suria

Mandi bogel antara 14 perkara jadi punca jin dekati manusia

Umat Islam digalakkan mandi dengan cara menutup pada bahagian kemaluan untuk mengelak gangguan jin. Selain itu doa masuk tandas juga antara yang perlu dijadikan amalan. Gambar hiasan.

SALAM semua pembaca mStar Online. Artikel kali ini kita akan lihat pula sebab-sebab kenapa jin gemar mengganggu manusia sama ada bayi, remaja, orang tua, muda, lelaki dan wanita.

Jahat sungguh jin atau syaitan ni. Sebab tu Allah dah isytiharkan bahawa jin syaitan itu adalah musuh utama manusia.

Tetapi malangnya ada sebahagian manusia yang bertuhankan jin syaitan dan meminta pertolongan dan perlindungan daripada mereka.

Lebih jahat lagi menggunakan jin syaitan untuk merosakkan manusia lain atau perniagaan mereka dengan menghantar santau kepada orang lain kerana hasad dengki yang kesumat dalam hati mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebatnya sabar, 90 kali disebut dalam al-Quran! Allah sediakan mahligai bawahnya mengalir air sungai

ARTIKEL BERKAITAN: Tutup makanan dan pintu rumah... Elak kediaman diganggu jin dengan 7 amalan ini

Jadi, kenapa jin syaitan sangat suka mengganggu manusia?

Mesti ada sebabnya. Sebelum itu kita perlu tahu bahawa memang kerja jin syaitan dan dia telah bersumpah dengan Allah akan menganggu, menyesatkan manusia, menyuruh melakukan perkara yang dimurkai Allah.

1. Boleh jadi jin jatuh cinta kepada manusia

Jin betina akan masuk ke dalam badan manusia lelaki dan jin jantan akan masuk ke dalam badan manusia perempuan. Kenapa dia boleh jatuh cinta? kerana ada kesamaan antara aktiviti atau perlakuan manusia yang menyerupai perlakuan jin seperti bersolek seperti jin, berpakaian seperti jin menggunakan topeng-topeng seperti jin syaitan dan sebagainya.

Jin akan mudah merasuk dalam diri manusia terutama bagi mereka yang lemah semangat. Gambar hiasan.

Sebab tu Nabi Muhammad SAW menyarankan supaya kita menutup aurat. Nabi SAW juga melarang kita mandi telanjang kerana bimbang jin berkenan dan jatuh cinta dengan manusia. Terdapat satu kes di mana remaja perempuan ini cantik dan dia dimasuki jin. Apabila disuruh keluar dari badan, jin tu tak mahu keluar dan wanita itu menangis teresak- esak. Katanya: “Kalau aku keluar nanti remaja ni akan kahwin dengan manusia.”

Tapi akhirnya dia keluar dan dinasihatkan supaya memeluk Islam dan kahwin dengan jin muslimah. Mana boleh jin kahwin dengan manusia!

2. Orang yang selalu melakukan perkara syirik kepada Allah

Golongan yang suka melakukan perbuatan syirik akan didekati jin. Antara perbuatan syirik itu seperti suka membuat ramalan, melakukan amalan dan kepercayaan yang membawa kepada terjadinya syirik atau menyekutukan Allah.

3. Jin keturunan atau kita panggil jin saka

Jin ini diwarisi oleh datuk nenek seseorang dan apabila datuk dah sakit atau meninggal, jin itu akan cari pengganti badan keluarga yang lain.

Bukan setiap orang yang akan dimasukinya tetapi jin pun ada kriteria orang yang akan dipilihnya. Iaitu yang ada kesamaan perlakuan seperti jin. Contohnya jika seseorang itu panas baran, selalu marah marah, terlalu sedih, depresi, jarang baca al- Quran, malas solat, berpakaian seksi dan suka mendengar muzik haram dan sebagainya.

Minggu lepas Alhamdulillah dengan izin Allah saya keluarkan jin saka dari seseorang yang diwarisi oleh datuknya. Asalnya datuknya bela jin itu dengan memberi makan buah-buahan dan memujanya. Nauzubillah amalan syirik kepada Allah. Datuknya sakit kemudian jin itu dipindahkan kepada emaknya.

Hati-hati berjumpa bomoh kerana ada diantaranya menggunakan jin sebagai pendamping. Gambar hiasan.

Emask dandan ayahnya pun turut sakit, disuruh buang emaknya cakap sayang kat jin tu. Astaghfirullah! Apabila cucunya sendiri diganggu dan dah masuk dalam badan dia barulah jumpa saya. Alhamdulillah akhirnya jin saka tu dikeluarkan dari badan dengan izin Allah.

Akibat gangguan jin itu, si cucu tadi mengalami kesakitan setiap kali mendengar azan, mendengar bacaan al-Quran, ketika mengambil wuduk dan ketika bersolat.

4. Jin rasa disakiti

Sebab tu nabi SAW menegah kita kencing atau buang air besar dalam lubang-lubang atas tanah, atau atas tulang-tulang yang mana ini  merupakan makanan mereka. Ataupun boleh jadi kita tinggal di lokasi kediaman jin.

