suria

“Disahkan menghidap kanser bukan hukuman Tuhan, tapi anugerah untuk lebih hargai kehidupan” - Luahan bekas pesakit kanser

Iris Tay (kiri) dan Haidah Harun merupakan bekas pesakit kanser sedar akan pentingnya semangat untuk kekal hidup sihat.

TIDAK dinafikan ada sesetengah pihak sering menanamkan kata-kata negatif, "jika disahkan positif kanser, bermakna ia titik pengakhiran hidup anda!" 

Pastinya kenyataan itu meletakkan diri penghidap kanser dalam keadaan tertekan atau berputus asa, namun sebaiknya perlu diingat selagi ada daya, insan yang diuji dengan dugaan itu seharusnya berusaha sedaya mungkin untuk melawan penyakit itu.

Malahan, realitinya masih ada bekas pesakit kanser mampu kembali menjalani kehidupan normal seperti insan lain asalkan sentiasa berfikiran positif serta mendapatkan rawatan seperti yang disyorkan pakar.

Hakikatnya sesiapa sahaja tentunya sukar menerima kenyataan ketika pertama kali disahkan menghidap kanser.

Malah sokongan pelbagai pihak terutama keluarga dan sahabat penting agar dapat membantu pesakit ini supaya lebih bersemangat dalam meneruskan kehidupan. 

Iris Tay ketika menyertai larian Sunway The Good Run sekitar Bandar Sunway, Kuala Lumpur.

Menurut Iris Tay, yang merupakan bekas pesakit kanser pangkal hidung atau Nasopharyngeal Carcinoma (NPC), dia hanya mengetahui penyakitnya selepas menyertai larian maraton sejauh 42 kilometer di Miri, Sarawak.

Malah dek kerana kekurangan fasiliti yang diperlukan bagi merawat penyakit kansernya menyebabkan wanita berusia 46 tahun ini mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Sunway di Petaling Jaya, Selangor.

Dia turut meluahkan rasa syukur atas layanan serta kemudahan yang disediakan oleh pihak hospital berkenaan.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan servis yang diberikan selain layanan doktor serta jururawat yang sangat baik," katanya.

Tambah bekas pesakit kanser tahap empat ini lagi, sehingga kini sudah hampir setahun dia menerima rawatan bagi mengurangkan risiko penyakit itu.

Nasihatnya buat pesakit baru yang didiagnosis kanser, jangan membuang masa mendengar cakap-cakap pihak luar yang hanya bijak mencadangkan pelbagai jenis rawatan alternatif, sebaliknya terus dapatkan dan jalani prosedur rawatan yang terbaik.

Ini kerana tidak semua rawatan alternatif yang dicadangkan sesuai dan dikhuatiri boleh memberikan kesan sampingan kepada individu-individu tersebut.

"Sebaiknya dapatkan rawatan secepat mungkin!" katanya.

Larian ini dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris.

Selain itu, Iris turut menggalakkan pesakit agar lebih bersemangat dalam meneruskan kehidupan dan percayalah ini bukan titik pengakhiran.

"Jika saya boleh lakukan, anda juga boleh! Pastikan anda bersemangat serta kuatkan diri sebelum menjalani rawatan kerana ia tidak mudah seperti disangka," kongsi Iris.

Katanya lagi, menyertai larian maraton bukanlah perkara yang asing dalam hidupnya kerana sebelum ini dia sering mengambil bahagian dalam acara tersebut sebelum didiagnosis kanser.

Apabila pakar radiloginya mencadangkan supaya menyertai maraton Sunway The Good Run, dia berfikir mengapa tidak?

Jelasnya dengan menyertai acara tersebut, dia juga dapat memberi sokongan serta sumbangan bagi membantu pesakit-pesakit kanser lain.

Umum tahu bahawa jika dibandingkan dengan kesemua jenis kanser di negara ini, NPC mencatatkan kanser keempat tertinggi selepas kanser payudara, usus dan paru-paru.

Larian ini diadakan bagi memberi sokongan dalam meningkatkan kesedaran kanser.

Sementara itu, bagi Haidah Hairul pula, menyedari akan pentingnya semangat untuk kekal hidup sihat, dia bersyukur menjadi antara yang terselamat, setelah selesai menerima rawatan setahun yang lalu.

Wanita berusia 48 tahun ini juga berkongsi pengalamannya dimana selain keluarga dan sahabat, pakar onkologi serta pakar bedah banyak membantu dalam memberikan semangat untuk menerima rawatan sehinggakan langsung tidak merasa takut dan gentar.

"Cuma satu sahaja, apabila kamu menggunakan mata hati kamu untuk melihat keadaan, kamu pasti akan mendapati ianya sesuatu yang berharga!

"Menjadi salah seorang pesakit yang didiagnosis kanser bukanlah hukuman Tuhan, tetapi ia anugerah dalam menghargai kehidupan agar lebih baik," katanya.

Haidah juga menasihati pesakit-pesakit kanser yang lain agar mengabaikan kata-kata negatif di luar, dan hanya mengambil yang positif sahaja.

bekas, pesakit, kanser

Artikel Lain