suria

Hadapi Ramadan ketika wabak Covid-19 dengan 4 perkara bermanfaat

RAMADAN merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan kasih sayang. Disebabkan itu ia sentiasa dirindui kehadirannya oleh umat Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Bulan ini juga bukan sahaja dikenali sebagai 'Ramadan' tetapi ada beberapa nama lain, antaranya:

1. Bulan sabar - Ini berdasarkan hadis baginda Rasulullah: Berpuasa pada bulan sabar dan tiga hari daripada setiap bulan adalah menyamai puasa setahun. [HR Baihaqi 12529]

ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat yang baik antara 4 ciri dapat bantu istiqamah dalam amalan

2. Bulan Al-Muawasah (belas kasihan) - Disebutkan didalam hadis: Ia adalah bulan berbelas kasihan. [HR Baihaqi 3608]

3. Penghulu segala bulan - Sabda Rasulullah: Penghulu segala bulan adalah bulan Ramadan. [HR Baihaqi 3364]

Ramadan kali ini mungkin kita tidak dapat berjemaah di masjid kerana penularan wabak Covid-19 yang sedang berleluasa. 

Allah telah menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk kita meningkatkan ketawaan kepada-Nya dan ganjaran berlipat kali ganda untuk mereka yang sentiasa bersabar dalam mematuhi perintah Allah.

Maka ia adalah bulan yang Allah lipat gandakan rahmat-Nya kepada sekalian alam yang ingin kembali kepada-Nya dengan dibuka seluas-luasnya pintu rahmat dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka.

Pada tahun ini berkemungkinan sambutan Ramadan agak berbeza berbanding tahun sebelumnya dek kerana Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Tahun lepas kita ke masjid atau surau untuk berbuka puasa serta solat terawih beramai-ramai tapi mungkin pada tahun ini tidak seperti itu.

Ramadan lalu, golongan hafiz megimami solat kita dengan bacaan yang lunak, sedap di dengar dengan ayat-ayat suci Al-Quran dari juzuk pertama sehingga 30 dapat kita hayati.

Petugas barisan hadapan sedang bertungkus lumus membantu merawat pesakit dijangkiti Covid-19.

Tahun ini ketua keluarga atau anak lelaki akan dinaikkan pangkat daripada makmum kepada imam yang mana akan mengimami solat bersama keluarga.

Bacaan kita mungkin tidak sama seperti ustaz-ustaz hafiz bahkan boleh jadi kita hanya membaca surah-surah lazim pendek. Jika dahulu kita solat Terawih di masjid mengambil masa dalam satu jam atau lebih tetapi mungkin kali ini hanya 20 minit sahaja kerana bacaan pendek dan cepat.

Maka semua itu memerlukan persediaan yang rapi agar Ramadan yang bakal tiba tidak datang dengan suasana yang suram dan hambar. Maka di sini ustaz akan memberikan beberapa kaedah supaya Ramadan yang akan menjelma tidak lama lagi dapat disambut dengan gembira.

Persediaan menghadapi bulan Ramadan pada musim Covid-19:

Pasang niat dan azam pada bulan mulia ini untuk melakukan ibadah. 

1. Ikhlaskan niat kerana Allah

Setiap daripada kita mestilah memasang niat dan berazam supaya menggunakan setiap waktu yang ada di dalam bulan mulia ini untuk melakukan ibadah dengan membaca Quran, qiamullail, zikir, doa dan apa-apa sahaja perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

Segala tujuan yang dikatakan seperti di atas tidak akan dapat dicapai melaikan dengan keikhlasan kepada-Nya.

2. Membuat jadual 

Kehidupan bersahaja di rumah mungkin akan memberi kesan kepada ibadah kita jika tidak disusun dengan baik. Berkemungkinan besar kita akan lagha dengan telefon pintar atau televisyen.

Pada bulan Ramadan pula kebiasaannya kita akan disajikan dengan cerita-cerita yang menarik sehingga boleh menyebabkan kita lupa akan tujuan sebenar kita berpuasa.

Musim Covid-19 kita ditegah untuk keluar rumah maka bolehlah kita mengumpulkan ahli keluarga yang ada di rumah untuk melakukan ibadah bersama seperti solat berjemaah, tadarus Al-Quran, zikir dan bermacam lagi supaya suasana Ramadan itu terasa ada.

DR NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN

PENCERAMAH BEBAS

3. Mewujudkan suasana Ramadan di rumah

Melakukan ibadah berseorangan mungkin berbeza dengan kita melakukannya seorang diri.

Pada musim Covid-19 yang mana kita ditegah untuk keluar rumah maka bolehlah kita mengumpulkan ahli keluarga yang ada di rumah untuk melakukan ibadah bersama seperti solat berjemaah, tadarus Al-Quran, zikir dan bermacam lagi supaya suasana Ramadan itu terasa ada.

4. Membaca Kisah-kisah Nabi dan para sahabat dalam menghadapi Ramadan

Kisah para nabi dan sahabat telah direkodkan di dalam Al-Quran dan ianya banyak memberi ibrah di dalam kehidupan. Ibu bapa bolehlah menyelitkan perkongsian tersebut kepada ahli keluarga setelah melakukan ibadah jika ada masa terluang.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan alasan untuk melakukan ibadah malah boleh dilakukan bersama keluarga di rumah.

Antara kisah yang boleh diceritakan ialah bagaimana para sahabat berperang di dalam bulan Ramadan.

Ia menuntut anak-anak dan kita sendiri untuk memahami erti kesabaran dan kesyukuran kerana kesusahan, kelaparan dan dahaga yang kita rasakan pada ramadan ini tidaklah seperti mana para sahabat dan nabi dahulu rasa ketika berperang untuk mempertahankan agama dengan darah mereka.

Rugilah bagi mereka yang Allah berikan peluang untuk menyambut Ramadan tetapi mereka tidak menggunakannya dengan baik. Di dalam sebuah hadis nabi daripada Abu Hurairah RA, bahawa ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”.

Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.  [HR Ibn Hibban 907]

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan personaliti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook. 

Artikel Lain