suria

Ternyata cinta itu buta, pasangan HIV+ bahagia dikelilingi 4 cahaya mata

Rosli Ismail dan Rahayu Rahmat, kedua-duannya penghidap HIV positif menjadi contoh mereka juga boleh hidup bahagia.

MENJADI seorang ibu yang menghidap HIV+, Rahayu Rahmat, sudah terbiasa dengan cakap-cakap orang mengenai hal itu.

Sedang beristirehat dalam biliknya, wanita berusia 49 tahun itu tiba-tiba terhidu satu bau.

Rupa-rupanya, suami Rahayu, Rosli Ismail membawa sepinggan roti bakar dan telur untuknya.

Sarapan itu tidaklah kelihatan menyelerakan tetapi cukup untuk menceriakan harinya.

“Inilah kenapa saya sayang suami saya. Dia tahu macam mana nak bagi saya rasa lebih tenang,” ujar Rahayu ketika ditemubual di Petaling Jaya baru-baru ini.

Rosli, bekas petugas badan bukan kerajaan (NGO) yang juga bekas penagih dadah tersenyum ke arah Rahayu yang dikahwininya sembilan tahun lalu.

Menjaga Rahayu dan empat anak mereka menjadi keutaam Rosli.

Pasangan ini bernikah pada 2010.

Bermula dengan Rahayu bersama anaknya yang hidup di jalanan sekitar 2009, Rosli menyimpan niat untuk membantu mereka.

Rahayu yang juga bekas guru bahasa Inggeris di sebuah kolej di Singapura menjadi gelandangan dan bekerja sebagai pekerja seks untuk membantu keluarganya.

Pasangan Rahayu dan Rosli ditakdirkan bernikah pada 2010 dan selepas lapan tahun melayari bahtera rumah tangga, Rahayu menulis autobiografi berjudul Be Careful Of This Woman: My Journey To Freedom.

Ada orang terpaksa jual anak sebab tak mampu nak bela, tapi dia tak buat begitu.

ROSLI ISMAIL

Ia berkisar mengenai kisah hidupnya dalam perjalanan untuk mencari kebebasan.

Pada Januari lalu, sebuah produksi teater dari Shah Alam turut mementaskan naskah berjudul Forget Me Not yang diilhamkan dari kisah Rahayu.

Namun, tidak mudah untuk Rahayu membuka mulut dan bercerita, sama seperti sewaktu dia kali pertama bertemu Rosli.

“Saya takut lelaki dekati saya,” ujarnya yang dijangkiti HIV gara-gara perbuatan bekas suami pertamanya.

Rahayu, Rosli dan empat anak mereka.

Menurut Rosli, dia terpikat dengan ketabahan Rahayu sewaktu menemui mereka di Johor Bahru suatu ketika dahulu.

“Keberanian dia menarik hati saya, bagaimana dia berjuang untuk anak-anak.

“Ada orang terpaksa jual anak sebab tak mampu nak bela, tapi dia tak buat begitu,” ujar Rosli yang juga penghidap HIV positif.

Kini, tiga anak mereka sudah bekerja, manakala yang bongsu masih bersekolah.

“Perkahwinan kami tidaklah 100 peratus kerana cinta, tapi 50 peratus cinta, 50 peratus cuba-cuba sahaja.

“Lama-lama, saya tak boleh hidup tanpa dia,” ujar Rahayu sambil mengesat air mata.

Tambah Rosli pula, Rahayu banyak membantu dia untuk kekal bersih daripada najis dadah.

Dia juga bersetuju dengan pendapat bahawa cinta itu buta. - Star2.

Rahayu Rahmat, Rosli Ismail, HIV

Artikel Lain