suria

Impian bergelar pilot terkubur, rakan sekuliah 'penyelamat' si rabun warna.... “Ibu tampal sticker objek ikut warna pada pensil bagi saya cam”

Ridzwan dapat merasai pengalaman melihat warna sebenar menerusi dokumentari Sepia: Reimagine Reality.

MASALAH penglihatan rabun warna dialami individu yang semestinya sukar melihat rona sebenar dalam menjalani kehidupan harian mereka.

Secara realitinya, cita-cita yang sudah lama diidamkan terpaksa dilupakan hanya kerana mengalami masalah penglihatan rabun warna.

Demikian yang dialami Mas Ridzwan Khan selepas hasrat ingin menjadi seorang juruterbang tidak dapat digabai hanya kerana masalah itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Alha Alfa risau fikirkan wang hantaran, tapi kata-kata bakal mentua memang tak disangka “Masih ada insan ikhlas”

"Saya dapat tahu yang saya rabun warna ketika umur tujuh atau lapan tahun, masa tu ibu sendiri yang beritahu.

“Sebenarnya saya bercita-cita nak jadi  juruterbang sejak kecil lagi dan impian itu terus terkubur. Tetapi selepas SPM, saya masih cuba apply jadi juruterbang tetapi gagal sebab antara syaratnya perlu mata yang baik.

Ridzwan bersama isteri, Aina Amira dan anak perempuannya, Embun Maya Jelita.

“Di mana-mana sahaja dalam setiap bidang pekerjaan, saya terpaksa hadap ujian warna dan kebiasaannya saya akan straight gagal... Bukan bidang pekerjaan saja, ujian warna ketika ambil lesen kereta pun saya gagal tetapi atas nasihat doktor, saya dilepaskan dalam ujian warna tersebut.

“Tipulah kalau kata tak kecewa, tak rasa sebab  memang down sangat-sangat tetapi atas dorongan keluarga, saya terus kuatkan semangat demi diri dan keluarga,” ujarnya yang kini mewarisi perusahaan ATV milik bapanya di ATV Rimba Kemensah, Hulu Klang.

Meskipun pemuda berusia 27 tahun yang mesra disapa Ridzwan ini tidak dapat meneruskan hasratnya menjadi juruterbang, dia berhasil mendapatkan sijil dalam bidang kejuruteraan mekanikal melalui pengajian pendek di pusat latihan Argyll Ruane, Sheffield, England pada  2013.

Ridzwan yang mengalami rabun warna terhadap warna oren, merah, hijau dan kuning ini menganggap kekurangan dirinya itu adalah satu keistimewaan.

Menceritakan pengalaman yang tidak pernah dilupakan, kata Ridzwan, dia berhadapan situasi mencemaskan apabila terpaksa mengambil ujian mata sebagai antara syarat wajib untuk memperoleh sijil pengajiannya.

Rabun warna bukan satu penghalang buat Ridzwan untuk menggapai cita-citanya.

“Waktu final exam, saya kena lulus ujian mata dan jika tak lulus, saya tak boleh graduate sebab itu memang syarat wajibnya.. Di Sheffield, tiada siapa yang tahu saya rabun warna kecuali kawan-kawan Melayu.

“Waktu exam, kawan-kawan tolong saya dengan sebutkan jawapan dalam bahasa Melayu, mereka sebut perlahan-lahan walaupun orang di sana tak faham bahasa kita.

“Alhamdulillah berkat pertolongan kawan-kawan yang semuanya supportive, saya lulus dan dapat graduate.

“Bukan itu je, sewaktu di sekolah saya memang ambil seni dan setiap hari bermain dengan pensil warna. Ibu saya siap tampal sticker gambar objek mengikut warna-warna dekat pensil warna supaya saya boleh cam warna yang sebenarnya,” katanya yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Dalam pada itu, adik kepada Ridzwan iaitu Mas Khan yang merupakan seorang pelakon akui abangnya seorang yang tabah dan kuat menghadapi cabaran walaupun terpaksa berhadapan dengan masalah penglihatan rabun warna.

Ridzwan berpeluang melihat warna sebenar menggunakan cermin mata berteknologi Chromagen dari ruangan udara.

“Waktu dulu ketika zaman abang ambil SPM, saya tengok dia sanggup berhempas pulas untuk mendapatkan keputusan yang bagus.

“Cita-cita dia nak jadi juruterbang tetapi bila dapat tahu tak dapat jadi pilot disebabkan buta warna, dia down sangat dan kami semua satu family support abang supaya dia tidak terus kecewa kerana gagal penuhi impian yang dah lama simpan,” katanya.

Sementara itu, menerusi hasil dokumentari Sepia: Reimagine Reality oleh pelajar Komunikasi Instruksional dan Latihan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam membuka peluang kepada Ridzwan melihat warna sebenar buat pertama kali dengan melihat panorama indah dari ruangan udara dengan menaiki helikopter.

Cermin mata dengan teknologi Chromagen merealisasikan impian Ridzwan melihat keindahan warna sebenar yang membuatnya tersentuh hati dan pengalaman yang pasti tidak akan dilupakan.

rabun, Mas Ridzwan, Chromagen

Artikel Lain