suria

Wanita ini dapat petanda menghidap kanser semasa melawat muzium, apa sebenarnya berlaku?

Lawatan ke sebuah muzium di Edinburgh telah membongkar penyakit yang dihidapi wanita berusia 41 tahun ini ketika melintasi kamera pengimejan haba.

SEORANG pelancong wanita mendapati dia menghidap kanser payudara ketika melawat sebuah muzium bersama ahli keluarganya di Edinburgh, Scotland.

Sesuatu yang mengejutkan apabila kamera mengesan haba di muzium berkenaan telah mengesan sesuatu pada bahagian payudaranya.

Susulan itu, Bal Gill melakukan pemeriksaan dan mendapati wanita berusia 41 tahun itu  menghidap kanser payudara tahap awal.

Kejadian pada Mei lalu itu menunjukkan ada tompok haba panas pada payudara wanita warga Britain itu.

"Saya nampak ada tompok panas di bahagian payudara kiri. Ketika itu memang rasa pelik kerana apabila melihat ahli keluarga yang lain tidak ada kesan seperti itu," katanya dalam kenyataan yang menceritakan insiden yang dilaluinya hingga mengubah hidupnya.

 Kesan haba yang tidak terdapat pada ahli keluarganya yang lain menimbulkan persoalan kepada Gill.

Berikutan itu, dia terus menghubungi hospital untuk menetapkan temujanji dan pemeriksaan mendapati dia menghidap kanser.

"Syukur ia masih di peringkat awal dan kini saya telah menjalani dua pembedahan dan akan menjalani satu lagi prosedur untuk mengelak ia merebak," katanya.

Wanita ini juga menjalani pembedahan mastektomi dan dimaklumkan tidak perlu menjalani prosedur kemoterapi atau radioterapi selepas dibedah bulan depan, demikian lapor BBC.

Pengurus Besar Camera Obscura, Andrew Johnson berkata, pihak muzium itu tidak mengetahui kelengkapan yang dipasang itu boleh mengesan tanda-tanda kanser pada pelawat yang melintasinya.

Kamera haba ada ketikanya digunakan doktor untuk menyaring pesakit kanser payudara.

Bagaimanapun, kaedah tidak invasif tidak berkesan untuk mengesan ketumbuhan seperti mana yang dilakukan menerusi mamogram.-SCMP

muzium, Gill, kanser, haba

Artikel Lain