SALAM semua pembaca mStar. Semoga dirahmati Allah serta diberi perlindungan dari wabak yang melanda dunia Covid-19 yang mana setakat artikel ini ditulis, sudah puluhan ribu orang telah maut di seluruh dunia. Semoga Allah melindungi kita dari jangkitan wabak ini. Nauzibillah! Sebagaimana yang saya kongsikan dalam artikel yang lepas tentang apa yang dimaksudkan dengan penyakit Ain iaitu penyakit kerana sumpahan mata dan kesannya sehingga boleh membawa maut hatta penyakit medik sekalipun, maka pada artikel kali ini tentang bagaimana cara nak mengelak daripada terkena penyakit Ain? ARTIKEL BERKAITAN: 5 jenis manusia suka memuji boleh lemparkan penyakit Ain, ketahui 20 tanda terkena musibah ini Ada tak doa-doa pendinding atau amalan-amalan yang boleh melindungi kita dari terkena panahan Ain ni? Atau kalau dah terkena penyakit Ain ni bagaimana cara nak merawatnya? InsyaAllah saya akan kongsikan dalam artikel bahagian kedua ini. Bagaimana nak mengelak dari penyakit Ain? 1. Sentiasa dalam keadaan berwuduk Wuduk merupakan satu sistem pertahanan untuk kita kerana seseorang itu sentiasa didoakan oleh para malaikat supaya dirahmati dan diampuni Allah. Maka orang yang sentiasa dalam keadaan berwuduk dapat menghindari dari terkena panahan Ain yang jahat. Tambahan lagi kita dalam keadaan wabak Covid-19 yang salah satunya merebak melalui sentuhan dan cecair dari mulut atau hidung, maka dengan mengambil wuduk sebenarnya merupakan salah satu cara yang sangat efektif mengelak jangkitan virus melalui basuhan tangan dan memasukkan air ke dalam hidung yang ada cuma melalui wuduk. Berdoa meminta perlindungan daripada Allah boleh menghindari daripada pelbagai musibah. Allah berfirman yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, basuhlah muka kamu dan kedua tangan kamu sampai ke siku. Sapulah kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu sehingga ke buku lali (Surah al-Maidah:6). Suruhan Allah supaya kita berwuduk paling kurang 15 kali sehari dengan kita membasuh atau menyapu dengan air yang bersih kepada anggota wuduk yang paling terdedah dengan mikroorganisma. Contohnya membersih tangan yang mana dengan tangan kita banyak berinteraksi dengan dunia luar seperti bersalaman, menggengam, menyentuh dengan segala benda sekeliling kita. Bahkan sebahagian besar penyakit berjangkit termasuk Covid-19 disebabkan oleh kontaminasi melalui sentuhan tangan. Dalam kajian yang lain pula, dibuktikan bahawa berwuduk membantu proses regenerasi kulit, iaitu pengantian sel-sel lama dan baru. Kestabilan kulit ditentukan oleh nilai pH iaitu keasidan dan kelembaban kulit. Berwuduk adalah salah satu cara menjaga kestabilan itu khususnya kelembaban kulit kerana kulit yang terlalu kering juga merbahaya bagi kesihatan kulit dan memudahkan jangkitan kuman. Amalkan doa dengan membaca surah ‘almuawwizatain’, surah al-Falaq dan Annas ataupun sentiasa berzikir kepada Allah. Amalan membasuh tangan di awal berwuduk sebenarnya menepati kaedah standard yang diamalkan di dalam bidang perubatan. Ini terbukti di dalam dunia perubatan, protokol standard yang pertama sebelum pekerja perubatan mula bekerja juga adalah mencuci tangan dan membilasnya dengan sabun. Ini berlaku terutamanya apabila hendak melakukan pembedahan ataupun lain-lain rawatan perubatan yang invasif. Oleh itu, tidak hairanlah wuduk dimulakan dengan mencuci kedua belah tangan. Indahnya Islam, sebelum kita beramai-ramai berkumpul menunaikan solat kita diwajibkan berwuduk tanpa wuduk tidak sah solat. Sebelum menyentuh Al-Quran kita diwajibkan berwuduk, sebelum makan kita digalakkan membasuh tangan. Sebelum tidur kita digalakkan mengambil wuduk supaya kita dijauhi dari gangguan jin dan syaitan dan dijaga oleh malaikat. Hatta dalam hadis, Nabi SAW mendengar bunyi tapak kaki Bilal Bin Rabah di dalam syurga adalah kerana amalannya yang suka mengambil wuduk dan solat sunat wuduk! Umat