suria

Ibu bapa jangan leka! Pengilat kuku antara produk kecantikan punca kanak-kanak dikejarkan ke hospital

Setiap dua jam, seorang kanak-kanak akan dikejarkan ke hospital akibat terdedah kepada produk kecantikan dan penjagaan diri. Gambar Sekadar Hiasan

SETIAP dua jam seorang kanak-kanak akan dikejarkan ke hospital akibat tertelan atau terdedah kepada produk kecantikan dan penjagaan diri, demikian menurut kajian terbaharu di Amerika Syarikat.

Kajian yang dilakukan oleh Injury Research and Policy di seluruh hospital kanak-kanak di Ohio itu mengumpulkan data melibatkan kanak-kanak dibawah usia lima tahun yang dikejarkan ke wad kecemasan di antara 2002 hingga 2016 kerana cedera akibat produk kosmetik.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui tip mudah kurangkan masalah berdengkur

Menerusi kajian itu, dianggarkan 64,686 kanak-kanak dirawat disebabkan kecederaan berkaitan produk seperti syampu, losyen, pengilat kuku dan alat solekan, manakala 75 peratus daripada kes tersebut disebabkan tertelan produk atau pun terkena kulit serta 19 peratus lagi melibatkan mata.

Keracunan akibat tertelan produk juga menunjukkan 86 peratus, manakala yang menyebabkan melecur pula 13 peratus.

Produk penjagaan kuku seperti pengilat dan pemadam kuku adalah antara paling popular yang mengakibatkan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak iaitu hampir 30 peratus kes.

Seterusnya, produk penjagaan rambut (27 peratus) selain terdedah kepada minyak wangi (12 peratus) juga boleh mengakibatkan kanak-kanak dikejarkan untuk rawatan di hospital.

"Kanak-kanak melihat ibu bapa mereka menggunakan produk ini dan mereka mula mengikut apa dilakukan, namun ia berakhir dengan bencana.

"Produk-produk ini pula kebiasaannya diletakkan di tempat yang mudah dicapai oleh anak-anak tanpa menyedari ia mendatangkan bahaya," kata Rebecca McAdams.

Bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak terjadi kepada anak-anak kita, apa kata individu bergelar ibu dan bapa mula mengambil langkah keselamatan ini:

1. Simpan semua produk penjagaan diri dan kecantikan di tempat selamat serta tidak boleh dicapai oleh anak-anak.

2. Jangan tinggalkan produk yang digunakan dalam keadaan terbuka dan sebaiknya selepas guna simpan di tempat asal.

3. Apa kata laburkan sedikit wang untuk membeli kotak simpanan bagi menyimpan produk-produk tersebut. - AFP

Artikel Lain