suria

Benarkah pil kacip fatimah mampu ubati masalah haid terlewat atau tak menentu?

Apabila berdepan dengan masalah kitaran haid, wanita sebetulnya perlu mengetahui terlebih dahulu punca kepada masalah tersebut dan seterusnya mendapatkan rawatan, bukannya mengambil pil sembarangan.

SESETENGAH wanita sering gusar apabila berdepan masalah kitaran haid.

Apabila mengalami situasi ini, ada dalam kalangan wanita yang mencari jalan penyelesaian sendiri dengan memakan pil atau ubat-ubatan herba seperti kacip fatimah.

Sebetulnya, wanita perlu mengetahui terlebih dahulu punca mengapa kitaran haid mereka bermasalah seterusnya mendapatkan rawatan, bukannya mengambil pil sembarangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang alami menopaus awal? Ketahui tanda-tanda dan tip gaya hidup sihat menjangkau fasa putus haid 

ARTIKEL BERKAITAN: Nisbah 1:30 wanita berpotensi menghidap kanser payudara, jom lakukan pemeriksaan awal sekarang! 

Justeru, apa kata kita belajar dahulu mengenai punca-punca masalah haid wanita dan cara rawatan yang betul seperti yang dikongsikan doktor pakar sakit puan, Dr Imelda Balchin.

Punca-punca pendarahan tidak menentu:

1) Simptom kanser pangkal rahim

Apa yang doktor sakit puan akan buat ialah bertanya terlebih dahulu adakah anda pernah membuat ujian pap smear sebelum ini. Jika belum, doktor akan membuat pap smear atau biopsi apabila ada ketumbuhan. Rawatannya ialah membuang sel kanser sebelum ia merebak.

2) Hormon tiroid

Doktor pakar sakit puan akan bertanya mengenai perubahan berat badan, mencari simptom-simptom masalah tiroid dan membuat ujian darah fungsi tiroid jika doktor yang menilai kesihatan anda mengesyaki ada masalah kelenjar itu.

Wanita perlu mengetahui punca-punca masalah haid mereka dan cara rawatan yang betul.

3) Ketumbuhan di dalam kelenjar pituitari di dalam otak 

Doktor akan melakukan pemeriksaan mencari sama ada medan penglihatan menjadi sempit, membuat ujian darah prolaktin dan jika bacaannya terlalu tinggi, anda akan dirujuk untuk melaluan imbasan otak MRI untuk mencari ketumbuhan di dalam kelenjar pituitari anda. 

Rawatannya bergantung kepada saiz ketumbuhan itu, ada yang perlukan pembedahan dan ada yang hanya perlukan ubat yang mengecilkan dan mengawal ketumbuhan itu dan akan mengembalikan haid anda yang normal.

4) Pra-menopaus

Doktor pakar sakit puan akan menilai dan mengenalpasti jika inilah sebab masalah haid anda.

5) Latihan intensif 

Golongan atlet melakukan latihan intensif sehingga lemak badan mereka terlalu rendah untuk hormon berfungsi dengan sempurna. Haid mereka akan terganggu atau berhenti sementara sehingga mereka menambahkan semula lemak badan dan mengurangkan intensiti latihan sukan mereka.

6) Kecelaruan tabiat pemakanan

Ini juga boleh mengganggu haid dan boleh menghentikan haid sehingga mereka mendapat bantuan dari segi kesihatan emosi dan kesihatan mental untuk memberi mereka keyakinan diri dan makan seperti biasa, supaya berat badan mereka menjadi normal dan haid mereka akan kembali normal.

Pengambilan pil perancang juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan kitaran haid terganggu.

7) Remaja yang melalui kitaran haid kali pertama

Golongan ini masih belum mendapat kestabilan hormon dan tidak mendapat ovulasi setiap bulan. Pada peringkat permulaan haid mungkin tidak teratur dan ia tidak perlu dibimbangkan selepas penilaian kesihatan dari doktor.

8) Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

Ia adalah masalah keseimbangan hormon, terlebih hormon oestrogen dan androgen tetapi kekurangan hormon progesterone.

9) Kanser dinding rahim

Apa doktor sakit puan akan buat ialah membuat imbasan rahim dan ovari untuk mengenal pasti jika perlu membuat biopsi dinding rahim.

10) Jangkitan penyakit hubungan kelamin

Doktor sakit puan akan membuat pemeriksaan dan melihat jika ada keradangan dan mempertimbangkan jika anda perlukan rawatan ini.

Wanita yang mengalami masalah kitaran haid perlu mendapatkan rawatan daripada doktor, bukannya mengambil pil sembarangan.

11) Pil perancang progestogen atau suntikan implan.

Ini ialah satu perkara yang normal dan tidak membimbangkan selagi anda sudah menjalani ujian saringan kanser pangkal rahim iaitu pap smear setiap 3 tahun atau HPV test untuk wanita berusia 30 hingga 49 tahun.

12) Kanser ovari

Apa doktor sakit puan akan buat ialah membuat imbasan rahim dan ovari untuk mengenal pasti jika ada masalah ketumbuhan ovari.

Berdasarkan masalah yang dialami itu, akan ada kaedah rawatan yang sesuai untuk mengatasinya. Apa yang anda perlu lakukan adalah segera berjumpa dengan pakar sakit puan. 

Bukannya, segera mengambil pil atau suplemen tanpa usul periksa kerana ia boleh memudaratkan.

haid, kacip fatimah, pakar sakit puan

Artikel Lain