suria

Henti sebar jenama makanan ringan di sekolah! Kevin Zahri bantu pelajar kawal berat badan

Kevin bergambar dengan anak perempuannya. - Foto Instagram @kevinzahri

TIDAK dinafikan makanan ringan sememangnya lazat dinikmati kerana kaya dengan pelbagai perisa yang menyelerakan.

Namun, tidak semua yang lazat itu sihat untuk dimakan dan ada kalanya ia boleh membawa mudarat jika diambil secara berlebihan.

Golongan kanak-kanak terutamanya pelajar sekolah adalah antara kelompok sasaran paling mudah terpengaruh dengan pengambilan makanan ringan.

Pakar pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri memandang serius tentang pengaruh makanan ringan yang menular di sekolah-sekolah dan seterusnya memperngaruhi pelajar untuk mencuba hidangan tidak berkhasiat itu.

“Antara kempen yang kami jalankan adalah mencegah syarikat makanan ringan dalam mempergunakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai pintu untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sering kita lihat syarikat-syarikat besar memberikan beg sekolah dan menamakan kempen itu dengan jenama makanan segera,” katanya kepada mStar Online.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, walaupun kempen kesedaran tentang kesan buruk pengambilan makanan segera sudah diterapkan di sekolah, namun ia menjadi sia-sia sekiranya institusi tersebut masih dijadikan medan untuk tujuan penjenamaan produk.

“Memang sudah dilarang makanan segera daripada dijual di sekolah-sekolah, tapi sebab sekolah adalah a place of trust (tempat yang dipercayai), secara tidak langsung budak-budak akan percaya (kepada jenama tersebut).

“Jadi, kita mahu mencegah syarikat makanan segera daripada menggunakan CSR untuk menyebarkan jenama mereka di sekolah-sekolah. Mereka dialu-alukan untuk beri sumbangan, tapi tidak boleh menjenamakan barangan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kevin tampil memperkenal kempen Cabaran Jom Kurus Sekolah bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan komuniti sekolah.

Kata beliau, program tersebut sebelum ini banyak menumpukan kepada golongan dewasa dan kini sudah tiba masanya untuk memberikan perhatian kepada golongan kanak-kanak yang sedang membesar.

“Perkara pertama, ia bukanlah untuk menguruskan pelajar yang sedang membesar tapi nak fokus kepada sekolah itu sendiri.

“Maksudnya, program ini ingin memberikan pendidikan kepada guru, kesedaran kepada komuniti sekolah dan menggunakan tapak sekolah sebagai hab serta pada masa sama kita akan membina modul pembelajaran bersama KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM),” jelasnya.

Memang sudah dilarang makanan segera daripada dijual di sekolah-sekolah, tapi sebab sekolah adalah a place of trust, secara tidak langsung budak-budak akan percaya.

KEVIN ZAHRI

PAKAR PEMAKANAN DAN KECERGASAN

Tambah Kevin, kempen itu juga diwujudkan bagi membina pendidikan kesihatan kreatif dalam menerapkan ilmu kesihatan kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti untuk tempoh yang berpanjangan.

Program itu juga diharap dapat membimbing kanak-kanak sejak di peringkat sekolah untuk mengawal berat badan dengan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Kempen tersebut dilaksanakan secara percuma dan pendaftaran kepada sekolah serta orang ramai untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan juga sudah dibuka.

Bercerita lanjut, Kevin memberitahu bahawa beliau berperanan untuk menghubungkan pihak sekolah dan individu yang ingin menawarkan bantuan berdasarkan kemampuan masing-masing.

Setakat ini, sudah hampir 600 sekolah dan kira-kira 300 sukarelawan telah berdaftar dengan Cabaran Jom Kurus Sekolah.

Namun, tidak semua program yang bermanfaat seperti ini dapat dijayakan dengan mudah tanpa melalui pelbagai cabaran.

Bagi Kevin, beban tanggungjawab terletak di bahunya kerana program sebesar itu sukar dilaksanakan tanpa kerjasama daripada kementerian berkaitan.

“Ramai orang inginkan benda ini berjalan, tapi ia bukan mudah. Kami mengharapkan kerjasama daripada KKM dan KPM… seperti menyediakan wakil tetap untuk menggerakkan program ini di sekolah-sekolah.

“Sekarang ini lebih kepada sukarelawan yang kami ada untuk menggerakkannya sendiri,” ujar bekas pemain tenis remaja Jerman itu.

Cabaran Jom Kurus Sekolah mensasarkan sebanyak 1,000 sekolah untuk menyertai kempen tersebut menjelang akhir tahun ini, manakala 5,000 sekolah pula bagi tempoh lima tahun dari sekarang.

Bagi mereka yang berminat boleh mendaftar sebagai seorang sukarelawan di www.cabaranjomkurus.com/sekolah.

Antara cabang kesukarelawanan yang ditawarkan adalah pendidik kreatif; pakar nutrisi dan doktor; jurulatih sukan dan kecergasan; pereka grafik; pemaju web; perhubungan media; tajaan; selebriti dan influencer; penulis kandungan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Kevin Zahri, Jom Kurus Sekolah

Artikel Lain