suria

Ramai artis tanya macam mana Nabil murah rezeki? Tak abai berzakat rahsianya

Nabil Ahmad (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff (dua dari kanan), Timbalan Ketua Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (dua dari kiri) dan Luqman Hakim pada pelancaran Kempen Year End Zakat (YEZ) di Wisma PPZ-MAIWP Shemalin, Khamis.

SIAPA yang tidak kenal dengan Nabil Ahmad? Sejak menjuarai program Raja Lawak pada 2008 namanya terus mekar sebagai antara selebriti berbakat besar bukan sahaja dalam bidang komedi tetapi pelakon dan pengacara.

Kebolehannya dalam pelbagai cabang dunia hiburan menjadikan Nabil, 36, pilihan bagi menjayakan pelbagai projek filem, drama, program komedi termasuklah sebagai pengacara program popular Gegar Vaganza yang kini sudah memasuki musim kelima.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabi Muhammad akan tolong kita masuk syurga dengan 4 perkara, rebutlah peluang terakhir ini

Pertemuan dengan Nabil pada majlis pelancaran Kempen Year End Zakat (YEZ), Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Khamis menceritakan di sebalik kejayaannya dalam bidang seni.

Nabil memberitahu membayar zakat antara kunci kejayaannya.

Bapa kepada dua cahaya mata ini tidak menafikan ramai rakan artis baharu bertanya rahsia murah rezeki dan kejayaannya kerana mahu mengikut jejak langkahnya.

Kata Nabil sejak bergelar artis dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membayar zakat pendapatan serta beberapa zakat lain kerana mahu sumber pendapatannya diberkati Allah.

"Saya percaya dalam hidup usaha dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu bukanlah satu-satunya punca kita berjaya tetapi sebaliknya kita kena lihat sisi lain dalam aspek kehidupan kita.

"Ini termasuklah membayar zakat... Alhamdulillah sepanjang saya bekerja, saya tidak pernah lupa untuk melaksanakan tanggung jawab dalam rukun Islam itu.

"Alhamdulillah, hidup saya lebih tenang malah rezeki yang Allah berikan berlipat kali ganda. Saya bersyukur dapat merasai kenikmatan itu di dunia tetapi lebih penting saya mahu merasai ganjarannya pada akhirat kelak," katanya.

Membayar zakat ialah fardu ain bagi setiap umat Islam yang berkemampuan dan hukum meninggalkannya adalah berdosa besar.

Salah satu tujuan zakat ialah dapat menyucikan jiwa pembayarnya selain berkongsi rezeki dengan orang lain yang lebih memerlukan.

Pihak PPZ-MAIWP berharap kempen Year End Zakat (YEZ) dapat memberi kesedaran kepada umat Islam untuk membayar zakat.

Allah berfirman dalam Surah At-Taubah (ayat 103) yang maksudnya: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya dapat membersihkan diri mereka daripada dosa dan menyucikan mereka dari akhlak yang buruk."

Nabi Muhammad SAW juga bersabda; "Bentenglah harta kamu dengan berzakat dan ubati pesakit-pesakit kamu dengan bersedekah serta hadapilah gelombang bala dengan menangis dan mengadu kepada Allah." - [Riwayat Abu Daud, At-Tabarani dan Al-Baihaqi].

Dalam pada itu ujar Nabil, atas dasar itu dia menyeru semua umat Islam tampil membayar zakat bagi mengembalikan hak golongan asnaf yang terdapat dalam harta setiap daripada kita.

"Setiap daripada kita perlu menanam kefahaman dan yakin apabila menafkahkan sebahagian harta ke jalan Allah termasuk berzakat, pasti ada pulangan.

"Yakin dengan janji Allah bahawa berzakat tidak akan mengurangkan harta anda sebaliknya akan bertambah keberkatan dan dimurahkan rezeki kita," katanya.

Atas dasar itu juga, pihak PPZ-MAIWP melancarkan kempen YEZ bagi menyeru orang ramai untuk segera menunaikan zakat sebelum 31 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kempen itu diadakan bagi memberi hebahan kepada masyarakat Islam tentang perkhidmatan dan kemudahan saluran bayaran zakat disediakan pihaknya.

