suria

Jangan sesekali caci guru... 13 perkara pesanan Saidina Ali harus dijadikan panduan

Antara mereka yang banyak memberi pendidikan kepada kita ialah guru yang sedaya upay memastikan setiap anak muridnya berjaya dan memperoleh ilmu bermanfaat. - Gambar Sekadar Hiasan

KEJAYAAN seseorang itu dalam kehidupan dan kerjaya pada hari ini tidak akan dapat dicapai sendirian melainkan dengan bantuan orang dan individu yang berada di sekeliling.

Antara mereka yang banyak memberi sumbangan pendidikan kepada kita ialah guru. Mereka berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap anak muridnya berjaya dan memperoleh ilmu yang bermanfaat.

Terbinanya sesebuah negara disebabkan oleh tiga jenis golongan iaitu anggota beruniform yang menjaga keamanan, petani yang mengusahakan tanaman untuk dijadikan makanan dan guru yang menjadikan kita ilmuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mati mengejut itu istirahat golongan mukmin dan berita menyedihkan buat orang fajir

Peribahasa Melayu pula ada mengatakan: Guru umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi. Ia bermaksud guru banyak berkorban dan berusaha untuk kepentingan orang lain (murid).

Semua ini menunjukkan betapa hebatnya seorang guru yang harus kita hormati dan hargai. Berjayanya kita pada hari ini semuanya disebabkan oleh guru yang telah mendidik kita.

Hubungan akrab guru dan murid sepatutnya menjadi amalan.

Sejak akhir-akhir ini kita dipertontonkan dengan kebiadaban anak murid kepada gurunya. Sikap kurang ajar ibu bapa juga terzahir apabila ada dalam kalangan mereka sanggup menghina dan menjatuhkan air muka guru dek kerana tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir guru yang mereka anggap kasar terhadap anak-anak mereka.

Saidina Ali pernah berkata mengenai hak seorang alim (guru) antaranya adalah;

1. Memberi salam kepada semua orang yang berada di dalam majlisnya dan mengkhususkannya dengan berjabat tangan.

2. Hendaklah duduk berhadapan dengannya.

3. Tidak boleh menunjuk jari di hadapannya.

4. Tidak boleh mengerling mata dengan orang lain di hadapannya.

5. Tidak menyebut kata-kata orang lain di hadapannya.

6. Tidak boleh mencaci orang di hadapannya.

7. Sekiranya dia melakukan kesilapan hendaklah memaafkannya.

8. Muliakanlah dirinya kerana Allah.

9. Sekiranya dia memerlukan sesuatu, hendaklah segera menghulurkan bantuan kepadanya.

10. Jangan memuji-muji orang lain di dalam majlisnya.

11. Jangan menarik bajunya.

12. Jangan memaksanya jika dia keberatan.

13. Jangan berasa jemu duduk bersamanya.

"Anggaplah dia laksana lebah dan dirimu menunggu sesuatu yang akan jatuh daripadanya pada bila-bila masa sahaja."

Tidak seharusnya kita mencalarkan maruah insan yang telah berkorban memberikan ilmu kepada anak kita ibaratnya mereka ini tiada nilai dan jasa.

DR. HADI ALMAGHRIBI 

PENSYARAH

Kita baru-baru ini dikejutkan dengan satu penularan video yang mengaibkan seorang guru di hadapan muridnya. Tindakan itu disebabkan kemarahan seorang ibu rentetan tindakan guru tersebut yang mendenda anaknya di sekolah.

Perbuatan ibu murid tersebut tidak sepatutnya berlaku dan seharusnya perkara itu perlu dibawa ke pihak pentadbiran sekolah untuk diselesaikan dengan cara yang baik.

Setiap tindakan kita mencerminkan keperibadian diri. Oleh sebab itu, Baginda Rasulullah menasihatkan kita dengan sabdanya: Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya - [HR Tarmizi 1082].

Sebagai ibu bapa kita seharusnya menunjukan contoh teladan yang baik kepada anak-anak kerana kita merupakan 'role model' mereka dari kecil.

Kita sedia maklum bahawa guru merupakan ibu bapa kedua di sekolah. Mereka yang banyak membentuk sahsiah anak kita di tempat pengajian supaya anak-anak kita menjadi anak yang terbaik di masa depan.

Guru ibarat lilin... membakar dirinya untuk menerangi orang lain.

Tidak seharusnya kita mencalarkan maruah insan yang telah berkorban memberikan ilmu kepada anak kita ibaratnya mereka ini tiada nilai dan jasa.

Allah telah mengangkat darjat orang yang berilmu kerana hanya dengan ilmu lah manusia akan keluar daripada tampuk kejahilan yang membinasakan.

Ini dibuktikan seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11: Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

Firman Allah lagi di dalam Surah Az-Zumar ayat 9: "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Ingatlah pesan Imam Syafie seperti mana di dalam syairnya:

"Bersabarlah keatas kepayahan guru kamu,

Kegagalan ilmu  itu kerana tidak hormatnya kepada  guru,

Sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan menuntut ilmu, 

Dia akan menanggung kejahilan sepanjang hayat,

Sesiapa yang meninggalkan ilmu pada waktu muda,

Bertakbirlah empat kali kerana kematiannya."

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

Artikel Lain