suria

Bimbang gigi 'berkarat' akibat kopi? Amalkan 5 tip ini jika mahu terus menghirup minuman berkafein

Kesan tanin dalam kopi boleh menyebabkan gigi penggemar minuman berkafein itu kelihatan 'berkarat'.

PENGGEMAR kopi biasanya gelisah jika sehari tidak menghirup minuman berkafein itu.

Aromanya di pagi hari sudah cukup untuk membantu seseorang itu melakukan aktiviti seharian dengan ceria.

Bagaimanapun, perlu diingat kekerapan meminum kopi boleh menyebabkan gigi anda 'berkarat'.

Malahan, jika dijaga dengan baik atau tiada usaha dilakukan untuk menanggalkannya, ada kemungkinan memberi kesan kepada kesihatan gigi itu sendiri.

Kesan pada gigi itu berlaku disebabkan tanin, sejenis bahan daripada kulit kayu yang terkandung dalam kopi, teh dan juga wain.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna peminat kopi perlu berhenti daripada meminum minuman kegemaran mereka sepenuhnya kerana ada cara untuk menyelamatkan gigi anda.

Jom kita hadamkan beberapa tip untuk mengelak gigi 'berkarat' kerana terlalu kerap meminum kopi:

1. Berus gigi

Ia adalah sesuatu yang asas, tetapi tidak bermakna setiap kali minum kopi seseorang itu perlu membersihkan gigi. Mungkin anda boleh mulakan dengan memberus gigi lebih kerap terutama sebelum tidur.

Kesan kotor pada gigi akan mengakibatkan plak dan ia hanya boleh diatasi dengan memberus gigi atau kerap berjumpa doktor.

Selain itu, anda juga perlu flos gigi dengan lebih kerap kerana memberus gigi sahaja tidak akan menanggalkan bakteria dalam mulut.

Selain berus gigi, amalan flos juga penting untuk membersihkan ruang antara gigi supaya ia kekal sihat.


2. Straw

Penggunaan penyedut minuman dapat mengurangkan cecair yang disedut terkena pada gigi. Jadi, ia akan mengurangkan peluang untuk kekotoran melekat pada gigi anda.

Jika kebiasaannya orang ramai akan menggunakan straw untuk minuman sejuk, apa salahnya anda menyedut minuman panas menggunakannya.

Tapi ingat jangan pula guna straw plastik! Tentu anda tahu kan,  kempen tanpa penyedut atau menggunakan straw besi giat dijalankan untuk memelihara alam sekitar.  

3. Menghirup air

Langkah ini mudah dilakukan - setiap kali meminum kopi, apa kata di selang seli dengan meminum air kosong.

Sekurang-kurangnya ia dapat membersihkan kesan tanin dan mengelak bahan itu daripada melekat pada gigi anda.

Cuba guna straw atau kopi susu untuk mengelak kesan tanin melekat pada gigi anda.

4. Susu

Menambah susu pada kopi akan menghasilkan sesuatu yang berbeza. Kajian yang diterbitkan menerusi International Journal of Dental Hygiene mendapati kasein iaitu protein yang dimendakkan daripada susu boleh menyekat tanin dan menghalang ia daripada mengotorkan gigi anda.

5. Gula-gula getah

Mengunyah gula-gula getah tanpa kandungan gula boleh membantu daripada segi bau nafas dan membersihkan gigi.

Cara ini juga dapat meningkatkan kadar air liur dalam mulut dan seterusnya membersihkan plak dan asid.

Apa kata cuba tip yang disenaraikan di atas, mana tahu mungkin ia boleh memelihara gigi ada supaya kekal putih bersih selamanya walaupun anda penggemar kopi tegar. Selamat mencuba!

















kopi, tanin, straw

Artikel Lain