suria

Remaja hamil 6 bulan anak luar nikah makan nanas nak gugurkan kandungan, "Dia kata nak balik raya"

Sekadar gambar hiasan.

BIARPUN bahang sambutan Aidilfitri kian terasa, kisah suka duka sepanjang bulan Ramadan pastinya kekal di ingatan kita semua.

Begitu juga dengan pakar perunding keluarga ini yang masih dihantui insiden salah seorang peserta kem cuti sekolah kendaliannya yang hamil anak luar nikah.

Bukan sahaja hamil pada usia 15 tahun kerana telanjur dengan teman lelakinya, malahan remaja itu turut berusaha 'banyak kali untuk menggugurkan kandungannya.

Namun dengan takdir Allah niat tersebut tidak berjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: 5,000 bayi lahir dari remaja bawah 18 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan emosi ibu hamil... jangan ingat bayi dalam kandungan tak terkena tempiasnya!

Kisah benar itu masih segar di ingatan Rohizam Kasim, 48, atau lebih dikenali sebagai Pak Riz walaupun ia sudah empat tahun berlalu.

"Pelajar ini antara 300 peserta yang hadir ke program cuti sekolah anjuran saya. Dia daftar untuk program dua minggu. Semasa program al-Quran peserta perempuan dan lelaki dikehendaki memakai jubah.

"Namun saya bagaikan tertarik dengan peserta tersebut. Naluri saya seakan-akan berkata ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis itu. Saya tak sedap hati maka saya minta isteri saya yang juga bekas jururawat untuk mendekatinya.

Pak Riz berkongsi kisah benar itu di Facebook miliknya baru-baru ini.

"Isteri saya pun borak-borak dan pegang perut dia. Budaknya kecil sahaja tapi bila pegang perutnya dipegang, isteri saya yakin dia memang mengandung. Tapi peserta tu macam tak nak beri kerjasama," katanya ketika dihubungi mStar.

Bimbang dengan perkara itu, Pak Riz berkata dia terpaksa menghubungi keluarga peserta tersebut dan meminta mereka untuk datang segera bertemu dengannya.

"Program ini kalau ikutkan dia tak dibenarkan terlibat kerana takut ada masalah. Bila parents datang saya tak benarkan mereka jumpa gadis tersebut dulu takut terperanjat sebab mereka tak tahu anak mereka mengandung.

"Ayah dia sebenarnya kahwin lain, jadi gadis ini memang tak ngam dengan mak tiri dia. Mungkin disebabkan dia bermain dengan persepsi ibu tiri dia tak sayang dia, lebihkan adik-adik lain dia guna kesempatan itu hidup sebagai remaja terbiar.

"Bila parents tak tahu dia mengandung memang peliklah kan sebab kandungan dia waktu tu sekitar enam bulan. Jadi kita minta parents bawa anak mereka untuk buat pemeriksaan kesihatan bagi mengesahkan kenyataan saya mengenai kehamilannya," katanya yang berasal dari Klebang Besar, Melaka. 

Bagaimanapun Pak Riz berkata dia memberi jaminan kepada ibu bapa gadis itu bahawa dia akan menjaga anak mereka dan bayi yang dikandung andai dia disahkan hamil.

"Ibu bapa dia kelihatan terpingga-pingga mungkin terkejut. Tapi saya beritahu encik jangan pening kepala. Saya tahu (encik) takkan ada masa dan (encik) tak tahu handle anak mengandung ni. Biar saya uruskan. Bila saya cakap macam tu ayah dia macam lega sikitlah.

Remaja itu disahkan hamil. Sekadar gambar hiasan.

"Parents datang semula bersama anak empat hari kemudian beritahu memang sah anak mereka mengandung. Gadis tu beritahu dia tak nak baby tu dan kalau saya nak ambillah. Saya kata bukan isu itu, saya cuma nak akan bantu dia lahirkan anaknya.

"Jadi gadis itu pun jalani kehidupan bersama pelajar perempuan di madrasah saya di Melaka. Maknanya dia menjalani kehidupan macam pelajar lain di madrasah ini. Bangun pagi-pagi solat kemudian berzikir dan baca al-Quran. Dia buat semua dan patuh," katanya.

Bagaimanapun Pak Riz terkejut apabila gadis itu berusaha untuk menggugurkan kandungannya pada bulan Ramadan di madrasah tersebut kerana mahu balik beraya.

"Bila bulan puasa kami ada bawa masuk nanas ke madrasah untuk hidangan pelajar di bulan puasa. Kami pun tak perasaan dia makan nanas tu sebanyak mungkin. Dia memang berusaha untuk gugurkan kandungannya dan kata nak balik sambut raya.

