh mengamalkan agama yang sebenar kerana nak mempertahankan suatu kebenaran.

Tetapi bagaimana pula manusia sekarang? Adakah mereka berhijrah dari satu keadaan yang tak baik kepada keadaan yang baik atau sebaliknya?

Realitinya bagaimana?

Kalau kita perhatikan statistik Jabatan Pendaftaran Negara, pendaftaran anak luar nikah di Malaysia di mana lebih daripada 159,725 telah didaftarkan dalam tempoh 3 tahun bermula 2013.

Dalam statistik yang lain pula pada tahun 2017 sejumlah 4,992 kanak-kanak tidak sah taraf dilahirkan oleh remaja berumur bawah 18 tahun.

Kematian akibat kemalangan meningkat di Malaysia yang menunjukkan sebahagian pengguna jalan raya tiada akhlak ketika memandu dan sikap itu perlu diubah. Gambar hiasan.

Kalau kita tengok statistik kemalangan jalan raya di negara kita pula, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2013, Malaysia menduduki tangga ke-3 tertinggi berkaitan kematian yang melibatkan kemalangan jalan raya.

Seramai 23 orang bagi setiap 100,000 penduduk dan purata 14.4 kematian setiap hari dilaporkan.

Sepanjang musim perayaan pula, secara purata ia melibatkan 200 kematian. Lebih 80 peratus faktor kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh kesilapan manusia terutama memandu laju dan terbabas.

Di Malaysia, kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya merupakan penyebab kematian kedua selepas penyakit jantung.

Ini menunjukkan bahawa sebahagian pemandu kenderaan di negara kita kurang akhlak semasa memandu.

Mereka mungkin baik akhlak tetapi apabila memandu kenderaan akhlak mereka berubah.

Kita sepatutnya mengekalkan akhlak kita walaupun di mana sahaja kita berada.

Berhijrahlah sebab penghijrahan kita akan menyelamatkan nyawa dan nasib kehidupan manusia lain.

Nabi SAW bersabda orang Islam yang baik adalah yang menyelamatkan muslim yang lain melalui lidah dan tangannya.

Hadis ini menggunakan perkataan lidah bagi merujuk apa-apa sahaja perkataan yang keluar dari mulut kita atau zaman internet ini ialah tulisan, foto dan sebagainya.

Juga hadis ini menggunakan perkatan tangan yang menunjukkan sebarang perbuatan hendaklah dijaga jangan sehingga melanggar hak orang lain.

Bagaimana nak hijrah jadi baik?

Mungkin ada dalam kalangan kita yang beranggap diri itu jahat.

Mereka mungkin berkata: “Aku ni jahat, aku ni tak berakhlak, aku ni teruk perangai macamana nak hijrah?”

Untuk soalan itu, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang  Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberinya kefahaman dalam agama” - [HR Bukhari dan Muslim]

Maksudnya Allah yang nak hijrahkan kita ke arah kebaikan bukan orang lain tetapi Allah.

Apabila disebut Allah yang nakkan kita berhijrah maka tiada apa-apa yang boleh menghalang kita jadi baik melainkan Allah sahaja.

Kedua, apabila Allah nak kita jadi baik, Allah akan berikan kita kefahaman tentang agama Islam.

Kalau begitu macam mana kita nak dapatkan kefahaman agama? Sudah tentulah ke majlis ilmu. Majlis ilmu diadakan di mana? Maka carilah surau masjid, carilah radio Ikim, tontonlah program agama di TV Alhijrah, tengoklah YouTube ceramah agama oleh ustaz yang muktabar.

Dalam satu hadis nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mempersiapkan dirinya untuk menuntut ilmu maka Allah akan mempermudahkan jalannya ke syurga...”

MasyaAllah! Rupa-rupanya Allah nak bagi kita syurga, maka Allah mempermudahkan jalan kita ke syurga. Jom kita ke majlis ilmu.

Allah berfirman dalam beberapa surah tentang orang yang berilmu: “Hanya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu” - [Al-Faatir:28]

“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu” - [Az-Zumar:9]

“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang orang yang diberikan ilmu pengetahuan bererti dia telah diberikan kebaikan yang banyak” - [Al-Baqarah:269]

Justeru apabila kita faham tentang agama, maka kita akan menuju melalui jalan yang benar dan memperbaiki cara hidup kita kepada cara hidup yang benar iaitu cara hidup Islam.

Akan ada batasan halal, haram, makruh dan perkara yang digalakkan.

Maka bertaubatlah dan berhijrahlah kita daripada jalan yang salah, cara hidup yang salah dan perbuatan yang salah.

Apabila Allah terima taubat kita maka tidak ada lagi dosa-dosa kita yang lalu, Allah akan hapuskan dari catatan amalan kejahatan kita.

Tidak macam sikap manusia, masih ingat lagi kisah hitam walaupun telah dimaafkan.

Ingatlah bahawa apabila dosa kita diampunkan Allah, maka kita akan dicintai oleh Allah.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 222: “Sesungguhnya Allah cintakan orang- orang yang selalu bertaubat dan orang-orang yang selalu mensucikan diri.”

Jika Allah sayangkan kita apa lagi yang kita mahukan dalam hidup ini? Tidak seperti bagaimana sayang daripada seseorang manusia bersyarat, bersifat sementara.

Kalau kita cantik maka kita disayangi tapi apabila dah tua kerepot hilanglah sayangnya.

Kongsikan artikel ini semoga menjadi amal jariah kita. Wallahua’lam

Maal Hijrah, Nabi Muhammad SAW, doa

Artikel Lain