suria

“Mak besarkan kami 16 adik-beradik, urus ayah yang lumpuh dengan hanya RM150 sebulan”

Keluarga besar Mohd Yazid Ismail (paling kanan, barisan kedua) bersama 15 adik-beradiknya yang lain. Foto Facebook MOHD YAZID ISMAIL

MEMPUNYAI adik-beradik yang ramai dalam sebuah keluarga boleh menimbulkan masalah sekiranya ibu bapa gagal menerapkan nilai kasih sayang dan memberikan perhatian kepada setiap anak.

Bagaimanapun situasi itu juga boleh menjadi satu titik tolak dalam membentuk sahsiah anak-anak untuk berdikari selain memupuk sikap tanggungjawab dalam diri mereka.

Situasi inilah yang dialami seorang usahawan, Mohd Yazid Ismail yang mempunyai 16 orang adik-beradik dan 11 orang daripadanya adalah lelaki.

"Saya ada 16 adik-beradik, seibu sebapa yang mana 11 daripadanya semua lelaki. Ada orang rasa stres dan sedih bila beranak lima orang sederet lelaki, mak saya rileks jer dapat 11 anak semua lelaki," katanya menerusi Facebook.

Perkongsiannya itu menyentuh hati ramai pembaca sehingga ia tular dan mendapat hampir 3,500 perkongsian di laman sosial itu. 

Kagum dengan kegigihan seorang bernama 'ibu'

Cerita Mohd Yazid, mempunyai adik-beradik ramai bukan sesuatu yang mudah namun dia kagum dengan kegigihan ibu bapanya membesarkan mereka sehingga kesemuanya berjaya menyambung pelajaran ke peringkat universiti.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata dia masih dapat mengimbas saat ibunya hamil adik bongsunya pada 1991, yang mana ketika itu bapanya diserang penyakit angin ahmar serta lumpuh.

Mohd Yazid (tengah) bersama ibu dan kenalan ketika majlis konvokesyennya. 

Ekoran insiden itu, mereka sekeluarga hilang sumber pendapatan dan hidup dalam kesusahan.

"Tiada simpanan sebab kehidupan ketika itu cukup-cukup makan sahaja, Alhamdulillah pihak masjid ada beri wang ehsan setiap bulan RM150.

"Mak besarkan kami 16 adik-beradik dan dalam masa yang sama uruskan ayah yang lumpuh dengan hanya RM150 sebulan. Macam mana boleh survive? Ini semua urusan Allah, rezeki daripada-Nya," katanya.

'Rezeki' kesedaran untuk berdikari

Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan, Mohd Yazid yang juga anak kesebelas memberitahu situasi itu telah mengajar kesemua adik-beradiknya untuk berdikari.

Sejak sekolah rendah katanya, mereka semua sudah mula mencari wang sendiri dengan melakukan kerja seperti buruh, mengutip botol dan tin untuk dijual, bercucuk tanam dan sebagainya.

"Pada tahun 2001, ketika tingkatan empat, saya masih kutip kayu api untuk masak. Ada berlaku kecederaan ketika sedang memotong kayu, parang terkena kat tangan. Ada kesan parut di tangan kiri.

Walaupun kehidupan mereka adik-beradik sukar ketika kecil namun ia telah mengajar mereka untuk berdikari. 

"Makanan kami juga tidak semewah orang lain. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada Rancangan Makanan Tambahan (RMT), dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan," ujarnya.

Mohd Yazid berkata walaupun hidup susah dia tidak pernah melihat ibunya berhenti berjuang atau mengaku kalah dalam membesarkan anak-anak kesayangannya.

Malah katanya, dia tidak pernah melihat ibunya mengeluh di hadapan anak-anak walaupun pernah melihat ibunya itu menangis mungkin disebabkan menanggung keperitan hidup ketika itu.

"Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.

"Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun sukar.

"Banyak kali saya menangis sebab melihat ayah yang makin lemah dan kudis di badannya makin besar disebabkan terlalu lama terbaring... sangat meruntun jiwa," ceritanya.

Mohd Yazid bersama isteri, Widyana Ali dan lima orang anak mereka. 

Abang berkorban wang biasiswa demi keluarga

Dalam pada itu, Mohd Yazid berkata, dia bersyukur kerana mempunyai ramai abang yang banyak berkorban demi memastikan adik-beradik lain dapat hidup selesa.

Imbasnya, abang-abangnya sering mengirimkan duit biasiswa yang diperoleh ketika menuntut di universiti selain sanggup mengikat perut bagi meringankan beban ibu mereka.

Pun begitu katanya, mereka tetap berjimat cermat selain masih masuk hutan untuk mencari kayu api kerana tidak mahu menggunakan dapur gas sebagai langkah berjimat.

"Kalau bekalan kayu api berkurangan, kami adik-beradik akan masuk hutan mencari kayu api. Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarga kami sahaja.

"Mak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung.

"Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung," katanya.

Makanan kami juga tidak semewah orang lain. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai.

MOHD YAZID ISMAIL

Pegang pesanan ayah

Bercerita mengenai bapanya, Mohd Yazid berkata, ketika bapanya masih hidup dan sihat, lelaki itu tidak pernah bertanya tentang pencapaian mereka adik-beradik di sekolah.

Sebaliknya kata Mohd Yazid, Allahyarham akan bertanya sama ada sudah bersolat atau berjemaah di masjid kepada kami setiap hari.

"Ayah pesan tidak guna belajar tinggi dan berpangkat tetapi solat berjemaah tidak dijaga. Arwah memang sangat menekankan amalan agama.

"Walaupun ketika itu bersekolah dan sibuk mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat berjemaah.

"Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran dan Alhamdulillah semua adik-beradik berjaya masuk universiti," katanya.

Pesanan untuk ibu bapa, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah.

"Sekarang bila tengok orang yang kutip tin dan botol di tepi jalan saya teringat keadaan saya dulu-dulu. Walaupun saya dah hidup senang dan Alhamdulillah bisnes saya maju tapi saya tak lupa asal usul saya," katanya.

Artikel Lain