suria

Suami... bantulah, pujilah isteri di waktu PKP ini... Itulah dilakukan Rasulullah

Sikap bantu membantu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. - Gambar Sekadar Hiasan

SUAMI merupakan tonggak utama selaku ketua rumah tangga dan sebagai lelaki mereka sepatutnya memahami tugas dan tanggungjawab apabila menggalas gelaran tersebut.

Golongan ini bukan sahaja wajib mencari nafkah keluarga bahkah perlu berusaha meringankan beban isteri di rumah. Inilah yang dinamakan common sense dan realiti hari ini menyaksikan para pengemudi rumah tangga kurang memberi perhatian terhadap perkara berkenaan.

Mungkin sebelum ini ada segelintir golongan suami memberikan alasan penat kerana bekerja seharian, jadi dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka perlulah menunjukkan sikap tolak ansur dan ringan tulang bagi membantu isteri di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran dari Allah menanti ‘frontliner’ Covid-19 jika 4 perkara ini dipatuhi

Jika kita hayati perjalanan hidup junjungan besar Rasulullah SAW, maka kita akan mendapati Baginda bukan sahaja seorang utusan Allah yang sibuk berdakwah tetapi Baginda juga seorang suami soleh dan sering membantu isterinya di rumah.

Daripada Al Aswad dia berkata: Saya bertanya kepada Aisyah: "Apakah Nabi pernah membantu kerja rumah isterinya?"

Aisyah menjawab: "Baginda suka membantu pekerjaan rumah isterinya, apabila tiba waktu solat, maka Baginda berlalu untuk menunaikan solat." - [HR Bukhari 5579]

Dalam membina dan mempertahankan rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak yakni suami dan isteri adalah amat penting.

Ketika ini golongan suami yang mengambil alih tugas membeli barang dapur.

Perkara utama perlu dilakukan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing. Untuk menjadikan rumah tangga sebagai 'Baiti Jannati' atau Rumahku Syurgaku, tentu sahaja ia menuntut pengorbanan.

Ini bermaksud, para suami berkorban untuk isteri dan sebaliknya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang yang membawa kepada sakinah, mawaddah dan rahmah.

Ada dalam kalangan para isteri yang penat kerana keletihan teramat berbanding kebiasaan kerana si suami dan anak-anak asyik meminta makan sehingga tengah malam.

Itu belum termasuk situasi si suami memperlakukan si isteri seperti khadam yang tidak diberikan rehat secukupnya selepas melakukan pelbagai kerja rumah walhal suami hanya makan, tidur, bermain telefon sambil duduk bersilang kaki melayan laman sosial.

Di sisi mazhab Syafie, melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak bukanlah kewajipan isteri akan tetapi dia digalakkan melakukannya kerana kata ulama ia lebih membawa kepada keharmonian dalam rumah tangga.

Pasangan suami isteri perlulah mempunyai sikap belas kasihan, saling tolong-menolong serta toleransi antara satu sama lain. Seandainya setiap pasangan berkeras mempertahankan 'hak' maka apakah yang akan terjadi kepada rumah tangga?

Kita tidak akan pernah habis bercakap tentang hak, yang terbaik adalah berlumba-lumbalah dalam menunaikan hak pasangan walaupun tidak dituntut.

Libatkan akitiviti mengemas rumah bersama anak-anak turut dapat mendidik mereka tentang tanggungjawab.

Waktu PKP ini lah si suami boleh merapatkan hubungan dengan keluarga tercinta. Selaku ketua keluarga sepatutnya suami menunjukkan sikap yang baik dengan membantu urusan di rumah.

Ini menambahkan kasih sayang antara suami dan isteri. Bukan bahkan suami yang membantu isterinya di rumah maka dia telah melakukan sunnah Baginda Rasulullah.

Pujian Rasulullah kepada lelaki yang berbuat baik kepada isteri seperti di dalam hadis, sabda Rasulullah: Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku. - [HR Ibn Majah 1967]

Antara perkara yang boleh dipraktikkan bagi membahagiakan rumah tangga kita sewaktu PKP ini ialah:

1. Membantu isteri melakukan kerja rumah

Mungkin suami nampak kerja rumah sesuatu yang mudah dan ringan tetapi bila sudah mula membantu isteri, pasti anda akan menyedari betapa tugas ini sebenarnya berat dan sukar.

Pada PKP inilah waktu terbaik untuk pecahkan lemak-lemak di perut supaya suami lebih sihat dan bertenaga.

Suami yang selalu membantu kerja-kerja isterinya akan mendapat kemuliaan di sisi Allah. - Gambar Sekadar Hiasan

2. Sering meminta pendapat isteri

Pada waktu yang getir ini seharusnya perbincangan perlu dilakukan dengan isteri supaya setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik. Minta dan raikanlah pendapat isteri apabila membuat keputusan mengenai perbelanjaan rumah, pengurusan anak-anak dan sebagainya.

Apa gunanya membina ikatan rumah tangga dengan pasangan jika pasangan itu tidak menghargai diri kita? Rasulullah sentiasa meminta pendapat isterinya untuk menunjukkan rasa penghargaan buat si isteri. Apabila suami meminta pendapat isteri, isteri akan berasa lebih bahagia.

3. Sering bergurau senda dengan isteri dan anak-anak

Isteri merupakan seorang wanita yang menginginkan sepenuh perhatian suami, jadi semestinya mereka ingin anda bergurau dan bermanja dengan mereka.

Rasulullah sendiri merupakan suami yang tidak ego dan bersabar dalam bermanja dan bergurau dengan isterinya.

Alangkah indahnya sewaktu PKP ini suami isteri dapat bermanja-manja dengan berbicara bersama, menonton televisyen bersama-sama dan bermain permainan yang menyeronokkan. Pasti si isteri akan terasa dan lebih menghargai kewujudan suami di rumah.

Berbuat baiklah... Dunia ini akan lebih harmoni jika manusia lebih berbicara tentang ihsan daripada berbicara tentang hak. Banyak menuntut hak akan mengeraskan jiwa. Sebaliknya, mengamalkan ihsan melenturkan jiwa.

DR. NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN

PENCERAMAH BEBAS 

4. Memuji isteri dengan penuh keikhlasan

Salah satu cara yang sering diamalkan Rasulullah untuk membahagiakan isteri ialah dengan menunjukkan penghargaan kepada isterinya dengan puji-pujian.

Adalah dituntut untuk suami memuji masakan isteri, pakaian dan kecantikan si isteri. Ia akan menjadikan rumah tangga itu lebih mesra dan tenang.

Tujuan sesebuah perkahwinan itu sendiri adalah untuk  'tranquility' ataupun ketenangan. Jadi adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk mewujudkan ketenangan yang diimpikan di dalam rumah tangga.

Contohilah Baginda Rasulullah kerana firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab ayat 21: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat.

Berbuat baiklah. Dunia ini akan lebih harmoni jika manusia lebih berbicara tentang ihsan daripada berbicara tentang hak. Banyak menuntut hak akan mengeraskan jiwa. Sebaliknya, mengamalkan ihsan melenturkan jiwa.

Semoga PKP ini membuka lebaran baru dalam memperbaiki hubungan suami isteri yang telah lama tidak dibajai dengan kemanisan berkasih sayang.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan personaliti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook. 

Artikel Lain