suria

Ketahui 8 kumpulan berisiko dijangkiti TB, tanpa rawatan nyawa melayang!

Sehingga kini transmisi jangkitan TB masih lagi aktif walaupun pelbagai rawatan diperkenalkan dan peningkatan pengesanan kes telah dijalankan.

SETIAP tahun sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 kes kematian akibat batuk kering atau tibi (TB) direkodkan dengan purata enam kematian setiap hari di Malaysia.

Lebih serius kes baharu TB yang direkodkan dianggarkan antara 20,000 hingga 25,000 setahun.

Menurut Ketua Sektor Tibi/Kusta, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Mohamed Naim Abdul Kadir, kebanyakan kes kematian akibat TB yang disifatkan masih tinggi itu disebabkan pesakit lewat mendapatkan rawatan di hospital.

ARTIKEL BERKAITAN:  Anda mungkin tergolong dalam kategori OCD, kenali tanda-tanda awal

Keadaan ini membimbangkan kerana kesedaran orang ramai terhadap kuman Mycobacterium tuberculosis yang menjadi punca TB masih lagi rendah.

Katanya, sehingga kini transmisi jangkitan TB masih lagi aktif walaupun pelbagai rawatan diperkenalkan dan peningkatan pengesanan kes telah dijalankan.

Selangor, Sabah kes tertinggi

Pada 2018, lima negeri mencatatkan kes baharu TB tertinggi iaitu Selangor dengan 5,071 kes, Sabah (5,008), Sarawak (3,122), Johor (2,150) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya  sebanyak 2,017 kes.

Dr Mohamad Naim berkata, Selangor mencatatkan kes tertinggi disebabkan kepadatan penduduk yang tinggi terutama penduduk tahap sosioekonomi yang rendah di bandar.

Sementara di Sabah, faktor kes TB tinggi disebabkan penduduk bukan warganegara tidak membuat pengesanan awal kerana bimbang dengan penguatkuasaan undang-undang, ekoran status kewarganegaraan mereka.

Kuman Mycobacterium Tuberculosis menjadi punca kepada penyakit TB.

Tahun lepas, kes TB direkodkan menurun sedikit iaitu 25,837 kes, berbanding 2017 dengan 26,168 kes iaitu 331 kes baharu.

“Tahun ini kita lihat ada trend peningkatan kes dan kita jangka lebih tinggi lima peratus berbanding 2018,” katanya sambil menambah kadar kematian TB yang sedang dalam rawatan akan turut meningkat.

Beliau menekankan betapa pentingnya pengesanan awal kes TB bagi mengelak kematian kerana pesakit boleh sembuh dengan mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan.

"Dua penyakit berjangkit yang tinggi di Malaysia adalah TB dan denggi. Berbanding denggi, jumlah kes antara 50,000 hingga 100,000 setahun tetapi kes kematian hanya sekitar 100 kes.

Namun, bagi TB, kes sekitar 20,000 hingga 25,000 setahun tetapi kematian dalam lingkungan 1,500 hingga 2,000 kes setahun," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Mohamad Naim berkata terdapat jurang yang masih luas, kira-kira 10 peratus dalam pengesanan kes baharu di Malaysia sepertimana ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat menyebabkan penyakit TB meningkatan tahun ini.

“Pada masa ini, jumlah kes baharu yang dikesan iaitu sekitar 25,000 kes sedangkan WHO menyasarkan sepatutnya Malaysia mengesan 33,000 kes baharu.

"Fokus kita sekarang adalah menjurus kepada kes-kes yang tidak dapat dikesan dengan melakukan saringan kepada kumpulan yang berisiko mendapat TB bagi mengurangkan jurang tersebut," katanya.

Kumpulan yang berisiko mendapat TB ialah pesakit HIV, pesakit buah pinggang, penghuni penjara, penghuni pusat jagaan warga emas, pesakit diabetis, perokok tegar, pelanggan klinik metadon dan petugas kesihatan (bahagian berisiko mendapat jangkitan penyakit).

Faktor pendatang asing

Malaysia bukan dalam kalangan 30 negara yang mempunyai beban kes TB tertinggi di dunia, namun pekerja asing yang datang ke negara ini adalah dari kalangan negara yang mempunyai beban kes penyakit itu pada kadar tinggi.

Pada masa ini, kadar kes TB di Malaysia mengikut perkiraan WHO adalah sekitar 92 kes bagi setiap 100,000 (92/100,000) penduduk.

Antara negara yang mempunyai kes TB tertinggi di dunia ialah Indonesia (395/100,000), Kemboja (380/100,000), Myanmar (365/100,000), Nigeria (322/100,000), Filipina (322/100,000), Bangladesh (255/100,000) ,Pakistan (270/100,000) dan India (217/100,000).