Pernah berlaku dalam rumah saya sendiri yang menjadi tempat tinggal keluarga jin. Sebab tu sebenarnya kita kena periksa dahulu kalau nak sewa atau beli rumah.

5. Jin zalim

Memang terdapat dalam kalangan jin perangai mereka macam gengster iaitu kerjanya buat jahat je terhadap manusia. Anak saya bulan lepas eksiden kereta dipulasnya stering kereta dan langgar dua batang pokok sehingga tumbang pokok tu. Anak saya alhafiz (hafal al-Quran) pun diganggunya. Tapi dia tak ada apa-apa kecederaan kerana Allah menjaganya, 30 juzuk ayat Allah di dalam dadanya.

6. Jin yang dikirim ahli sihir, dukun, pawang, bomoh

Sama ada melalui makanan, minuman, ditanam di rumah kita dan sebagainya yang kita namakan santau. Ni sangat banyak berlaku dalam masyarakat kita dek kerana hasad dengki yang amat tinggi dengan cara berjumpa bomoh dan santau menggunakan khidmat jin. Nauzubillah!

7. Ritual pengisian ilmu hitam dan tenaga dalam

Ada pelajar diploma saya satu masa dia balik kampung pada cuti semester dan menyertai pertandingan silat. Maka gurunya masukkan dua ekor jin dalam badan dia supaya kuat dan akhirnya dia menang pertandingan tu.

Barang-barang lama atau purba sering dikaitkan mempunyai jin kerana ia dipercayai dipuja suatu ketika dahulu. Gambar hiasan.

Tapi apabila dia balik ke kolej, pelajar tadi selalu mengganggu orang dan setiap kali nak exam dia akan elakkan diri selain kerap sakit meracau-racau sehingga tak boleh nak jawab peperiksaan. Ini menunjukkan jin akan gagalkan manusia dari pembelajaran dan ilmu yang dicari. Akhirnya terpaksa menangguh tiga semester dan akhirnya gagal tamatkan diplomanya.

8. Menyimpan barangan lama atau barang purba

Memiliki benda pusaka yang dimasukkan jin seperti keris lama, batu akik, kepala lembu, rusa atau kambing yang disangkuk di dinding. Benda ni mengundang jin. Semalam saya berhenti solat di satu surau R&R dan terlihat kedai barang antik. Ada pakcik bercakap dengan saya katanya dia ada beli keris lama dan berjumpa dengan seorang ustaz dan katanya keris tu ada penunggunya ni. Terkejut dia!

9. Jumpa dukun atau bomoh

Sering mendatangi dukun, bomoh, pawang yang menggunakan khidmat jin syaitan. Kemungkinan besar seseorang itu akan dimasuki jin. Upacara mandi bunga pun akan menyebabkan jin dimasukkan dalam badan kita supaya nampak cantik dan sebagainya.

10. Jiwa kosong

Sering melakukan maksiat mendengar lagu dan muzik haram dan tidak ada benteng pertahanan dari jin malahan mengundang makhluk itu. Perokok juga akan didampingi jin kerana bukan dia sahaja yang menghirup asap rokok kerana asap itu adalah makanan jin.

11. Berasa takut

Sering berasa takut yang teramat atau terlalu sedih, lalai atau sering marah-marah. Sebab marah adalah senjata tajam jin syaitan dalam merosakkan manusia.

12. Masuk dalam badan kerana ‘ainul hasad’

Jin masuk ke dalam badan kita kerana “ainul hasad”. Jin itu dari orang yang hasad dengki kepada kita atas pelbagai sebab seperti kita lebih kaya dari dia, lebih senang, lebih pandai, lebih cantik dari dia dan dia mempunyai jin maka jinnya akan masuk ke dalam badan kita ketika dia memandang kita dengan penuh kedengkian, hasad, marah, cemburu dan benci. Sebab tu kita jangan menunjukkan kelebihan kita dengan niat yang salah dan kita tidak ada penbentengnya.

13. Amalan salah

Melakukan amalan yang menyalahi sunnah seperti bepuasa putih selama 7 hari berturut-turut disertai dengan buka puasa bersama nasi putih dan makan nasi putih dengan tujuan untuk mendapat kekebalan tertentu.

Membaca ayat al-Quran dengan cara terbalik atau menukar ayat-ayat Quran dan sebagainya. Ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW bahkan ia mendatang kemurkaan Allah dan disukai oleh jin syaitan.

Secara umumnya jika kita tidak melakukan sebab-sebab di atas insyaAllah kita akan dijauhi dari gangguan jin syaitan tetapi kalau dah ada gangguan maka kita masti halau atau buangkan jin tu.

Sebarang pertanyaan boleh whatsapp ustaz di 011-1144 8987 untuk memohon kesembuhan dari Allah dari gangguan jin dari badan, rumah, kenderaan, pejabat dan sebagainya.

Dengan izin Allah, insyaAllah, Allah akan berikan kesembuhan. Kita hendaklah yakin bahawa Allah berfirman:  “Dan kami turunkan al-Quran sebagai ubat kesembuhan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” - [al-Isra’:82].

Silakan kongsi sebanyak mungkin semoga menjadi sebahagian amalan soleh kita. Wallahua’lam.

***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.

jin, iblis, syaitan, mandi, bogel

Artikel Lain