suria

Jom lihat aktiviti sekeluarga pada petang dan malam raya, anda suka buat yang mana?

Membakar lemang adalah antara aktiviti yang dilakukan pada petang terakhir Ramadan. - Gambar hiasan/FotoBERNAMA

SELEPAS sebulan menjalani ibadah puasa, tinggal dua hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan Syawal.

Sama ada beraya di bandar atau di kampung halaman, semua orang mula sibuk menyiapkan keperluan untuk pagi Aidilfitri.

Kemeriahan lebaran semakin terasa apabila semua ahli keluarga berkumpul dan bergotong-royong untuk memastikan kelengkapan hari raya tersedia sempurna.

Jom kita intai apakah aktiviti yang sering dilakukan oleh orang kita pada petang dan malam raya.

1. 'Cuci mata' di bazar Ramadan


Kalau tak pandai bakar lemang, cari sahaja di bazar Ramadan. - Foto Saiful Bahri

Selain membeli juadah untuk berbuka puasa, ada juga antara kita yang berkunjung ke bazar pada hari terakhir Ramadan untuk mencari hidangan raya seperti lemang dan dodol.

2. Persediaan untuk berbuka

Walaupun semua ahli keluarga sudah tidak sabar untuk beraya pada keesokan hari, lauk-pauk untuk berbuka puasa pada petang terakhir Ramadan tetap perlu disediakan.

Kalau tidak, terpaksalah berbuka dengan lauk rendang atau ketupat yang dimasak untuk pagi Aidilfitri.

3. Membeli-belah saat akhir


Selalunya peniaga akan memberikan potongan harga jika anda membeli sehari sebelum raya. - Foto Bernama

Percayalah, kebiasaannya golongan wanita ini pasti ada satu atau dua barang yang dirasakan masih tidak cukup walaupun sudah banyak keperluan dan kelengkapan Aidilfitri yang telah dibeli.

Bagi anak-anak yang bekerja di perantauan, inilah kesempatan anda untuk membawa ibu bapa dan kaum keluarga di kampung membeli-belah pada saat akhir sebelum Syawal menjelma.

4. Masak hidangan raya dan cari kayu api

Kebiasaannya, aktiviti pada petang dan malam raya diisi dengan kerja-kerja membakar lemang, memasak rendang, mengacau dodol atau merebus ketupat.Semakin besar keluarga, maka semakin banyaklah hidangan yang perlu dimasak. 

Jadi, kaum lelaki mulalah mencari kayu api untuk dijadikan bahan bakar untuk memasak dari pagi hingga ke malam.

5. Mesin rumput dan sapu sampah


Jangan lupa sapu daun-daun dan sampah di halaman rumah. - Foto G. C. Tan

Bukan ruang dalam rumah sahaja perlu nampak indah, kawasan halaman rumah pun kenalah nampak cantik kan? Sekali-sekala pulang ke kampung tu, apa salahnya tolong potong rumput dan sapu sampah. 

Suasana yang bersih dan kemas tentunya memberi aura positif untuk semua. Barulah seronok sanak saudara datang beraya.

6. Pasang langsir dan kemas rumah

Ketika inilah ibu-ibu di kampung akan minta anak-anak atau suami menggantikan langsir lama dengan yang baharu.

Rumah yang bersepah pun perlu dikemas dan dihias agar kelihatan berseri untuk menyambut ketibaan Syawal.

7. Gosok baju raya


Kaum wanita biasanya yang bertugas menyeterika baju raya semua ahli keluarga. - Foto Rohaizat Md Darus

Kebiasaannya, mereka yang tinggal di kota akan menggosok baju raya siap-siap sebelum pulang ke kampung kerana tidak mahu berebut dengan ahli keluarga yang lain.

Namun, bagi yang tidak sempat berbuat demikian, gosok baju dan tudung seisi keluarga adalah antara aktiviti wajib sehari sebelum raya.

8. Masuk kuih raya dalam balang

Selepas selesai semua kerja-kerja memasak, kini tiba pula masa untuk memasukkan lauk-pauk dan kuih raya ke dalam bekas.

Pinggan-mangkuk yang tersimpan lama di dalam kabinet dapur juga perlu dikeluar dan dibersihkan untuk dihidang kepada tetamu.

9. Main meriam buluh, mercun dan bunga api


Meriam buluh sangat popular pada sambutan Aidilfitri. - Foto Rapaee Kawi

Kemeriahan malam raya dihidupkan dengan perang dentuman meriam buluh antara kampung dan tidak kurang juga mereka yang membakar mercun serta bunga api bersama sanak-saudara.

10. Masukkan duit raya dalam sampul


Duit raya sering diisi mengikut perbezaan warna sampul. - Foto Bernama

Haa… memasukkan duit raya ke dalam sampul sudah menjadi aktiviti wajib bagi mereka yang berkemampuan setiap kali tibanya musim perayaan.

Untung elakkan kekeliruan, duit raya hendaklah diasingkan mengikut jenis sampul supaya mudah disampaikan kepada ibu bapa, anak-anak, sanak saudara, jiran tetangga dan tetamu yang datang bertandang.

11. Takbir raya

Selepas sebulan berpuasa, umat Islam akan melaungkan takbir hari raya untuk membesarkan keagungan Allah SWT dan sebagai tanda memanjatkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan-Nya.

Aidifitri, Syawal, petang raya

Artikel Lain