Di sebalik kebimbangan terhadap perkaitan antara pekerja asing dengan penyakit TB, Dr Mohamed Naim berkata sukar menyatakan mereka sebagai punca peningkatan kes TB kerana 87 peratus kes penyakit itu yang berlaku adalah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hanya 13 peratus kes melibatkan warga asing yang dilaporkan, katanya.

Bagaimanapun kebanjiran pendatang tanpa asing izin (Pati) ke negara ini yang tidak menjalani ujian saringan TB seperti yang ditetapkan kerajaan menyumbang risiko penularan penyakit itu di negara ini.

"Apa yang membimbangkan adalah kita tidak dapat kesan atau pasti berapa banyak kes TB dalam kalangan pati yang membanjiri negara ini," katanya.

Lewat punca penyebaran

Dr Mohamed Naim berkata penyebaran TB sentiasa berlaku disebabkan kelewatan pesakit mendapatkan rawatan. Ini disebabkan persamaan penyakit ini  dengan simptom influenza seperti demam, selesema dan batuk berpanjangan melebihi dua minggu.

Paru-paru pesakit TB.

"Kadangkala perawat gagal mengesannya kerana dalam pemikiran mereka ia mungkin disebabkan influenza. Lebih-lebih lagi jika doktor gagal bertanya sejarah pesakit, gejala dihadapi yang membolehkan doktor mengesyaki ia disebabkan TB,” katanya sambil menggesa pesakit untuk segera ke klinik sekiranya mengalami gejala seperti demam berpeluh waktu malam, batuk berkahak dan berdarah dan hilang selera makan.

Kuman Mycobacterium tuberculosis disebarkan melalui udara dan individu yang dijangkiti TB akan mengeluarkan bakteria ini apabila batuk, bersin, bercakap atau menyanyi.

Bakteria tercemar yang berada di ruang udara akan menyebabkan orang sekelilingnya terdedah dengan jangkitan itu apabila menyedut udara tersebut.

Terutama individu yang rendah tahap imunisasi, berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang biasanya akan menjangkiti paru-paru dan boleh merebak menjangkiti organ lain seperti kelenjar, usus dan tulang melalui aliran darah.

"Biasanya tindak balas jangkitan akan dilihat dalam tempoh enam hingga lapan minggu selepas terdedah dengan individu yang dijangkiti TB,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mohamed Naim menjelaskan terdapat juga individu yang terdedah tidak menunjukkan gejala jangkitan penyakit ini yang dikenali sebagai TB laten.

“Individu TB laten tidak berbahaya dan tidak boleh menjangkiti individu lain," katanya sambil menjelaskan bahawa TB laten boleh kekal sepanjang hayat di dalam badan individu sekiranya tidak dirawat.

Namun, katanya terdapat risiko antara 10 peratus hingga 15 peratus individu dengan TB laten khususnya mereka yang lemah sistem imunisasi badan, akan mendapat tibi untuk sepanjang hayat.

Sasaran sifar TB 2035

Dr Muhamed Naim berkata pesakit TB perlu mengikuti rejim rawatan antara tempoh 6 bulan hingga 12 bulan bergantung kepada jenis TB dan tahap keseriusan penyakit tersebut.

Rawatan pesakit TB yang kebal ubatan biasa pula akan dipertingkatkan kualitinya dengan memperkenalkan rejim rawatan yang lebih pendek iaitu sembilan bulan berbanding 18 bulan sebelum ini.

Pesakit TB akan dipantau dari segi kesan sampingan rawatan dan perubahan jangkitan.

Bagi individu yang disahkan mempunyai TB laten, rawatan berupa ubat telah mula diberikan bagi menghalang kuman tersebut aktif dan dapat dibunuh sepenuhnya.

Sepanjang tempoh rawatan, semua pesakit TB akan dipantau dari segi kesan sampingan rawatan dan perubahan jangkitan dengan mengambil beberapa ujian seperti sampel kahak, ujian kultur dan imbasan sinaran-x pada dada.

Pesakit TB, menurut beliau akan turut diberikan buku rawatan bagi mencatat segala jenis ubat yang dimakan, dos dan bilangan hari semasa rawatan.

“Ini bagi memastikan pesakit makan ubat mengikut aturan jadual dan program pemantauan akan dibuat oleh petugas kesihatan sehingga mereka benar-benar sembuh," katanya.

Fasiliti di setiap hospital kerajaan juga ditambah seperti Gene Xpert bagi mempercepatkan diagnosis kes TB yang kebal agar rawatan awal dapat diberikan.

Katanya, kementerian berusaha mempertingkatkan pelbagai kajian penyakit TB daripada aspek survelan, saringan, diagnosis dan rawatan untuk memastikan program Kawalan Tibi Kebangsaan sentiasa kehadapan dan berjaya mencapai sasaran sifar TB menjelang 2035.

“Kita jangkakan vaksin baharu untuk orang dewasa dan ujian-ujian baharu TB akan keluar menjelang lima tahun akan datang," katanya. -Bernama

Tibi, sifar, kesedaran

Artikel Lain