BIASANYA purata berat avokado kira-kira 0.14 kilogram (kg), tetapi di kepulauan Maui buah itu boleh membesar sehingga 18 kali ganda. Sebuah keluarga di Hawaii mendakwa memiliki avokado paling berat di dunia iaitu 2.54 kg yang tercatat dalam Rekod Dunia Guinness. Laporan mengenai buah yang dituai keluarga Pokini itu telah disiarkan media tempatan, Maui News. Malahan, USA Today melaporkan kejayaan keluarga itu mencatat rekod dunia juga telah disahkan jurucakap Rekod Dunia Guninness, Rachel Gluck. Buah avokado ini hampir sama besarnya dengan kepala anak lelaki keluarga Pokini berusia 10 tahun. "Apabila pokok avokado keluarga Pokini mula menghasilkan buah bersaiz besar, mereka memutuskan untuk mencuba nasib bagi mendapatkan gelaran Rekod Guinness Dunia. "Ia untuk membuktikan kepada dunia bahawa Hawaii mampu menghasilkan avokado yang hebat," demikian catatan Rekod Dunia Guinness menerusi laman webnya. Wah! Hampir sama saiz avokado gergasi ini dengan kepala anak lelaki keluarga Pokini. Wakil keluarga Pokini memberitahu, mereka mula menghantar penyertaan pada awal 2018 sebelum dimaklumkan perlu mengemukakan beberapa dokumen sokongan sebagai bukti memiliki avokado yang paling berat. Untuk itu, mereka menunggu sehingga saiz kepala anak lelaki keluarga Pokini berusia 10 tahun menyamai buah yang dihasilkan pokok setinggi hampir tujuh meter itu. Keluarga itu juga telah mengukur avokado berkenaan yang mencapai 20 sentimeter panjang dengan ukur lilit sehingga 51 sm. Dengan avokado yang hebat itu, keluarga Pokini telah menghasilkan guacamole iaitu kuah untuk mencicah yang popular dalam kalangan rakyat setempat. Hidangan guacamole dimasak berasaskan avokado gergasi itu dikongsi bersama keluarga dan kenalan Pokini. "Kami membelahnya dan memasak guacamole untuk dikongsi bersama keluarga dan kenalan," kata Pokini kepada Maui News. - Indiaexpress Secara umumnya amalan memakan avokado adalah baik untuk mengurangkan berat badan, mengekalkan jantung yang sihat, mencegah katarak mata dan mencantikkan kulit. Khasiat lain buah lonjong berkulit hijau ini adalah mengurangkan kesan penuaan, menghilangkan nafas berbau, menurunkan tekanan darah dan kadar gula dalam darah, mengurangkan risiko penyakit kanser serta simptom artritis dan melawas pembuangan air besar. Buah avokado ini hampir sama besarnya dengan kepala anak lelaki keluarga Pokini berusia 10 tahun. Buah avokado ini hampir sama besarnya dengan kepala anak lelaki keluarga Pokini berusia 10 tahun.