RASA percaya terhadap diri sendiri sangat penting bukan sahaja untuk tampil yakin dihadapan orang lain, sebaliknya kemampuan menghormati diri sendiri, optimis, rasa bahagia serta bertindak rasional dalam melakukan sesuatu. Elemen itu juga sebenarnya tanpa disedari sangat penting kerana kekurangan rasa percaya pada diri sendiri boleh memberi implikasi negatif kepada kehidupan seharian termasuk kesihatan mental. ARTIKEL BERKAITAN: Usah malu dilabel tidak waras, segera dapatkan rawatan! Ketahui 10 tanda alami sakit mental Keyakinan diri boleh dilihat menerusi prestasi kerja, penyelesaian masalah serta kemampuan mengimbangi kehidupan seharian. Tetapi tidak dinafikan adakalanya sebagai manusia biasa kita boleh menjadi seorang yang rapuh dan tidak percaya kepada diri sendiri termasuk keputusan yang dibuat dalam hidup. Jangan bimbang! Ikuti lima tip ini untuk meningkatkan rasa percaya diri anda. 1. Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain Anda mungkin pernah merasakan diri sendiri sebagai loser apabila melihat prestasi rakan baik dalam pelajaran, berasa iri hati dengan imbuhan diterima rakan sepejabat atau merasakan diri anda tiada keistimewaan. Seharusnya tanamkan dalam diri bahawa hidup anda bukan sebuah pertandingan. Langkah membandingkan diri dengan orang lain bukan perkara sihat dan sebenarnya adalah perkara sia-sia. Lebih baik yakin dan bangga dengan diri sendiri! Terima kekurangan diri dalam memperbaiki diri sendiri. 2. Sayangi diri dengan amalan gaya hidup sihat Gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan tidak seimbang, kurang rehat serta malas bersukan sebenarnya sangat mempengaruhi keyakinan diri anda. Apa kata selepas ini cuba ubah gaya hidup yang bersesuaian kerana kajian turut mendapati ia boleh membantu memberi signal kepada tubuh anda untuk lebih positif dan yakin diri. 3. Terima keraguan sebagai perkara positif Rasa percaya pada diri tidak semestinya anda yakin dengan semua keputusan dibuat, sebaliknya memiliki keraguaan dalam hal tertentu adalah petanda baik. Berdasarkan kajian yang dimuatkan dalam jurnal berjudul Psikologi Sukan dan Senaman sebuah universiti di Amerika membuktikan perasaan ragu-ragu terhadap diri sendiri adalah untuk mematangkan anda dalam membuat sesuatu keputusan. Anda sedang melatih diri untuk berhati-hati, memahami sesuatu perkara sebelum membuat keputusan walaupun ia berkaitan hal remeh. 4. Kasihan kepada diri sendiri Kita adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada membuat kesalahan sehingga boleh menyebabkan keyakinan diri menurun. Tidak mengapa, apabila itu terjadi tidak salah untuk berasa kasihan atau ketawa terhadap diri sendiri terhadap tindakan atau keputusan 'bodoh' yang anda buat. 5. Lawan pemikiran negatif Meskipun tidak salah untuk berasa ragu dan kasihan terhadap diri sendiri namun jangan sesekali berfikiran negatif tentangnya. Sebaik-baiknya anda perlu melawan setiap pemikiran 'jahat' dan cuba berfikiran positif. Jika tidak mampu menanggung seorang diri, kongsi masalah anda dengan sahabat baik. Luahan tentang apa yang terbuku dihati dapat meringkan beban anda.