suria

Dihalau, dicaci... Wanita ini ditakdirkan beraya sendirian walau hakikatnya masih ada keluarga

Rohana buat pertama kalinya raya bersendirian tanpa keluarga di sisi.

PERAYAAN Aidilfitri adalah saat paling berharga buat umat Islam bagi meraikan kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan.

Pastinya suasana kemeriahan ketika berkumpul bersama seisi keluarga, selain menziarah saudara-mara di hari raya sesuatu yang dinanti-nantikan.

Namun tidak semua bernasib baik dapat meraikan Syawal bersama keluarga tercinta seperti yang dialami oleh Rohana (bukan nama sebenar) setelah dibuang keluarga kandung Disember tahun lalu.

Wanita berusia 50 tahun dan masih tidak berkahwin ini tidak sama sekali menduga akan berdepan situasi yang begitu memilukan hingga terpaksa berkelana sendirian.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwa dihalau, dipukul kerana muka iras warga asing

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga online 'lari'! Pelanggan resah baju raya satu keluarga tak kunjung tiba, ada yang tangguh balik kampung, “Kalau tempah semua boleh jadi gila”

Rohana yang berasal dari Kuala Selangor berkongsi kisah dukanya apabila mendakwa dihina dan dihalau keluar rumah setelah lama menetap di rumah saudaranya yang terletak di ibu negara.

"Sehingga sekarang, kata-kata penuh penghinaan dan caci maki masih terngiang-ngiang di telinga saya. Dia juga pernah menggelar diri saya perempuan busuk dan paling menyedihkan, saya disamakan seperti binatang.

"Dia pernah tengking beritahu menyesal bawa saya tinggal serumah dengannya dan saya dihalau tanpa rasa belas kasihan. Ketika itu, dia langsung tidak memikirkan soal keselamatan saya.

Rohana (bukan nama sebenar) buat pertama kalinya beraya di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang, Selangor.

"Saya terus ambil keputusan keluar dari rumah dia walaupun sebenarnya saya keluar tanpa ada arah tuju. Tuhan saja tahu macam mana perasaan saya ketika itu. Ketika berjalan seorang diri, saya berdoa dipertemukan dengan sesiapa yang boleh membantu," ujarnya ketika ditemui mStar di Kajang baru-baru ini.

Dengan kuasa tuhan, doa Rohana akhirnya dimakbulkan apabila terserempak dengan pihak berkuasa yang membantunya dan merujuk  ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rohana yang kini berusia 50 tahun telah dibawa ke Pusat Jagaan Al-Fikrah di Kajang, Selangor pada bulan sama dirinya dihalau darah dagingnya sendiri iaitu Disember tahun lepas.

Menceritakan dengan lebih lanjut, kata Rohana belum berkahwin, ketika dirinya sihat dia sering membantu saudaranya yang berstatus ibu tunggal itu.

Namun apabila Rohana menjangkau usia tuanya, dia tidak mampu untuk bekerja dan cuba membantu melakukan kerja-kerja mengemas rumah tetapi segala yang dilakukannya serba tidak kena di mata saudaranya itu.

Saya tak minta lebih, cukuplah suatu hari tuhan bukakan pintu hati dia untuk melawat saya di sini walaupun dia pernah menghalau saya tanpa belas kasihan.

ROHANA

Bagaimanapun hari raya kali ini adalah saat yang paling menyedihkan buat Rohana kerana pertama kalinya dalam hidupnya dia tidak beraya bersama keluarga di sisi.

Sambutan Aidilfitri bakal diraikan bersama sebahagian penghuni di Pusat Jagaan Al Fikrah dengan perasaan yang sungguh hiba.

"Hati mana yang tak sedih bila terpaksa beraya berseorangan umpama seperti hidup sebatang kara tetapi hakikatnya saya masih ada keluarga sendiri.

"Saya tak minta lebih, cukuplah suatu hari tuhan bukakan pintu hati dia untuk melawat saya di sini walaupun dia pernah menghalau saya tanpa belas kasihan.

"Setiap hari saya menanti kedatangan keluarga," ujarnya sambil menitis air mata.

Walaupun diduga dengan dugaan sedemikian, namun Rohana tetap bersyukur dapat bertemu dengan kawan-kawan yang baik hati dan peramah.

"Alhamdulillah saya dikurniakan kawan-kawan yang penyayang dan baik hati. Mereka juga banyak membantu saya dalam segala hal.

"Seronok dapat berkenalan dengan mereka dan semuanya baik-baik di sini," katanya.

Syawal, keluarga, Aidilfitri

Artikel Lain