Islam digalakkan tudur dalam keadaan berwuduk. Gambar hiasan. Seterusnya melalui amalan berkumur ketika berwuduk juga akan menjaga aspek kesihatan kita. Berkumur akan melindungi mulut dan tekak daripada inflamasi dan membersihkan gigi dan sisa makanan. Terdapat tidak kurang daripada 100 juta bakteria per milimeter dalam sampel biasa permukaan gigi ataupun kelenjar ludah manusia normal yang sihat. Dengan berkumur ketika berwuduk dapat membersihkan mulut dan seterusnya dapat mencegah risiko jangkitan penyakit. Ini sekali gus akan menurunkan risiko jangkitan virus Covid-19 ke dalam tubuh kita. 2. Mengucapkan takbir tiga kali Ketika seseorang memuji kita tanpa mendoakan keberkatan. Maka kita ucapkan Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Maksudnya orang memuji kita contohnya tentang kehebatan kita, maka kita mengatakan Allah Maha Besar. Ini dapat mengelak kita dari terkena panahan Ain tadi atau sumpahan mata tadi. 3. Mengucapkan doa Ucapkan doa Maasya Allaahu Laa quwwata illaa billah. Maknanya sungguh atas kehendak Allah semua ini wujud, tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah. 4. Berdoa doa meminta perlindungan kepada Allah Amalkan doa dengan membaca surah ‘almuawwizatain’, surah al-Falaq dan Annas ataupun sentiasa berzikir kepada Allah. 5. Menyembunyikan kelebihan dan kecantikan Memiliki kecantikan dan kemewahan atau kelebihan yang dimiliki. Adalah satu kelebihan kepada seseorang. Ini merupakan perkara yang amat susah kita nak lakukan sebenarnya kerana naluri manusia memang mahukan pujian dan sanjungan. Seseorang yang mampu kecantikan dapat mengelakkan daripada menerima pujian dan terhindar daripada penyakit Ain - Gambar hiasan. Semakin ramai yang memuji semakin seronok kita rasakan. Malangnya kalau pujian itu tanpa diiringi dengan doa keberkatan maka kita akan terkena panahan Ain. Justeru, bagaimana cara nak mengelaknya? Tulislah perkataan Masya Allah Tabarakallahu atau Allahuakbar tiga kali dalam status kita di FB, Instagram, kenderaan atau rumah dan sebagainya tu supaya orang yang melihatnya akan juga membaca doa keberkatan. 6. Merahsiakan perancangan Sesuatu perancangan yang hebat itu kalau boleh hendaklah dirahsiakan kerana ditakuti terkena Ain, sekiranya boleh. Sekiranya perancangan yang hebat itu boleh untuk tidak diwar-warkan maka lakukanlah demi mengelakkan dari terkena Ain. Bagaimana nak merawatnya kalau dah terkena penyakit Ain? Pertama: Dengan disiramkan dengan air mandi dari pelempar Ain. Dalam satu hadis, Nabi SAW memerintahkan Amir Bin Rabiah yang kagum lalu memuji kecantikan kulit Sahal tanpa mendoakan keberkatan, mengambil wuduk termasuk air basuhan dari dalam kain Amir, kesemuanya ditadah lalu disimbah kepada Sahal yang terkena Ain dari belakang. Terus Sahal bangkit dari pengsan dan sembuh. Maksudnya, kita mesti kenalpasti siapa yang melemparkan Ain, dan minta dia lakukan mandian, atau dalam riwayat yang lain nabi SAW memerintahkan supaya Amir mengambil wuduk dan bahagian dalam kainnya, lalu air tadahan wuduk tadi disimbahkan kepada Sahal. Kedua: Dengan melakukan rukyah syar’iyyah, sekiranya kita tidak tahu siapa yang melemparkan Ain tersebut. Carilah ustaz bukannya dukun atau uskun (Uskun ialah dukun yang penampilannya seperti ustaz). Jika ada sebarang pertanyaan boleh hantarkan whatsapp kepada Ustaz Shams di 011 1144 8987 untuk memohon kesembuhan dari Allah dari penyakit Ain. Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan ini, insyaAllah kita boleh lakukan dengan cara jarak jauh. Dengan izin Allah, insyaAllah, Allah akan berikan kesembuhan. Kita hendaklah yakin bahawa Allah berfirman: “Dan kami turunkan al-Quran sebagai ubat kesembuhan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” - [al-Isra’:82]. Silakan kongsi sebanyak mungkin semoga menjadi sebahagian amalan soleh kita. Wallahua’lam. ***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti.