suria

Jom berhijrah ke Itali, rumah dijual hanya 1 Euro, murahnya!

Kediaman di Mussomeli, Sicily Itali dijual pada harga 1 Euro.

PERNAH anda terfikir untuk berhijrah ke Itali? Nampaknya impian itu boleh terlaksana apabila ramai penduduk di bandar Mussomeli, Sicily menjual kediaman mereka dengan harga 1 Euro.

Anda mungkin rasa ia jenaka tetapi sebuah ejen hartanah iaitu Valeria Sorce memberitahu terdapat lebih 100 rumah di pekan itu diiklankan untuk dijual dengan harga tersebut.

"Pelbagai jenis rumah, besar... kecil, semuanya dijual dengan harga 1 Euro," katanya yang turut memberitahu kebanyakan rumah tersebut mempunyai keluasan 300 meter persegi.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia tak perlu visa ke Amerika Syarikat? Ini jawab Wisma Putra

Valeria memberitahu pemilik rumah berkenaan menjual rumah berkenaan kerana berpindah ke bandar lebih besar selain tidak mahu membayar cukai rumah yang ditinggalkan sebanyak 350 Euro (RM1,593) untuk 100 meter persegi.

Ramai penduduk mula berpindah ke bandar lebih besar dan meninggalkan rumah mereka.

Banyak bandar di Itali semakin sunyi dan dengan cara itu ia dapat menarik orang ramai untuk membeli hartanah dan memeriahkan kembali pekan-pekan kecil.

Malah pada 2015, sebuah lagi pekan di Sicily iaitu Gangi, penduduknya memberi kediaman mereka secara percuma dengan syarat ia diubah suai dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun Valeria tidak menafikan walaupun rumah itu dijual dengan harga 1 Euro namun ia datang dengan pelbagai masalah selain memerlukan pemilik baru membuat pengubahsuaian yang menelan belanja di antara 20,000 Euro (RM90,000) hingga 100,000 Euro (RM450,000).

"Ini bukan pekan berhantu... Kami ada hospital, sekolah malah pusat beli-belah yang besar termasuk pub dan restoran selain pelbagai aktiviti boleh dilakukan.

"Namun paling penting pekan ini sangat tenang dan sunyi, anda boleh menenangkan diri di sini," katanya. - The Star 

Itali

Artikel Lain