Selaras dengan moto PPZ-MAIWP iaitu 'Memudahkan Anda Berzakat', berikut ialah saluran pembayaran zakat disediakan.

Sepuluh kaunter zakat PPZ-MAIWP akan dibuka setiap hari termasuk cuti umum sepanjang Disember ini. 

1. 10 kaunter zakat PPZ-MAIWP

Kesemua kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka 7 hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Disember ini dari pukul 8.45 pagi hingga 4.45 petang (1 hingga 24 Disember 2019).

Manakala pada 25 hingga 31 Disember 2019, semua kaunter kecuali UTC Kuala Lumpur sehingga 9 malam untuk orang ramai membuat taksiran, pengiraan, pertanyaan tentang zakat, semakan penyata selain salinan resit rasmi.

Senarai 10 kaunter PPZ-MAIWP:

i. Dataran Shamelin Perkasa

ii. Plaza Rah, Kampung Baru

iii. Masjid Negara

iv. KLSC, Wangsa Maju

v. UTC KL, Pudu Sentral

vi. Presint 19, Putrajaya

vii. Presint 15, Persiaran Diplomatik, Putrajay

viii. Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong

ix. Anjung Niaga Masjid At-Taqwa, TTDI

x. Labuan Times Square

Menariknya, setiap Ahad sepanjang Disember depan, PPZ-MAIWP mengadakan Super Sunday di sembilan kaunternya dimana sarapan akan disediakan untuk pembayar zakat manakala 20 pembayar terawal akan menerima baucer makanan.

Orang ramai turut digalakkan membawa keluarga serta anak-anak bagi memberi pendedahan awal tentang kepentingan membayar zakat.

Berlainan pula di Putrajaya, pembayar zakat berpeluang memenangi 56 cabutan bertuah pada setiap minggu seperti basikal, dash camera dan kelengkapan solat.

Kaunter Bergerak Zakat akan memudahkan urusan orang ramai. 

2. Kaunter Zakat Bergerak PPZ-MAIWP

Perkhidmatan Kaunter Zakat Bergerak (KZB) akan beroperasi di 12 lokasi tetap di sekitar Kuala Lumpur termasuk di pusat beli-belah selain berpeluang bertemu dengan selebriti yang terpilih sempena Program Santai Bersama Selebriti.

i. 17 & 24 Disember - Mara Digital Mall & Jalan Dungun bersama Man Raja Lawak dan Ali Puteh.

ii. 18 Disember - Mara Digital Mall bersama Bell Ngasri.

Bayaran secara dalam talian turut disediakan. 

3. Zakat Ride.2U

PPZ-MAIWP turut menyediakan perkhidmatan rider iaitu pegawai dari PPZ-MAIWP untuk menerima bayaran zakat secara lebih privasi seperti di rumah atau pejabat. Ini adalah satu usaha memahami kehendak pembayar yang mahukan privasi atau kekangan masa untuk ke kaunter.

Jumlah minimum bagi mendapatkan perkhidmatan ini adalah RM5,000. Pembayar juga boleh menggunakan perkhidmatan door to door bagi pembayaran zakat melebihi RM10,000 ke atas dengan menghubungi talian zakat 1-300-88-5757 atau emel kepada [email protected].

Untuk tujuan keselamatan, pembayar hendaklah memastikan pegawai PPZ-MAIWP memakai vest khas dan mempunyai kad pengenalan PPZ-MAIWP bagi mengelakkan sebarang penipuan.

4. Lain-lain saluran

PPZ-MAIWP turut menyediakan saluran bayaran secara online di www.zakat.com.my selain ejen dilantik di kaunter bank, perbankan internet, pejabat pos dan MyEG.

Sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi talian zakat 1-300-88-5757.

Menariknya kempen tahun ini, pembayar zakat berpeluang memenangi hadiah istimewa termasuk pakej umrah, pelancongan, komputer riba selain Anugerah Khas Pembayar Zakat Yang Setia PPZ-MAIWP.

Nabil, Zakat, PPZ-MAIWP

Artikel Lain