SETIAP pasangan yang berkahwin pasti pernah berhadapan dengan perselisihan faham dalam berumah tangga. Itu perkara biasa. Di sebalik itu, ada pula pasangan yang mengalami situasi hubungan mereka sentiasa 'panas' tanpa sebab-sebab munasabah. Lebih pelik apabila berjauhan rasa rindu menggebu, apabila dekat seperti mahu berperang. Jika ada pasangan yang sentiasa berasa tidak kena dalam rumah tangga mereka tanpa sebab munasabah, mudah marah dan lebih teruk apabila timbul prasangka buruk sehingga timbul perasaan benci, mungkin anda perlu bertenang sebentar. ARTIKEL BERKAITAN: Kes cerai meningkat, Jakim anjur kursus agar suami-isteri lebih intim Situasi tegang itu tidak mustahil disebabkan oleh gangguan dan perbuatan iblis penghasut rumah tangga yang dikenali sebagai Dasim. Siapa sebenarnya Dasim? Makhluk itu adalah iblis yang tidak suka melihat kedamaian dan kasih sayang di antara suami isteri. Ada beberapa tanda yang boleh dikenal pasti akibat gangguan iblis Dasim dalam rumah tangga. Menjadi tugasnya untuk menghasut serta menyemarakkan api kemarahan dan kebencian dalam diri suami isteri agar rumah tangga mereka berpecah belah. Lebih menakutkan Dasim gemar menghasut wanita yang dalam keadaan haid, sedang mengandung atau ketika berpantang yang mana keadaan emosi mereka mudah terganggu. Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, bahwa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah satu dari bala tenteranya dan berkata. "Aku telah melakukan begini dan begitu". Iblis bekata, "Engkau sama sekali tidak melakukan apa-apa". "Kemudian datang yang lain dan berkata; "Aku tidak meninggalkannya hingga aku berhasil memisahkan dia dan isterinya." Maka iblis mendekati dan berkata; "Sunggah hebat (syaitan) seperti engkau." - [HR Muslim]. Perlu diketahui oleh semua pasangan suami isteri bahawa betapa bijaknya Dasim ini dalam berusaha menggunakan pelbagai cara untuk menganggu keharmonian sesebuah rumah tangga. Malah iblis itu sentiasa berusaha membuat kacau, menghasut hati, membisikan sesuatu keburukan untuk melihat perceraian dalam rumah tangga. Dasim juga gemar mengikut apa sahaja aktiviti dilakukan pasangan dalam rumah mereka termasukla dia akan ikut serta makan makanan dihidangkan sekiranya mereka tidak membaca doa. Pergaduhan dalam rumah tangga adalah satu perkara yang amat disukai oleh iblis bernama Dasim. Gambar hiasan. Bagaimanapun pasangan suami isteri boleh berwaspada dengan kehadiran Dasim dalam memastikan keharmonian rumah tangga terjamin. Berikut adalah beberapa petanda perkahwinan anda diganggu iblis Dasim 1. Suasana rumah tangga tidak harmoni dan penuh dengan emosi negatif seperti suami isteri mudah marah tanpa sebab. 2. Suami atau isteri sering berfikiran negatif terhadap pasangan selain berasa was-was, ketakutan serta curiga apabila pasangan di luar rumah. 3. Berlaku maksiat di dalam rumah seperti gemar menonton pornografi tanpa rasa segan atau pun liat melakukan ibadat serta pasangan bersikap malas sehingga keadaan rumah tangga terbiar. 4. Solat tidak khusyuk juga boleh menjadi petanda gangguan Dasim seperti terlupa rakaat solat dan perkara itu berlaku berulang-ulang. Amalan yang boleh kita lakukan bagi mengelak daripada termakan hasutan dan gangguan Dasim. 1. Apabila timbul salah faham dengan pasangan jangan dipanjangkan dengan bermasam muka sebaliknya belajar untuk segera memohon maaf. 2. Setiap kali menikmati makanan cuba amalkan membaca doa, terapkan dalam diri anak-anak agar menjadi kebiasaan bagi mengelak gangguan Dasim ketika makan. 3. Apabila sedang marah, seseorang perlu mengucap dua kalimah syahadah, beristighfar serta asingkan diri seketika untuk bertenang selain redakan api kemarahan itu dengan mengambil wuduk dan melakukan solat sunat dua rakaat. 4. Sentiasa berdoa kepada Allah selepas solat untuk minta dijauhkan daripada pengaruh jahat dan bisikan Dasim. 5. Bilik kosong dalam rumah jangan dibiarkan terutamanya yang mempunyai katil dan selimut. Ini kerana jin atau iblis suka menyorok dalam selimut. Rasulullah juga pernah berpesan agar kita ketuk serta libas selimut serta bantal sebelum naik ke atas katil. Selain melakukan solat dan berzikir di dalam bilik yang tidak berpenghuni. 6. Amalkan membaca surah Yasin dan al Quran di dalam rumah serta memberi salam dan berdoa ketika masuk ke dalam rumah iaitu; Assalaamu'alaina wa'ala 'ibaadillaahish shoolihin. (Semoga salam sejahtera tercurah kepada kami dan hamba-hamba Mu yang soleh).