KEGAGALAN ovari pramatang (POF) adalah situasi di mana ovari tidak lagi berfungsi secara normal sebelum mencapai usia 40 tahun. Ia juga dikenali sebagai menopaus awal. Ketika itu, bilangan telur masih ada dalam tubuh wanita dan kira-kira lima peratus telah melalui situasi POF. "Kebanyakan wanita muda mengalami menopaus awal dan kehilangan libido atau nafsu adalah antara kesan sampingan di mana seorang wanita itu akan kurang minat terhadap aktiviti seksual dan kepuasan," kata Pakar Sakit Puan dan IVF dari Shantah IVF Centre, Dr Anubha Singh. Katanya, hormon testosteron dapat membantu mengurangkan isu kesihatan berkaitan menopaus di mana bagi kaum wanita ia adalah sesuatu yang penting. Sememangnya diketahui ramai, telur pada ovari dapat membantu seseorang wanita itu mengandung dan menikmati saat indah sepanjang proses menjadi ibu, bagaimanapun menopaus awal akan menghalang ia berlaku. Menopaus adalah sesuatu yang normal, terutama jika ia berlaku pada usia 44 tahun ke atas. Setiap wanita perlu mengubah gaya hidup mereka jika menuju ke fasa putus haid. Menurut Pakar Sakit Puan Mother's Lap IVF Centre, Dr Shobha Gupta meletakkan gaya hidup sebagai antara faktor yang menyebabkan berlakunya menopaus pada usia muda. "Antaranya kerana merokok, minum arak, mengalami kelenjar tiroid, terdedah kepada radiasi seperti kimoterapi dan radioterapi, kurang berkhasiat dan masalah batuk kering. "Selain itu, ia juga berlaku kepada wanita di mana ibu mereka berdepan situasi menopaus pada usia muda," katanya. Katanya, tubuh wanita sentiasa melalui perubahan mengikut gaya hidup dan alam sekeliling. "Oleh kerana itu juga, banyak kes berlakunya putus haid awal dalam kalangan wanita muda, sekali gus ia memberi kesan kepada kesuburan mereka," katanya yang menasihatkan kaum wanita supaya segera mendapatkan nasihat doktor jika ada sebarang masalah kesihatan. Ketahui tanda-tanda putus haid awal: *kitaran haid yang tidak teratur atau tidak datang haid *haid yang lebih ringan atau lebih banyak dari biasa *berpeluh-peluh *faraj, kulit, mata, atau mulut yang kekeringan *perubahan mood atau emosi *kawalan kencing yang teruk *nafsu untuk seks semakin menurun atau tidak wujud *insomnia Masalah tidur atau insomnia antara tanda putus haid Berikut adalah beberapa tip untuk mengekalkan gaya hidup sihat: 1. Makan kacang soya - Bijirin ini mengandungi phytoestrogens. Sumber terbaik kacang soya adalah ahu, susu tepung berasaskan soya, kacang soya dan tempe. 2. Bersenam - Menjalani kehidupan aktif boleh mengurangkan risiko melalui proses menopaus awal. Sekurang-kurangnya aerobik selama 30 minit, dengan rutin tiga kali seminggu adalah amalan yang baik. Jalani kehidupan aktif untuk tubuh dan minda sihat. 3. Suplemen multivitamin - Ia bagi memastikan badan anda menerima khasiat secukupnya seperti Vitamin D, E, zat besi dan megnesium. 4. Jamah makanan yang kaya dengan kalsium seperti keju, badam, sayur-sayuran hijau, susu, bijirin seperti bran kismis dan emping jagung. 5. Tidur secukupnya. 6. Latihan pengurusan stres 7. Kurang atau elak mengambil minuman beralkohol.