PULANG beraya di kampung halaman menjadi saat yang paling dinanti-nantikan menjelang Aidilfitri. Ada yang pilih naik kereta, tidak kurang juga yang mahu merasai pengalaman menaiki bas, kereta api, kapal terbang dan sebagainya. Namun, walau kenderaan jenis apa pun yang dinaiki, ia tidak memberi jaminan untuk si penumpang yang ada masalah mabuk dan loya-loya ketika dalam perjalanan untuk 'lari' dari masalah ini. Berikut beberapa tip yang boleh digunakan untuk mengelakkan rasa pening dan loya ketika pulang beraya. 1. Pandang jauh ke luar Memandang objek jauh ke luar jendela dapat membantu mengurangkan rasa pening. -foto Hello Health Group Jika anda rasa nak muntah ketika dalam perjalanan, cuba alihkan pandangan ke luar tingkap. Perhati dan pandang objek yang jaraknya lebih jauh. Cara ini mampu membantu menghilangkan rasa loya dan pening. Dalam pada itu, anda mungkin perlu mengubah posisi duduk untuk mencari posisi yang lebih selesa yang dapat mengurangkan rasa mabuk perjalanan. 2. Makan ringan-ringan ketika buka puasa Memilih makanan ringan semasa berbuka adalah langkah bijak. -foto Hello Health Group Jika anda harus berbuka puasa dalam perjalanan, elakkan makan makanan berat terlebih dahulu, terutama jika anda tidak mahu berhenti dan hanya mahu berbuka dalam kenderaan yang bergerak bagi menjimatkan masa. Anda dinasihatkan mengambil makanan ringan seperti biskut, roti, bijirin atau buah-buahan seperti epal dan pisang. Harus diingat, mengambil makanan berat atau mengandungi banyak minyak seperti mi goreng atau nasi goreng ketika dalam perjalanan hanya akan memudaratkan keadaan anda kerana jenis makanan seperti itu memerlukan waktu yang lebih lama untuk dihadam. 3. Jangan baca buku atau 'layan' gajet Membaca bukan satu aktiviti yang disarankan. -foto Hello Health Group Ketika dalam perjalanan, ramai yang akan buat aktiviti yang disukai bagi mengelakkan rasa bosan. Dalam hal ini ramai yang pilih membaca buku atau bermain gajet. Tahukah anda dua aktiviti tersebut adalah salah satu punca yang menyebabkan rasa mual dalam kenderaan. Hindari melakukan aktiviti yang memaksa mata bekerja lebih keras. Cubalah beralih ke aktiviti lain seperti mendengar muzik atau manfaatkan saja waktu itu untuk tidur jika anda pulang bersendirian. 4. Cuba cari tempat duduk selesa Pemilihan tempat duduk, terutama jika menaiki kenderaan awam adalah penting. -foto Hello Health Group Cara duduk yang betul juga menjadi kaedah utama menghilangkan rasa mabuk dalam kenderaan. Lebih-lebih lagi jika anda perlu menempuh perjalanan jauh pulang beraya. Kedudukan yang selesa bergantung kepada jenis kenderaan yang anda naiki. Jika anda mual ketika menaiki kapal, cubalah minta duduk di kabin depan atau di bahagian tengah. Jika anda naik kapal terbang, pilihlah kerusi di bahagian depan iaitu sebelum sayap pesawat. Bagi yang naik kereta api, anda perlu duduk di kerusi menghadap ke depan, iaitu arah ia bergerak dan dekat dengan tingkap. Sementara itu, untuk menghilangkan loya ketika naik kereta, sandarkan saja kepala anda di kerusi supaya anda lebih selesa dan tenang sepanjang perjalanan. Jika anda duduk di tempat duduk belakang, elakkan melihat kerusi yang ada di depan anda terlalu lama. 5. Berborak Jika pulang beraya dengan keluarga, jangan ragu-ragu untuk berborak sesama mereka. Cara itu menjadi salah satu cara paling berkesan untuk menghilangkan rasa loya kerana pemikiran anda akan 'teralih'. Jika anda bersendirian naik kenderaan awam, tidak ada salahnya berkenalan dengan orang baharu di kiri atau kanan anda. -Hello Sehat