JEMAAH haji mula berangkat pulang ke tanah air secara berperingkat bermula minggu ini dan mudah-mudahan mereka dikurniakan haji mabrur yang menjadi keutamaan setiap jemaah. Semoga Allah mengurniakannya dan memakbulkan doa yang dipanjatkan sepanjang berada di Tanah Suci. Pastinya, kepulangan jemaah akan disambut ahli keluarga dan sanak saudara yang merindui mereka. Justeru, pelbagai cenderahati atau oleh-oleh dibawa pulang. Paling diinginkan adalah tamar atau kurma ajwa, ambar, rotab dan semestinya air zamzam. Lazimnya, air zamzam lima liter dan senaskhah al-Quran akan diberi secara percuma kepada setiap jemaah haji. Bekalan air zamzam biasanya tidak mencukupi bagi menampung keperluan tetamu yang bertandang untuk bertanya khabar insan yang baru bergelar haji dan hajah. Setiap individu yang mengunjungi Makkah bagi tujuan mengerjakan haji atau umrah sentiasa dibekalkan dengan air zamzam. Justeru, ramai yang akan membawa lebih daripada dibekalkan. Satu daripada caranya adalah menerusi khidmat pos yang disediakan di Tanah Suci. Itu cara terbaik untuk mendapatkan air zamzam. Dengan hanya SR120 jemaah boleh mengepos air zamzam 10 liter dari Tanah Suci ke kediaman mereka di Malaysia. InsyaAllah, air zamzam dan segala barangan yang dipos dari Tanah Suci akan tiba di tanah air dalam tempoh dua minggu. Bagaimanapun, jemaah dinasihatkan agar menyimpan resit atau bukti pos kerana dikhuatiri barang lewat sampai atau tidak mengikut jadual. Air zamzam juga boleh dibawa secara hand carry oleh setiap jemaah ketika hendak pulang ke tanah air. Ramai yang bimbang, tidak percaya dan ragu-ragu kerana menganggap cecair melebihi 100 milileter (ml) tidak boleh dibawa naik ke dalam pesawat. Bagaimanapun, usah terlalu banyak membawa air zamzam secara hand carry. Cukup dengan sebotol atau dua botol bersaiz tidak melebihi 1 liter. Kakitangan lapangan terbang tidak akan merampas atau meminta anda meninggalkan botol air yang dibawa kerana mereka juga yakin yang dibawa adalah air zamzam. Jika anda membawa sebotol dua air zamzam secara hand carry, tidak mengapa tetapi apa yang tidak boleh adalah meletakkan berbotol-botol air zamzam di dalam bagasi besar yang hendak dimuatkan di dalam perut kapal terbang. RAIHANAH ABDULLAH PEMBIMBING JEMAAH HAJI DAN UMRAH WANITA Saya lihat, sebahagian besar jemaah akan membuang air zamzam di lapangan terbang sebelum memasuki pemeriksaan bagasi di bahagian pelepasan. Ramai jemaah tidak yakin air zamzam boleh dibawa secara hand carry sehingga meletakkannya di mesin pengimbas sebelum meletakkan bagasi dan melalui pemeriksaan tubuh. Ini amat merugikan. Pernah saya beberapa kali menasihatkan jemaah membawa masuk saja air zamzam secara hand carry tetapi tidak diendahkan kerana mereka tidak percaya dan akhirnya mereka kesal meninggalkan air itu di mesin pengimbas setelah melihat air zamzam yang saya bawa tidak diambil atau dilarang dibawa masuk ke dalam pesawat. Jika anda membawa sebotol dua air zamzam secara hand carry, tidak mengapa tetapi apa yang tidak boleh adalah meletakkan berbotol-botol air zamzam di dalam bagasi besar yang hendak dimuatkan di dalam perut kapal terbang. Ini bukan saja menyebabkan lebihan muatan pada bagasi jemaah tetapi menimbulkan pelbagai kesulitan jika pihak pengurusan lapangan terbang berjaya mengesan ada air zamzam di dalam bagasi menerusi mesin pengimbas. Jemaah haji atau umrah berpeluang menikmati air zamzam yang disediakan di Makkah dan Madinah. Jika keadaan ini berlaku, jemaah diminta mengeluarkan air zamzam di dalam bagasi. Jika tidak dikesan awal, dikhuatiri air zamzam yang dibawa boleh tumpah sehingga boleh menjejaskan bagasi jemaah lain. Sehubungan itu, air zamzam tidak boleh dimasukkan ke dalam beg besar dan usah sekali-kali memandang ringan perkara seumpama itu. Masih ada jemaah yang bertanya perihal memuatkan air zamzam di dalam bagasi besar dan sanggup melakukannya dan kadangkala berdegil kerana menganggap selamat melakukannya. Jika bernasib baik, anda mungkin terlepas dan air zamzam yang dibawa tidak menjejaskan bagasi lain tetapi bayangkanlah jika ia berjaya dikesan ketika daftar masuk, sudah tentu ini menyulitkan semua jemaah lain kerana ia melambatkan keseluruhan proses daftar masuk dan seterusnya penerbangan. Justeru, usah sekali-kali mementingkan diri kerana sifat ini boleh menyusahkan jemaah lain. ***Raihanah Abdullah ialah pembimbing jemaah haji dan umrah wanita.