suria

"Mak ayah bukan neraka, mereka kunci syurga" - Guru kongsi kisah benar luahan bapa 'makan hati' dengan anak-anak buat ramai tersentak!

Sebagai anak kita harus mengasihi ibu bapa dan menghormati mereka. (Foto Sekadar Hiasan)

SEBAGAI seorang anak pasti ramai daripada kita yang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan terhadap ibu bapa, sama ada secara sedar atau pun tidak sengaja.

Ini termasuklah menjaga adab ketika berbicara dengan mereka sehingga ada segelintir yang gemar bercakap kasar dan mengguris perasaan serta hati kedua orang tua yang disayangi.

Perkongsian perbualan Wan Adli Wan Muhammad dengan seorang warga emas cukup menyentak hati sehingga ia tular di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Dihalau, dicaci... Wanita ini ditakdirkan beraya sendirian walau hakikatnya masih ada keluarga

Wan Adli yang juga seorang guru memberitahu tindakannya berkongsi kisah ketika bertemu dengan lelaki berusia 80 tahun itu adalah semata-mata untuk dijadikan teladan.

Cerita Wan Adli, dia pada awalnya berbual kosong dengan pakcik tersebut ketika menemani isterinya mendapatkan pemeriksaan di sebuah klinik apabila datang seorang pemuda bercakap dengan nada kasar dengan bapanya yang duduk berhampiran mereka. Pemuda itu kurang senang kerana bapanya tidak dengar namanya sudah beberapa kali dipanggil untuk masuk ke bilik doktor.

"Suara dia taklah kuat tapi kami boleh dengar. Terkedu kami jadinya. Bangunlah pakcik tu perlahan-lahan sambil jalan pun terketar-ketar, ketika itu anak dia dah jalan laju ke depan," katanya.

Namun kata Wan Adli, kejadian itu telah membuatkan pakcik yang duduk disebelahnya membuka cerita yang cukup menyentuh hati, namun pada masa sama memberi pengajaran cukup besar.

Wan Adli bersama bapanya, Wan Muhammad.

"Inilah bala yang kita sedang hadapi, diberi tontonan percuma dari Allah. Anak cakap kasar dengan orang tua dan benda begini dah biasa, selalu sangat kita tengok. Kita pula tengok sahaja tanpa menegur orang tu"," kata pakcik itu cerita Wan Adli.

Buat Wan Adli lebih tersentuh apabila warga emas itu bertanya jika masih ada ibu bapa yang berani menegur sikap biadap anak-anak mereka walaupun telah dewasa.

"Berapa ramai mak dan ayah yang berani tegur anak-anak dia yang dah besar ni? Berapa ramai boleh bagi tahu saja, suruh cakap baik-baik dengan orang tua. Suruh anak-anak cakap baik dengan mereka," kata pakcik itu lagi.

Cerita pakcik itu lagi kata Wan Adli, dia sendiri pernah mempunyai sejarah serupa apabila anak-anaknya sendiri bercakap kasar dengan isterinya kerana hal remeh temeh.

Kata pakcik itu, situasi itu lama-kelamaan menjadi tabiat dan semua anak-anak bercakap kasar terhadap isteri dan dirinya walaupun tidak selalu berlaku.

"Kita ni dah tua, simpan sahajalah dalam hati, duduk rumah berbincang berdua sahajalah. Mengadu ke isteri, isteri mengadu ke saya, habis begitu.

"Sehinggalah satu hari, anak nombor dua marah ke maknya hanya kerana lauk dah siap masak tetapi terlupa memetik suis periuk nasi.

Borak dengan pakcik-pakcik ni seronok. Banyak pengalaman hidup dia orang yang boleh dijadikan teladan kepada kita.

WAN ADLI WAN MUHAMMAD

GURU 

"Masa itu pakcik okey lagi tapi bila yang lain mula menyampuk, siap perli-perli ke maknya, gurau-gurau guna ayat yang tak sepatutnya, pakcik teruslah tegur. Baru mereka tahu," cerita pakcik itu lagi kepada Wan Adli.

Tidak tahan dengan keadaan itu, Wan Adli berkata, pakcik itu meminta semua anak-anaknya yang pulang ke kampung untuk balik ke rumah masing-masing dan jangan kembali sekiranya hanya mahu menyakiti hati ibu bapa.

"Kalau balik nak sakitkan hati mak kau orang, nak rendah-rendahkan dia, tak payah bazirkan minyak kereta untuk datang ke sini. Cukuplah tengok gambar kau orang yang ada di dinding tu, daripada sakit hati dengan apa yang kau orang dah buat.

"Masa kau orang kecil, duduk sekali dengan kami, mak tak pernah pun marah bila kau orang tanya banyak kali. Layan, jawab. Ada juga kamu terlupa nak ambil itu dan ini, mak kekal tak marah. Mak diamkan sahaja.

"Ini fasal terlupa petik suis, bukan mainlah marahnya. Hal kecil. Ini anak-anak ada tengok ni, esok anak-anak buatlah macamana mak bapak kau orang buat kat aki dan wan ni, tengok dia orang terasa ke tak," ceritanya lagi.

Bagaimanapun kata Wan Adli, hati seorang ibu tetap ingin mempertahankan anak-anaknya dan tetap meminta pakcik berkenaan bersabar kerana kejadian itu hanya perkara kecil.

Wan Adli bertemu dengan pakcik tersebut ketika menemani isterinya melakukan pemeriksaan di sebuah klinik.

"Ha tengok. Mak awak tetap nak makan dengan awak semua. Awak semua gelak perlekehkan dia, tetap dia nak makan dengan anak-anak.

"Dia simpan sahajalah dalam hati sakit tu, kecewa. Yang penting dapat lagi merasa makan dengan anak-anak.

"Fikirlah. Semua dah besar. Ada siapa nak marah? Tak setuju dengan apa yang abah cakapkan ini? Kalau ada, pergi balik sekarang!," kata pakcik itu lagi cerita Wan Adli.

Bagaimanapun kata Wan Adli, tindakan pakcik itu memarahi anak-anaknya telah menyedarkan mereka apabila semuanya memohon maaf selain hubungan mereka lebih akrab.

"Alhamdulillah, semua okey. Tak ada dah yang cakap kasarnya, semua cakap elok dah. Layan kami pun cukup bagus dan paling tak disangka, boleh kata tiap-tiap minggu ada yang balik ke kampung. Tak sunyilah hari Sabtu dan Ahad tu, ada sahaja periuhnya. Agaknya dia orang pakat sesama sendiri buat jadual siapa kena balik," kata pakcik itu.

Cerita Wan Adli lagi, pakcik itu turut meninggalkan pesan agar tidak bercakap kasar dengan orang tua dan sentiasa menjaga hati dan perasaan mreka.

"Kalau ada, janganlah cakap kasar dengan dia orang. Dua-dua dah tua. Telinga tak berapa nak dengar, langkah tak sederas dahulu, tenaga tak segagah semasa lincah, cakap tak sekuat semasa muda.

"Jaga hati dan perasaan mak dan ayah. Umur-umur macam saya, tahap simpan perasaan sahajalah kalau ada anak buat yang tak betul. Nak tegur beria karang, bimbang ke anak terasa hati. Bimbang anak tak nak balik.

"Anak-anak ini, syurga. Mak dan ayah tu, bukan neraka. Mereka tu kunci syurga," kata pakcik itu mengakhiri perbualan.

Guru, Ibu Bapa

Artikel Lain