suria

Jika terjadi 5 masalah ini, kandungan anda mungkin dalam bahaya!

Jangan abaikan tanda-tanda ditunjukkan oleh badan anda yang mungkin membahayakan kandungan. - Gambar Sekadar Hiasan

SETIAP wanita mengandung pasti menginginkan proses kehamilannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah namun terdapat beberapa kemungkinan boleh berlaku yang bukan sahaja membahayakan janin tetapi bakal ibu.

Adalah amat penting untuk mengetahui tanda-tanda yang ditunjukkan sepanjang kehamilan agar dapat mengatasi sebarang masalah pada kandungan yang mana ada di antaranya mudah untuk dikenal pasti.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah jaga orang sakit namun tip daripada pakar ini mungkin boleh membantu

Sekiranya tidak diberi perhatian terdapat beberapa kemungkinan boleh berlaku kepada kandungan anda termasuklah kebocoran air ketuban, bayi tidak membesar dengan baik, bayi mengalami hipoksia (tali plasenta tidak dapat mengalirkan darah beroksigen serta nutrien kepada bayi), keguguran serta bayi mati dalam kandungan.

Jika terdapat sebarang kemusykilan segeralah berjumpa doktor anda. 

Berikut adalah 5 tanda kandungan anda mungkin dalam keadaan bahaya:

1. Pergerakan janin minimum atau tiada pergerakan

Sekiranya anda mendapati janin anda hanya bergerak dalam kadar minimum atau langsung tiada tindak balas, perkara ini jangan dipandang ringan.

Janin berada dalam keadaan itu mungkin disebabkan tidak mendapat cukup oksigen atau permasalahan lain yang dapat mengancam nyawanya.

Paling baik, hitung pergerakan bayi anda setiap dua jam. Jika tendangan bayi kurang dari 10 kali maka anda harus segera berjumpa doktor.

2. Pendarahan pada faraj

Pendarahan ketika hamil boleh disebabkan oleh pelbagai faktor namun jika darah yang mengalir berserta sakit perut, kekejangan dan hampir pengsan ketika kandungan pada trimester pertama boleh menjadi petanda kehamilan itu di luar rahim.

Pendarahan berterusan dengan kekejangan juga boleh menandakan anda sedang mengalami keguguran ketika kandungan pada peringkat trimester pertama dan kedua.

Jika ia berlaku pada trimester ketiga, ia mungkin disebabkan oleh masalah plasenta yang terbentuk di dalam rahim.

3. Sakit kepala dan gangguan penglihatan

Jika anda mengalami sakit kepala kronik melebihi dua ke tiga jam berserta gangguan penglihatan, situasi itu mungkin petanda anda mengalami praeklampsia iaitu sejenis keadaan yang dikaitkan dengan tekanan darah tinggi serta kehadiran protein dalam air kencing.

Ia hanya akan berlaku pada wanita hamil selepas 20 minggu kehamilan.

4. Cecair keluar daripada faraj

Jika terdapat cecair yang keluar daripada faraj sebelum kandungan mencecah usia 37 minggu maka itu tanda air ketuban telah pecah lebih awal.

Segera ke hospital kerana selepas air ketuban pecah, bayi dalam kandungan terdedah kepada jangkitan.

5. Sakit dibawah perut

Kesakitan di bahagian bawah perut sama ada salah satu sisi atau kedua-duanya merupakan tanda kandungan berisiko untuk mengalami keguguran, kelahiran pra-matang, masalah plasenta dan sebagainya.

Tidak rugi untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan kandungan dalam keadaan selamat. - TEMPO

Hamil, Kandungan, Janin, Bayi

Artikel Lain