suria

Peniaga amanah dijanjikan syurga bersama para nabi... Elakkan kaut keuntungan ketika wabak Covid-19

Ketika ini barangan seperti topeng wajah dan hand sanitizer habis terjual dan sekiranya ada ia dijual pada harga lebih mahal. Foto Sekadar Hiasan

PERNIAGAAN merupakan salah satu aktiviti yang sangat mulia. Ia merupakan ibadah dan juga sunnah Rasulullah.

Bagi mereka yang berniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, para solihin dan syuhada.

Sabda Rasulullah: Peniaga yang boleh dipercayai dan beramanah akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai (siddiqin) dan orang-orang yang mati syahid. - [HR Tarmizi 1130].

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Umar batal hasrat ke Syam kerana wabak harus dijadikan contoh, doa mampu elak musibah

Bagi menjadi seorang peniaga yang jujur, amanah dan hebat mereka perlulah mempunyai sifat-sifat yang baik. Antara yang disebutkan oleh ulama adalah;

1. Peniaga mestilah menyintai orang lain seperti mana dia menyintai dirinya sendiri

Jika kita mahukan kebaikan untuk diri kita begitu jugalah orang lain mahukan kebaikan kepada diri mereka. Oleh sebab itu peniaga haruslah memahami keadaan orang lain.

Sabda Rasulullah: Tidaklah beriman seseorang daripada kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri. - [HR Bukhari 12].

2. Sentiasa memudahkan dan memaafkan di dalam urusan perniagaan

Memudahkan urusan orang lain maka ganjarannya Allah akan memudahkan urusannya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat sana.

Sabda Rasulullah: Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. - [HR Muslim4867].


Ketika ini ramai membuat pembelian panik kerana bimbang kehabisan bekalan makanan dan harga meningkat. - Gambar Sekadar Hiasan

3. Sentiasa perbanyakkan sedekah

Sifat pemurah haruslah wujud di dalam diri peniaga supaya sifat bakhil tidak menguasai mereka. Allah mengingatkan kepada kita berkali-kali agar tidak menjadikan sifat kedekut di dalam diri kerana ia boleh membinasakan seseorang.

Firman Allah di dalam Surah An-Nisa' ayat 37: Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

4. Seorang peniaga tidak mengambil kesempatan dalam kesulitan orang lain

Dengan mengaut keuntungan berlipat kali ganda sehingga menyukarkan orang yang miskin. Ada di antara mereka yang memonopoli harga pasaran supaya dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda ibarat pergi haji balik hari.

Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam juga adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan seperti gula, beras, minyak dan lain-lain biasanya dibuat para peniaga dengan menyorokkan barangan keperluan supaya ianya berkurangan di pasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal.

Dengan itu peniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan terkutuk ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan  dan kesulitan kepada masyarakat awam khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam satu hadis Rasulullah bersabda: Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh daripada perkara yang sebenar dan keadilan. - [HR Muslim 3012].


Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam juga adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. - Gambar Sekadar Hiasan

Menurut pandangan ulama antara bentuk monopoli yang diharamkan juga boleh berlaku dengan cara para perniaga bersepakat antara satu sama lain bagi menjual barangan dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran.

Hikmah diharamkan perbuatan monopoli ini adalah bagi menolak kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum.

Para fuqaha telah berijmak pendapat bahawa sekiranya seseorang mempunyai makanan yang tidak ada pada orang lain sedangkan orang lain sangat memerlukannya, maka dalam situasi seumpama ini diharuskan bagi pemerintah untuk memaksa pemilik makanan tersebut supaya menjual makanan yang berada dalam simpanannya.

Tujuannya adalah bagi menolak kemudaratan terhadap masyarakat.

Pada situasi sekarang yang mana tersebarnya penyakit Covid-19, bukan sahaja makanan yang menjadi keperluan bahkan penutup mulut (mask) dan pencuci tangan (hand Sanitizer) juga amat-amat diperlukan.

Jika orang ramai amat memerlukan perkara asasi tersebut atau keadaan menjadi darurat, orang yang memonopoli tadi boleh dipaksa (oleh pemerintah untuk) menjual barangan tersebut dengan harga yang munasabah.

Ada pula mengambil kesempatan dengan menipu isi kandungan hand sanitizer demi mengaut keuntungan pada waktu darurat ini.

Berkata Syeikh Muhammad Taqi Uthmani: Sesungguhnya tas`ir (penetapan harga barang) tidak boleh dilaksanakan, melainkan pada keadaan-keadaan yang luar biasa, apabila manusia berada dalam keadaan terdesak akibat harga yang terlalu ditinggi pada barang-barang yang manusia berhajat kepadanya seperti makanan, minuman dan pakaian.

Jika tidak berlaku keadaan sedemikian, maka hukum asalnya hendaklah dibiarkan para peniaga dan pembeli untuk berniaga berdasarkan harga yang mereka suka.

Ditambah pula mereka yang mengambil kesempatan dengan menipu isi kandungan pencuci tangan (hand Sanitizer) hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan yang banyak pada waktu yang darurat ini.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 29: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).

Maka dinasihatkan kepada para peniaga yang budiman agar sentiasa amalkan sifat tolong menolong di antara satu sama lain.

Ia seperti mana Firman Allah di dalam Surah Al-Ma'idah ayat 2: Dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan.

Semoga Allah merahmati kita dan Allah menyelamatkan kita dari ujian yang amat berat ini. Janganlah mengambil kesempatan dalam kesulitan.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan personaliti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook. 

Artikel Lain