suria

Gagal tunai umrah kerana Covid-19, semua pihak diingat bersangka baik... “Ia kerugian, juga ujian kerana libatkan nyawa!” - Dr Izhar Ariff

Sekumpulan jemaah umrah dari Kedah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan keputusan Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19.

KEPUTUSAN kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan ratusan ribu jemaah umrah ke Makkah dan Madinah susulan penularan wabak koronavirus atau Covid-19 dianggap sebagai langkah tepat.

Namun, ia telah memberi impak besar buat semua pihak kerana sejumlah besar umat Islam dari seluruh dunia tiba setiap hari ke Tanah Suci untuk menjalani ibadah umrah dan ziarah ke Masjid Nabawi.

Menurut Pensyarah Fiqah Kontemporari di Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim, pendekatan tersebut adalah dituntut dalam Islam dan wajib dilaksanakan kerana wabak ini mendatangkan kemudaratan serta mengakibatkan kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi gantung kemasukan jemaah umrah susulan penularan Covid-19

"Pendekatan seperti ini sememangnya dituntut dalam Islam bagi mengelakkan wabak ini tersebar lebih luas.

"Jangan kamu lemparkan diri kamu dalam bahaya (Ayat 195, Surah Al-Baqarah)," jelasnya kepada mStar.

Walaupun mungkin ada kekecewaan memandangkan rata-rata sudah ramai yang melakukan persediaan dan hanya menunggu masa untuk ke Makkah, tetapi pendekatan ini adalah yang terbaik untuk semua.

Dr Izhar Ariff 

Kerugian

Menurut Ustaz Izhar, berikutan ketetapan yang dibuat ini juga sudah pasti ada kerugian yang berlaku kepada pihak agensi, syarikat penerbangan, perhotelan dan tidak ketinggalan jemaah yang bakal melakukan umrah itu sendiri.

"Kita akan menanggung kerugian tetapi ianya dapat mengelak kerugian yang lebih besar di sana kerana ia melibatkan nyawa.

Ibadah Umrah adalah sunat, menghindari kemudaratan adalah wajib.

Prof Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim

Pensyarah Feqah Kontemporari, Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM

"Pesanan saya kepada pihak agensi, berbincanglah dengan baik bersama jemaah umrah kerana masing-masing mengalami kerugian.

"Janganlah ambil semua bayaran mereka. Bagi jemaah pula, bersangka baik kerana ini adalah ujian, benar-benar ujian selepas persiapan sudah dibuat.

"Hanya Allah yang tahu dan pastinya ada rezeki yang lebik baik lagi selepas ini," ujarnya.

Bersifat sementara

Beliau berkata, ia hanyalah bersifat sementara dan mungkin akan dibuka semula selepas situasi ini reda.

"Untuk mengelakkan kemudaratan lebih besar, pendekatan ini memang wajib dilaksanakan.

"Ibadah umrah adalah sunat, tetapi menghindari kemudaratan adalah wajib.  Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan 'Jangan sesekali membuat perkara yang memudaratkan kepada diri sendiri dan orang lain'," katanya.

Pada Khamis, kerajaan Arab Saudi menghentikan sementara kemasukan jemaah umrah melibatkan 25 negara termasuk Malaysia bertujuan membendung jangkitan wabak Covid-19.

Iran mencatat 22 kes kematian disebabkan Covid-19 sehingga Khamis.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan, penggantungan itu termasuk bagi program ziarah Masjid Nabi di Madinah.

Menurut kenyataan itu lagi, penggantungan turut membabitkan individu yang menggunakan visa pelancong dari negara-negara yang terjejas akibat Covid-19.

Manakala laporan Arab News menyebut, garis panduan yang dikeluarkan dalam usaha mengekang virus itu juga termasuk menggantung perjalanan ke dan dari Arab Saudi bagi warganegara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menggunakan kad pengenalan kebangsaan.

Walaupun jumlah Covid-19 mencatat penurunan di China, namun terdapat peningkatan di bahagian Asia, Eropah dan Timur Tengah.

Iran menjadi lokasi  panas di rantau Timur Tengah dengan 141 kes dan 22 kematian akibat wabak ini (kemas kini 27 Februari).

Negara-negara teluk di Kuwait dan Bahrain juga turut masing-masing mencatat 22 dan 33 kes .

Artikel Lain