KITA biasa mendengar bahawa golongan tua terdedah kepada pelbagai penyakit berkaitan sendi. Namun, ini bukan bermakna golongan muda bebas atau terkecuali daripada dihinggapi penyakit yang disebut artritis ini. Artritis adalah sejenis penyakit sendi yang menyebabkan rasa sakit, kaku, bengkak dan kemerahan pada bahagian yang dihidapi. ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Derita insomnia antara punca kemurungan dan ‘anxiety’, ketahui tip dapat tidur lena ARTIKEL BERKAITAN: Sesak nafas 3 hari hingga terfikir mati, disangka gastrik tapi wanita ini hidap penyakit akibat gaya hidup dan pemakanan tak sihat Terdapat 10 jenis artritis yang diketahui, bagaimanapun lima jenis yang paling biasa dihidapi masyarakat seluruh dunia, iaitu osteoartritis, fibromyalgia, gout, artritis rheumatoid, dan lupus. Antara kesemua jenis sakit sendi itu, osteoartritis merupakan penyakit yang paling lazim dalam kalangan warga tua. Kebanyakan penghidap osteoartritis menghidap osteoartritis sendi lutut. Menurut Pakar Perubatan Sukan, Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Dr Abdul Halim Mokhtar, orang muda juga sebenarnya tidak terkecuali diserang osteoartritis, terutamanya yang serius bersukan atau yang ada kaitan dengan pekerjaan mereka. Kata Dr Abdul Halim, ahli sukan berisiko menghidap osteoartritis kerana berkemungkinan terlebih guna serta membebankan sendi mereka. “Kita mungkin berkata senaman boleh melindungi seseorang, tetapi kita juga perlu sedar sekiranya terlebih senaman, ini akan membebankan sendi dan mungkin, terutamanya merosakkan tulang rawan,” ujar Dr Abdul Halim. Sementara itu, bagi punca yang melibatkan pekerjaan, individu berkenaan mungkin tidak bersenam dengan cukup dan mempunyai pekerjaan yang memerlukannya berdiri, duduk serta mencangkung ketika melaksanakan tugas juga boleh membebankan sendi. Kebanyakan penghidap osteoartritis ini menghidap osteoartritis sendi lutut. Senaman yang berlebihan akan membebankan sendi yang berkemungkinan akan merosakkan tulang rawan. Berikut beberapa tip rawatan awal bagi penghidap penyakit ini: Perlindungan (Protection) – Gunakan alat bantuan berjalan seperti tongkat bagi mengurangkan beban pada lutut yang terlibat. Rehat (Rest) – Berhenti daripada melakukan aktiviti yang tinggi bebanannya ke atas lutut seperti berdiri lama, menaiki tangga dan mencangkung. Ais (Ice) – Rawatan sejuk akan dapat mengurangkan inflamasi di dalam sendi pada peringkat awal dan membantu mengurangkan sakit. Ini akan melancarkan pergerakan sendi serta membantu menguatkan otot. Ada individu yang rasa selesa dengan rawatan haba. Tekanan (Compression) – Teknik elastic bandage akan dapat meningkatkan sistem pengaliran darah. Meninggi (Elevation) – Keradangan pada sendi akan dapat dikurangkan dengan meletakkan kaki tinggi dari paras jantung. Nasihat dan saranan: 1)Pesakit dalam kalangan golongan yang berumur dinasihatkan untuk berjalan dengan bantuan tongkat bagi mengurangkan bebanan ke atas sendi dan elak daripada terjatuh. 2)Aktiviti menaiki tangga dan mendaki bukit perlu dikurangkan dan dielakkan supaya kondisi sendi tidak menjadi semakin teruk. 3)Ahli sukan dinasihatkan berehat sepanjang sesi latihan untuk membolehkan tubuh pulih dan tulang rawan untuk tumbuh semula. 4)Mereka yang banyak mencangkung, berdiri, berjalan atau naik turun tangga dalam menjalankan rutin kerja harian, perlu sesekali berehat bagi mengelakkan beban berlebihan ke atas sendi mereka.