Mak awak budak lagi, kalau awak ada setiap kali dia nampak awak dia nampak kesilapannya. Saya juga minta pelajar dan ustaz di madrasah buat solat hajat untuk kesejahteraan bayi itu.

ROHIZAM KASIM.

Pakar perunding keluarga.

"Lepas makan tu perut dia memulas-mulas. Saya pun bawa jumpa doktor team kami dan rupa-rupanya dia ada masa tiga bulan lagi untuk bersalin. Tiba-tiba dia tunjuk tanda-tanda nak bersalin, waktu tu kandungan usia tujuh bulan.

"Bila nak bersalin saya bawa ke hospital swasta kira-kira lapan kilometer dari madrasah. Sampai-sampai je dia terus bersalin... mudah betul tapi bayi yang dilahirkan itu pra matang dan kos rawatannya mahal," katanya.

Lebih menyedihkan Pak Riz berkata doktor mengesahkan bayi lelaki itu mempunyai peluang tipis untuk hidup.

"Doktor kata peluang bayi untuk hidup 50-50. Disitulah saya dipanggil sebab ia melibatkan kes remaja bersalin bawah umur. Saya pun bincang dengan hospital swasta itu minta tolong ambil kes ini.

Gadis tersebut melahirkan bayi pra matang. Sekadar gambar hiasan.

"Jadi saya perlukan surat kebenaran sebagai penjaga daripada ibu bapa gadis itu. Bila dah dapat surat maka saya pun dapat bertemu dengan bayi tersebut. Tengok keadaan dia memang tak adalah harapanlah," katanya.

Namun Pak Riz bersyukur apabila berlaku keajaiban kepada bayi tersebut dengan izin Allah.

"Baby tu duduk dalam inkubator. Saya minta kebenaran doktor untuk pegang baby tu. Bila saya pegang dia saya borak-borak dengan dia. Saya kata tolonglah buka mata. Awak kena hidup sebab awak nak sedarkan mak awak.

"Mak awak budak lagi, kalau awak ada setiap kali dia nampak awak dia nampak kesilapannya. Saya juga minta pelajar dan ustaz di madrasah buat solat hajat untuk kesejahteraan bayi itu.

"Saya juga berdoa pada Allah tapi baby tu tak bergerak sehinggalah saya teringat masa ibu dia duduk dengan kami, kami selalu berzikir. Jadi bila saya pegang baby tu saya berzikir... berzikir dan tiba-tiba tangan dan kelopak mata dia bergerak. Doktor pun terkejut," katanya.

Sejak insiden itu, kata Pak Riz, gadis tersebut mulai berubah dan bayinya membesar dengan sempurna.

"Kalau tak silap saya baby tu dah umur empat tahun... dah besar dan comel. Sekarang saya dah terputus hubungan dengan mereka. Tapi saya difahamkan baby tu duduk dengan datuk dan nenek dia.

"Gadis tu pula dah berhenti sekolah. Lepas tu dia masuk madrasah di Selangor tiga tahun lepas. Alhamdulillah dia dah habis belajar. Saya pernah jumpa dia. Dia banyak berubah. Sekarang dah pakai purdah dan jubah," katanya.

Pak Riz menawarkan pelbagai program berkaitan hal ehwal kekeluargaan sejak 26 tahun lalu.

Pak Riz yang berpengalaman selama 26 tahun sebagai perunding kekeluargaan berkata dia terpanggil untuk berkongsi kisah tersebut kerana mahu ibu bapa membuka mata mengenai masa berkualiti bersama anak-anak.

"Saya buka kisah ni sempena Ramadan sebab terkenangkan gadis itu dan bayinya. Bila saya highlight isu ni banyak mak bapa sedar. Ini bukan sekadar mengenai orang bermasalah tapi dalam diam-diam boleh berlaku tanpa pengetahuan kita. Jadi betapa pentingnya parents perlu ambil tahu mengenai masa berkualiti dengan anak.

"Peristiwa yang berlaku ini beri gambaran mengenai kasih sayang, masa dan ruang untuk anak-anak. Dalam kes ini remaja cari orang lain sebab dia tak ada tempat nak luah kasih sayang sebab parents busy. Jangan nanti dah terhantuk baru tengadah. Waktu tu dah terlambat.

"Pada masa sama saya juga mahu menyedarkan mereka yang ada masalah keluarga bahawa ada medium yang boleh mereka tuju selain Jabatan Agama Islam. Bila wujudnya orang macam saya ramai datang minta bantu mereka keluar daripada masalah terutamanya membabitkan masalah anak-anak," katanya.

Artikel Lain