MATI… Setiap benda yang bernyawa pasti akan menemui detik kematian yakni permulaan untuk seseorang itu menempuh alam Barzakh dan juga alam akhirat sebelum ditempatkan sama ada syurga atau neraka. Tiada sesiapa pun yang hidup akan mengetahui saat kematian kerana ia menjadi rahsia Allah bagi membolehkan umat manusia itu sentiasa mengisi masanya untuk melakukan amal kebajikan dan suruhanNya sebagai bekalan di akhirat nanti. ARTIKEL BERKAITAN: Dasim perosak rumah tangga... Ketahui cara elak hasutan iblis laknat ini Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. - [Surah al-A’raf, ayat 34]. Dan turut disebut juga berkenaan mati yang dikaitkan kiamat semakin hampir apabila banyaknya berlaku kematian mengejut. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya di antara tanda-tanda hari kiamat ialah… munculnya kematian mengejut. - [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir - 1132]. Adakah kita tahu bagaimanakah proses iaitu saat malaikatulmaut atau Izrail mencabut nyawa sehinggalah roh seseorang dibawa ke alam Barzakh untuk disoal malaikat Mungkar dan Nakir? Begini proses-prosesnya 1. Selepas mendapat perintah daripada Allah, malaikatulmaut akan mendatangi umat manusia untuk mencabut nyawa dalam dua keadaan bergantung kepada amalan seseorang. Jika dia hadir dalam keadaan wajah berseri-seri, ini bermakna si mati seorang yang beriman. Namun jika hadirnya dalam keadaan bengis, maka ketahuilah si mati bahawa dia adalah orang kafir atau fasiq iaitu membawa banyak dosa. 2. Seseorang itu mula rasa kosong dalam badannya bermula dari bahagian kaki sehinggalah nyawa sampai ke kerongkong. Ketika di kerongkong, segala amalan taubatnya tidak lagi diterima Allah. Roh di alam Barzakh akan mendengar tapak kaki orang hadir ke pengebumian jasadnya dan selepas tapak kaki terakhir tidak lagi kedengaran, dua malaikat akan hadir untuk menyoal. Gambar hiasan. 3. Sebaik sahaja roh dicabut, ketika itu manusia akan dapat melihat dua keadaan iaitu alam nyata dan alam ghaib. 4. Malaikatulmaut bersama sekumpulan mailaikat rahmat (bagi si mati yang beriman) dan malaikat azab (jika si mati orang fasiq) akan membawa roh untuk dipersembahkan kepada Allah di langit ketujuh. 5. Ketika tiba di langit pertama, malaikat penjaga langit akan membuka pintu sambil memuji-muji roh si mati yang berbau haruman syurga dan begitulah di langit berikutnya sehinggalah di langit ketujuh. Namun jika si mati ialah orang yang fasiq, pintu langit tidak akan dibuka sebaliknya roh tersebut akan mendapat penghinaan oleh malaikat penjaga langit selain baunya juga busuk. 6. Seterusnya malaikat akan membawa buku amalan seseorang untuk dipersembahkan kepada Allah dan ia akan diletakkan di dua tempat yang diberi nama Illiyin - untuk orang soleh dan Sijjin - bagi mereka yang fasiq. Buku-buku amalan ini akan diturunkan pada hari kiamat kelak untuk dihitung di Mahsyar. Ia disebut dalam surah Al-Mutaffifiin yang maksudnya; Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam Sijjin. - [Surah Al-Mutaffifiin, ayat 7]. Dan seterusnya berkenaan Illiyin dalam surah yang sama juga disebut dan maksudnya; Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam Illiyiin. - [Surah Al-Mutaffifiin ayat 18]. 7. Roh yang diangkat ke langit tadi akan dibawa turun semula oleh malaikat untuk proses seterusnya di alam Barzakh iaitu sebuah destinasi transit sebelum tibanya hari perhitungan iaitu kiamat. 8. Selepas selesai pengebumian, jasad yang disemadikan di tanah perkuburan tadi akan mendengar bunyi tapak kaki orang yang mengiringinya untuk pengebumian sehinggalah bunyi tapak kaki orang terakhir meninggalkan tanah perkuburan sebelum tibanya dua malaikat Munkar dan Nakir. Buku amalan seseorang yang meninggal dunia akan diangkat ke langit untuk dipersembahkan kepada Allah sebelum disimpan di tempat bernama Illiyin iaitu bagi golongan orang soleh dan Sijjin untuk mereka yang fasiq. 9. Si mati akan dibangkitkan dalam keadaan duduk dan disoal dengan keras tanpa belas ihsan oleh Munkar dan Nakir. Diceritakan mata kedua-dua malaikat itu berwarna kebiru-biruan, badannya hitam melekat dan kemunculan mereka amat menakutkan si mati. Di tangan mereka berdua ada penukul daripada besi yang kalau dikumpulkan seluruh manusia dan jin, tidak akan mampu mengangkatnya. Jika penukul itu dihumban ke atas gunung, maka ranaplah gunung itu. 10. Semasa Munkar dan Nakir bertanya soalan, ketika itulah segala amal ibadat dan al-Quran akan hadir untuk menjawabnya malah jika sesiapa yang mengamalkan bacaan surah al-Mulk setiap malam sebelum tidur, maka surah itu yang akan menjadi pelindung daripada seksaan kedua-dua malaikat tersebut. 11. Terdapat dua jenis roh manusia iaitu roh mun'ammah dan mu'azzabah. Mun'ammah ialah roh orang yang mendapat nikmat Allah dan boleh menjawab soalan di alam Barzakh. Roh mu'azzabah pula bagi mereka yang akan memperoleh seksaan dan azab yang tak terperi sakitnya. 12. Bagi umat Islam yang dapat melepasi ujian di alam Barzakh itu, maka kuburnya yang sempit akan diluaskan saujana mata memandang dan terbinalah ia taman-taman syurga yang serba indah lagi menarik. Ketika itu Allah hadirkan amalan baik yang bentuknya seperti orang yang disayangi untuk menjadi peneman di taman syurga itu sehinggalah tibanya hari kiamat. 13. Bagi golongan fasiq, mereka akan ditempatkan di lubang-lubang neraka yang antara siksaannya ialah menjadi makanan api neraka, lemas dalam sungai darah selain mereka akan mencederakan diri sendiri dengan cara memotong pipi sehingga ke leher menggunakan pisau tajam dan besar. 14. Bagi orang beriman yang tinggal di taman syurga pula, mereka akan diperlihatkan mahligai indah masing-masing yang sudah dibina di alam syurga. Maka mereka akan sentiasa berdoa agar dipercepatkan hari kiamat untuk membolehkan mereka segera memasuki mahligai indah itu. 15. Penghuni alam Barzakh akan terus mendapat ganjaran pahala berterusan menerusi amal dilakukan ketika dunia iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang ditinggalkan dan doa daripada anak-anak yang soleh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: Sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya. - [HR Muslim, bilangan (3092) daripada Abu Hurairah]. Semoga kita semua dapat meningkatkan amalan agar perjalanan untuk menuju ke alam Barzakh dan akhirat akan menjadi lebih mudah. Kongsilah ilmu bermanfaat ini mudah-mudahan kita mendapat ganjaran atas niat yang baik.