suria

Jika ada 4 tanda ini... Benarlah anda orang yang mencintai Rasulullah

Mencintai Rasulullah merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan semuanya mengaku ingin mencintainya.

SESEORANG yang hamil boleh diketahui akan kehamilannya dengan melihat tanda-tanda seperti muntah, mual, mengidam dan sebagainya.

Begitu juga seorang yang menghidap sakit jantung, antara tandanya ialah kebas tangan dan juga lengan secara berpanjangan, rasa tidak selesa pada dada, rasa keletihan sepanjang masa dan lain-lain lagi. Kesemua ini merupakan petanda bagi sesuatu perkara.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungguh besar pengorbanan mu Rasulullah untuk membawa umat Islam ke syurga

Begitu juga apabila kita mengatakan cinta kepada baginda Rasulullah. Apakah tanda dan bukti bahawa kita mencintai Rasulullah kerana mencintai Rasulullah merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Boleh dikatakan semua orang Islam mengaku ingin mencintainya, namun tidak semua pengakuan itu benar dan tidak semua keinginan itu baik.

Oleh kerana itu diperlukan bukti dan tanda yang dapat dijadikan dalil kebenaran pengakuan cinta terhadap Rasulullah. Ini kerana apabila pengakuan tidak dibuktikan dengan dalil yang nyata, maka tentulah banyak orang membuat kerosakan dan kekacauan dengan pengakuan-pengakuan dusta.

Maka wajib atas setiap muslim mengetahui bukti dan tanda kecintaan kepada Rasulullah dan mengamalkan serta merealisasikannya dalam kehidupan seharian mereka.

Jadi, bukti dan tanda-tanda tersebut menunjukkan kecintaannya yang hakiki, semakin banyak memiliki bukti dan tanda tersebut maka semakin tinggi dan sempurna kecintaannya kepada Rasulullah.

Antara yang disebutkan oleh para alim ulama mengenai bukti kecintaan kepada baginda Rasulullah ialah:

Apabila diizinkan Allah untuk berjumpa dengan baginda Rasulullah mungkin tidak ada perkataan yang akan terkeluar dari mulut kita kecuali linangan air mata kegembiraan.

1. Sentiasa ingin bertemu dan berjumpa dengan baginda Rasulullah

Ini berdasarkan dalam sebuah hadis nabi: Sabda baginda Rasulullah: "Demi Dzat yang jiwa Muhammad ada dalam genggamanNya, sungguh akan datang suatu masa, di mana seseorang tidak akan melihatku lagi, kemudian jika seandainya dia mahu melihatku, maka hal itu lebih ia cintai dari pada keluarga dan hartanya" - (HR muslim 2364).

Ini dibuktikan dengan kita melakukan ibadah Haji dan Umrah. Tidak akan rasa lengkap apabila ke Tanah Haram, melainkan kita akan menziarahi Masjid Nabawi dan akan menziarahi makam Rasulullah. Walaupun dengan kesesakan lautan manusia tetapi bukti kecintaan kita kepada baginda Rasulullah tidak ada tolak bandingnya.

Setiap dari kita ingin berjumpa junjungan besar baginda Rasulullah walaupun seketika. Dan apabila diizinkan Allah untuk berjumpa dengan baginda Rasulullah mungkin tidak ada perkataan yang akan terkeluar dari mulut kita kecuali linangan air mata kegembiraan. Begitu hebat baginda Rasulullah di hati kita.

Kita sanggup mengeluarkan belanja yang banyak, sehingga ada yang menjual barang kemas, mengadai tanah ataupun rumah semata-mata untuk ke tanah suci. Kita juga sanggup untuk meninggalkan keluarga beberapa hari dengan tujuan untuk membuktikan bahawasanya kita sangat mencintai baginda Rasulullah.

Sebahagian generasi muda yang menyertai perarakan bersempena Maulidur Rasul baru-baru ini.

2. Mengamalkan sunnah baginda Rasulullah

Mencontohi, mengikuti Rasulullah dan berjalan di atas manhaj Baginda serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda, adalah bukti kuat bahawa seseorang itu cintakan Rasulullah.

Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah adalah orang yang mengikuti Rasulullah SAW secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah.

Orang yang mencintai Rasulullah adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda.

Ia dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya sebagaimana firman Allah didalam Surah At-Taubah ayat 24:

Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik."

Ramai di antara kita yang sudah mula meninggalkan sunnah baginda Rasulullah dan mengikut gaya barat dan menjadikan mereka sebagai ikutan sehinggakan kita melupai sunnah baginda.

Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah dalam setiap langkah kehidupannya adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah sebagaimana juga menjadi bukti kecintaan kepada Allah. Allah berfirman didalam Surah Al-Imran ayat 31:

Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

3. Sentiasa berselawat kepada baginda Rasulullah

Mereka yang cinta dan sayang akan sentiasa menjadi sebutan dan ingatan. Jika seseorang yang mengasihi isterinya maka ia akan sentiasa memuji-muji dan begitu juga si isteri jika ia sayang kepada suaminya ia akan sentiasa menyebut-yebutnya.

Firman Allah didalam Surah Al-Ahzab ayat 56: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya."

Jika Allah dan para malaikat sentiasa mengigati Rasulullah, kita sebagai umat baginda seharusnya sentiasa mengigati baginda yang telah banyak bekorban untuk menyampaikan risalah Islam dengan pelbagai rintangan, dugaan dan cabaran sehingga sanggup mengorbankan nyawa demi untuk menegakkan kalimah tauhid.

Ulama menyatakan faedah yang boleh didapati dari Selawat ke atas Nabi ialah: Seorang ketika banyak menyebut kekasihnya, mengingatinya dihati, mengingati kebaikan-kebaikan dan perkara-perkara yang boleh melahirkan perasaan cinta kepadanya maka semakin berlipat ganda kecintaannya kepada kekasihnya tersebut dan bertambah rindu kepadanya.

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

SURAH AL-AHZAB (AYAT 56) 

Apabila dia tidak menyebutnya sama sekali, tidak mengingatinya dan kebaikannya, maka akan berkurangan rasa cinta dihatinya.

Apabila keadaan ini kuat dihatinya maka lisannya terus memuji dan menyebut kebaikan-kebaikannya. Bertambah dan berkurangnya keadaan ini sesuai dengan perasaan cinta dihatinya dan anggota menjadi saksi kebenaran itu dengan mengamalkannya.

Semoga dengan kita mengetahui tanda-tanda orang yang mencintai Rasulullah akan menambahkan lagi kasih sayang kita dan juga kerinduan kepada junjungan besar baginda Rasulullah dan tidak akan sesekali cinta kita kepada baginda Rasulullah terpadam sehingga akhir hayat.

Hayatilah kisah baginda Rasulullah dan ceritakanlah kepada ahli keluarga supaya setiap kita mengikuti sifat keperibadian baginda Rasulullah.

Kata para alim ulama' sekalipun Baginda tidak diberikan mukjizat oleh Allah, sifat dan akhlak baginda Rasulullah tetap menyebabkan orang akan tertarik dan terpikat kepadanya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi almaghribi) ialah Pensyarah Kanan. Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

Rasulullah, Addin

Artikel Lain