MUSIM cuti sekolah telah tiba dan semestinya anda akan menerima banyak undangan ke majlis perkahwinan, tidak kira dalam kalangan ahli keluarga mahupun sahabat handai. Sudah tentu jika kita menghadiri majlis seperti ini, ia melibatkan aktiviti makan beramai-ramai. Seronok bukan? Mana tidaknya ia juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara tetamu dan tuan rumah. ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin wajib baca! 5 key person ini dapat melancarkan majlis perkahwinan anda Kerap mendapat jemputan ke majlis kahwin? Hah! Jangan tak tahu ada adab yang sewajarnya diikuti tetamu jika berhasrat meraikan pasangan pengantin baharu. Jadi, jangan lupa ye, ada sembilan adab yang seelok-eloknya jadi amalan: Hadir memenuhi undangan bagi meraikan hari bahagia raja sehari. 1. Memenuhi undangan Apabila kita dijemput untuk menghadiri ke sesuatu majlis yang bukan sahaja majlis kahwin, cubalah untuk penuhi jemputan tersebut. Jika anda merasakan tiada perkara penting untuk dilakukan maka hadirlah bagi memenuhi jemputan tersebut. Ini bukan sahaja mampu mengembirakan hati tuan rumah, malah turut mengeratkan hubungan sesama tetamu yang lain. Malahan, mungkin ia akan diambil kira apabila tiba giliran anda menjemput untuk walimatulurus anak anda. 2. Berjumpa dengan tuan rumah Pertama sekali apabila tiba di majlis tersebut, kita seeloknya berjumpa dahulu dengan tuan rumah. Bermesra, tanyakan khabar berita serta ucapkan tahniah! Elakkan dari terus mengambil tempat untuk menjamu selera kerana perbuatan itu tidak sopan dan tidak menghormati tuan rumah. Hadirlah ke majlis kahwin bagi memenuhi jemputan jika kelapangan. 3. Pakaian sopan Pakai busana yang bersesuaian, dan tidak menjolok mata terutamanya bagi wanita. Ini bagi menghormati majlis tersebut yang turut dihadiri oleh kanak-kanak. Misalnya bagi wanita, sangat sesuai untuk mengenakan baju kurung. Tetapi janganlah sampai terlebih berhias, risau kalau-kalau tercaras seri pengantin pula... 4. Ikhlas Sesuatu yang dilakukan perlu disertakan dengan niat yang bertul. Jadi, adalah penting bagi setiap tetamu sebelum menghadiri majlis perkahwinan memasang niat itu, iaitu mahu ikhlas hadir untuk meraikan pengantin dan memuliakan tuan rumah, bukan untuk memenuhkan perut yang lapar. Ingat ya! Apabila niat anda dah 'lari' maka perbuatan yang dilakukan adalah sia-sia. Elakkan diri dari membazir dan hormati tetamu yang lain. 5. Mendoakan pengantin Mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ke atas pengantin sangat dituntut. Bukan sahaja sekadar ucapkan tahniah, malah mendoakan perkahwinan yang dibina semoga kekal berpanjangan juga mampu menggembirakan hati pengantin. 6. Jaga percakapan Sering diingati agar hindari diri daripada mengucapkan kata-kata yang tidak baik ketika berada di majlis berkenaan. Ini bagi menjaga hati tuan rumah. Misalnya, jika majlis perkahwinan tersebut dibuat sekadar ala kadar atau simple, jangan pula anda mengutuk atau membanding-bandingkan majlis itu dengan suasana keraian orang lain. Jagalah tingkah laku serta adab ye! Elakkan dari duduk terlalu lama selepas menjamu selera. 7. Makan tanpa berlengah Haaa... Ingat ya, tidak sesekali berlengah-lengah ketika makan kerana pada waktu kemuncak majlis selalunya ramai tetamu yang datang. Jadi jika anda sudah selesai menjamu selera, segeralah beralih dan memberi tempat duduk supaya tetamu lain dapat menjamu selera. Walaupun, tuan rumah tersebut merupakan ahli keluarga terdekat jangan anda lepak terlalu lama di meja itu sampai malam ya! 8. Jangan membazir Perkara yang seringkali dilihat ketika mengambil lauk pauk kenduri. Seeloknya janganlah membazir walaupun majlis tersebut menyediakan pelbagai pilihan makanan tetapi sebagai tetamu anda perlulah mengambil makanan mengikut keperluan bukan mengikut nafsu! Ini kerana, sesungguhnya membazir itu adalah sebahagian daripada sifat syaitan. 9. Angpau atau 'salam kaut' Haaa... Jangan tak tahu, inilah antara yang menjadi dilema segelintir individu. Dimana perkara pertama yang terlintas di fikir ialah, 'hmm... nak bagi berapa ni?' Risau kalau-kalau nak bagi banyak, takut tak mampu pula dan kalau bagi sikit sangat, orang cakap kita kedekut! Sudahlah tak perlu lagi nak runsing fikirkan perkara itu, 'bersedekahlah mengikut kemampuan' ikhlaskan hati dan berkongsilah rezeki. Selain itu, memberi hadiah kepada pasangan pengantin sudah lama menjadi tradisi dalam kalangan masyarakat kita.