SEBUAH keluarga yang meninggalkan kehidupan di kota untuk mengembara ke seluruh dunia kini meraih ribuan pound daripada 'campervan' milik mereka. Ibu muda, Jennifer Constant mendapat idea untuk berhenti kerja pada 2016 selepas melahirkan anak lelakinya. Wanita berusia 33 tahun itu berkata dia dan pasangannya, Terry yang bekerja dalam bidang logistik ketika itu melakukannya kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. ARTIKEL BERKAITAN: 3 sahabat 'travel' ke Moscow dari Beijing guna Trans Siberian Railway... Ini caranya! Keluarga tersebut menjual kediaman mereka di Bristol, United Kingdom (UK) yang bernilai RM1.6 juta dan mengemas segala barangan yang diperlukan sebelum memulakan pengembaraan. Jennifer yang merupakan bekas pengarah kutipan dana berkata, kini dia memperoleh pendapatan dua kali ganda berbanding pekerjaan sebelumnya. Jennifer dan Terry mengembara bersama anak mereka, Ethan. - PA Real Life Dia membuka agensi pemasaran digital Jennifer Claire Media untuk profesional perkahwinan sambil mengembara ke beberapa negara di Eropah. Selain tiga lagi perniagaannya, dia dianggarkan meraih pendapatan enam angka dan ia sudah melebihi dua kali ganda dari gajinya sebelum ini. Wanita itu menguruskan masanya dengan menjaga anak, melepak dengan keluarga dan rakan-rakan serta tidak lagi membayar sewa selama dua tahun. "Kadang-kadang saya tengok ke belakang dan mencubit diri sendiri. Saya tidak percaya pengembaraan ini sangat menakjubkan. "Kami juga berdepan dengan kritikan orang yang berkata kami akan pokai atau kehabisan wang simpanan, jadi saya sangat nekad untuk memastikan perniagaan saya berjaya," katanya. Pasangan itu mula berkenalan di Universiti Portsmouth pada 2003 selepas berkongsi minat terhadap pelancongan. Kadang-kadang saya tengok ke belakang dan mencubit diri sendiri. Saya tidak percaya pengembaraan ini sangat menakjubkan. JENNIFER CONSTANT Mereka kemudian mengembara (backpacking) bersama ke 36 negara setelah menamatkan pengajian. Sebaik kembali ke UK, mereka berdua mendirikan rumah tangga dan memiliki kerjaya masing-masing serta menabung untuk membeli rumah idaman mereka. Namun, segalanya berubah apabila mereka dikurniakan cahaya mata sulung pada 2015. "Kami jarang berjumpa dan berasa seperti kami bekerja keras hanya untuk membayar bil. "Kemudian, pada satu hari sekitar 2016, saya kata kepada Terry, 'apa yang kita sedang lakukan?'," ujarnya. Pasangan itu akhirnya memutuskan untuk menjual rumah mereka dan membeli sebuah rumah kereta. Kini keluarga kecil mereka sudah mengembara jauh ke Sepanyol, Portugal, Perancis, Belgium, Luxembourg, Jerman, Austria, Slovenia dan Itali sejak memulakan pengembaraan pada 2017. - The Mirror