suria

Penghidap diabetes boleh undang bahaya jika berpuasa tanpa ikut peraturan

Pesakit kencing manis yang melakukan rawatan dialisis tidak digalakkan berpuasa namun boleh berbuat demikian jika mengikut peraturan pemakanan yang betul.

KEDATANGAN Ramadan sudah tentu mempengaruhi rutin kehidupan bagi mereka yang bergantung kepada ubat-ubatan akibat penyakit.

Penghidap diabetes umpanya terdedah kepada risiko tertentu jika mereka gagal mengawal pemakanan atau terlalu menngambil mudah untuk mengetahui tahap kandungan gula dalam darah.

Justeru, bagi mereka yang menghidap diabetes, terdapt tiga jenis risiko iaitu risiko tinggi, sederhana dan rendah yang perlu diketahui jika mereka ingin berpuasa.

Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu Dr Suhazeli Abdullah berkata, antara risikonya ialah hypoglycemia (Kekurangan paras gula dalam darah), hyperglycemia (Paras gula dalam darah yang tinggi), dehidrasi (kehilangan banyak air dalam badan) dan boleh membawa koma.

Ini adalah kesan sampingan yang biasa berlaku kepada pesakit kencing manis yang tidak mengikut arahan pemakanan ubat dan tidak mengawal tabiat pemakanan mereka atau bagi mereka yang telalu ketat pantang pemakanan.

Dr Suhazeli Abdullah


Bagaimanapun ujar beliau, lazimnya pesakit-pesakit ini akan cuba berpuasa, apatah lagi Ramadan setahun sekali.

Jika keputusannya mahu berpuasa, mereka dinasihatkan agar mengurangkan berlakunya risiko-risiko itu, bagaimana untuk mengawal keadaan fizikal dan paras gula dalam darah mereka.

Mereka juga dinasihatkan belajar cara-cara pemakanan dan aktiviti harian, pengubahsuaian ubat, dan apa tindakan jika terjadinya komplikasi itu.

Memandangkan berpuasa adalah suatu tanggungjawab dalam agama Islam, elok jika istilah darurat atau tidak darurat untuk berpuasa tidak digunakan.

Apa yang penting pesakit perlu sedar keadaan fizikal mereka sendiri. Mereka yang senang memahami nasihat doktor boleh diajar menyukat paras gula sendiri di rumah.

DR SUHAZELI ABDULLAH

PAKAR PERUBATAN KELUARGA

Perkataan yang terbaik digunakan kepada penghidap diabetes ialah puasa dengan risiko tinggi, risiko sederhana dan risiko rendah.

Penghidap diabetes yang berisiko amat tinggi untuk berpuasa (very high risk):

1. Berlaku Hypoglycemia (Kekurangan gula dalam darah) teruk dalam masa tiga bulan lepas

2. Hyperglycemia (Paras gula dalam darah yang tinggi) berulang-kali, paras gula yang tidak terkawal berterusan dalam masa tiga bulan lepas

3. Mengalami koma akibat dari paras gula yang melampau dalam tiga bulan terdahulu.

4. Pesakit Kencing Manis Jenis 1

Pemeriksaan tekanan darah juga perlu untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu mengalami tekanan darah rendah atau sebaliknya pada bulan Ramadan.

5. Mengalami penyakit jangkitan semasa seperti jangkitan paru-paru, kaki bernanah atau atau mendapat serangan sakit jantung

6. Perempuan hamil

7. Pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis

Pesakit yang berisiko tinggi (high risk)

1. Hyperglycemia (paras gula dalam darah yang tinggi) sederhana (Bacaan HBA1c 7.5-9.0%). Sila bertemu Pegawai perubatan untuk mengetahui paras HBA1c anda

2.Pesakit yang mempunyai kegagalan buah pinggang

3. Pesakit bersendirian di rumah terutamanya yang memerlukan suntikan insulin

4. Pesakit warga emas yang mempunyai masalah kesihatan lain

5. Pesakit yang telah mendapat Komplikasi Kencing manis seperti angin ahmar atau serangan jantung.

Pesakit yang berisiko sederhana

1. Pesakit yang terkawal paras gula dalam darahnya

2. Pesakit yang mengambil suntikan insulin ‘Short-acting’ seperti Humulin R, novonorm

Pesakit berisiko rendah

1. Pesakit senantiasa mengawal paras gula dalam darahnya, juga mengamalkan pemakanan yang seimbang bagi pesakit kencing manis.

2.Tidak mempunyai masalah sampingan seperti kegagalan buah pinggang atau angin ahmar.

Biasanya mereka yang dalam kategori berisiko rendah boleh berpuasa tanpa mempunyai banyak masalah besar.

Besederhana ketika berbuka puasa dapat menjadikan ibadah itu lebih sempurna. 

Bagi kategori sederhana boleh berpuasa dengan pemantauan rapi dari doktor. Manakala kategori berisiko amat tinggi dan tinggi dinasihatkan tidak berpuasa.

Apa yang penting pesakit perlu sedar keadaan fizikal mereka sendiri. Mereka yang senang memahami nasihat doktor boleh diajar menyukat paras gula sendiri di rumah.

Antara petua dan nasihat untuk penghidap diabetes yang berpuasa ialah;

1. Banyakkan minum air

2. Lewatkan waktu sahur

3. Melakukan senaman yang berpatutan (melakukan solat sunat Tarawih kira senaman juga)

4. Teruskan berbuka jika ada tanda-tanda hypoglycaemia (paras gula rendah)

5. Berjumpa dengan doktor untuk melakukan sedikit pengubahsuaian cara memakan ubat semasa berpuasa. Contohnya jika pesakit mengambil ubat tiga kali sehari, boleh ditukar kepada dua kali dengan panduan yang akan diterangkan oleh doktor.

Sementara itu Islam tidak memaksa umat Islam yang uzur agar berpuasa jika amalan itu boleh memudaratkan tubuh badan dan kesihatan mereka.

Ia turut disebut dalam al-Quran yang maksudnya; (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit? Atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) -  al-Baqarah: 184.

Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Diabetes, kencing manis

Artikel Lain