suria

Syukurilah nikmat kemerdekaan negara berpandukan syariat Islam

Malaysia bakal meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-62 pada 31 Ogos ini. Foto BERNAMA

TANGGAL 31 Ogos ini Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-62. Keamanan dan kesejahteraan dikecapi oleh rakyat Malaysia haruslah disyukuri dengan baik.

Ini kerana, ramai yang diluar sana cemburukan Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan budaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Generasi baharu akan tersasar jika akidah tidak dijaga! 4 panduan ini dapat membantu

Walaupun begitu Malaysia menjadi negara yang makmur dan aman jauh daripada sifat-sifat yang boleh menghancurkan negara. Ini semua disebabkan rakyatnya mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain.

Sebagai penduduk negara yang bertuah ini, marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian supaya nikmat itu berkekalan. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 14: Jika kalian bersyukur nescaya akan Ku tambah (nikmatku) pada kalian, dan jika kalian mengingkari (nikmatku), maka pasti azabKu sangat pedih.

Keselamatan dan kedaulatan negara dijaga dengan sepenuh hati,jiwa raga oleh pihak berkuasa.

Memaknai erti kemerdekaan itu sendiri, kemerdekaan adalah satu bangsa atau umat mendapat kebebasan daripada sebarang bentuk penjajahan dari segi jasmani mahupun rohani.

Bersyukurlah, hari ini kita boleh bangun daripada tidur dengan tenang, berpakaian kemas, berkereta ke pejabat, bekerja dalam hembusan penghawa dingin dengan selesa dan pada petangnya balik ke rumah bertemu insan tersayang.

Keselamatan dan kedaulatan negara dijaga dengan sepenuh hati, jiwa raga oleh pihak berkuasa dan semestinya tanpa mereka, lena kita tidak mungkin setenang ini, makan kita tidak mungkin senikmat ini.

Haruslah diingat bahawa untuk hidup dalam keadaan harmoni, ia menuntut warganya saling kenal mengenali, meraikan perbezaan pendapat dan mengelakkan sentimen perkauman yang boleh membawa kepada perpecahan.

Inilah keindahan agama Islam dan syariatnya dalam mengatur kehidupan umatnya.

Generasi baharu adalah harapan negara pada masa hadapan. 

Firman Allah didalam Surah Al-Hujarat ayat 13: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.

Sebagai umat Islam dan warganegara yang merdeka hendaklah kita terus berusaha mempertahankan nikmat kemerdekaan ini dengan memelihara keharmonian serta perpaduan rakyat majmuk berbilang kaum, bangsa, budaya, pegangan juga adat resam.

Beruntunglah umat Islam yang beriman jika mengisi dan memaknai erti kemerdekaan ini dengan acuan dan panduan ajaran islam kerana sempurnanya landasan syariat islam telah mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, menjadi satu kewajipan bagi orang Islam untuk sentiasa berada dalam keadaan suci dan bersih. Ini kerana sabda baginda Rasulullah: Sesungguhnya Allah itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, dia menyukai kemuliaan. - [At-Tarmizi: 2799].

Kita perlu mengekalkan keharmonian di antara kaum. 

Bersih bukan sahaja daripada aspek tubuh badan tetapi juga bersih meliputi soal akhlak, integriti, pemikiran dan segala bentuk kejahatan.

Malaysia tidak akan maju jika masyarakatnya masih mengamalkan rasuah. Malaysia tidak akan berjaya jika masyarakatnya mempunyai sifat-sifat yang buruk. Malaysia tidak akan maju jika masyarakatnya tidak berilmu.

Oleh itu tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih adalah bertepatan untuk mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Merdeka… Merdeka… Merdeka…!

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia (YADIM)

Artikel Lain