suria

Tahi lalat pada mata putih boleh jadi kanser... Ketahui 4 cara mengenalinya

Tahi lalat dalam mata putih mungkin nampak tidak bahaya tetapi ia berkemungkinan adalah ketumbuhan atau kanser.

PASTI di antara kita atau kenalan yang mempunyai tahi lalat pada mata putih dan sebenarnya ia bukanlah satu masalah besar.

Malahan, dalam banyak situasi ia sama seperti tahi lalat pada kulit dan tidak merbahaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 8 kumpulan berisiko dijangkiti TB, tanpa rawatan nyawa melayang!

Bagaimanapun ia boleh membawa kesan buruk pada kesihatan sekiranya saiznya membesar dalam tempoh singkat hingga menjadi kanser yang dikenali sebagai conjunctival melanoma.

Secara umumnya, tahi lalat ini dikenali sebagai naevus iaitu sejenis ketumbuhan dalam lapisan konjuntiva (mata putih) yang berlaku secara semula jadi.

Menurut Pakar Oftalmologi, Dr. Lael Salim yang menjelaskan perkara itu di Twitter miliknya, terdapat beberapa kaedah untuk mengetahui sama ada tahi lalat dalam mata putih itu jenis berbahaya atau tidak.

1. Saiz tahi lalat

Paling penting lihat saiz tahi lalat dan kalau ia besar dan kelihatan pelik, ia bukan tahi lalat biasa dan sebaik-baiknya berjumpa dengan doktor dengan segera.

Ini bagi membolehkan doktor menentukan masalah sebenar termasuk kebarangkalian ia adalah kanser.

2. Tahi lalat gelembung air

Sekiranya tahi lalat menyerupai gelembung-gelembung air (cystic), ia juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkemungkinan kanser.

3. Salur darah

Cuba perhatikan dengan teliti sekiranya ada salur darah yang berhubung ke arah tahi lalat.

Sel kanser ini biasanya lebih aktif membahagi dan perlu lebih banyak bekalan nutrien. Maka salur darah itulah yang membawa bekalan oksigen dan nutrien untuk sel kanser membesar.

4. Warna tahi lalat

Tahi lalat sepatutnya berwarna coklat gelap. Kalau ia mempunyai campuran warna coklat gelap dan terang serta kekuningan ia juga petanda kanser.

Dalam pada itu, Dr. Lael berkata, tidak sukar untuk mengesan tahi lalat dalam mata putih, malah boleh menggunakan kamera dengan mod macro (kamera telefon juga boleh digunakan) untuk mengambil gambar selfie mata.

Daripada gambar yang diambil itu boleh mengesan saiz tahi lalat dari masa ke semasa. Sekiranya ia membesar dengan cepat, segera berjumpa dengan doktor mata.

Bagaimanapun kata Dr. Lael, sekiranya doktor suspek tahi lalat itu kanser, kebiasaannya biopsi akan dilakukan sebelum dihantar ke makmal untuk dikaji sama ada ia benar-benar sel kanser atau sekadar tahi lalat biasa.

Tahi lalat, Mata, Kanser

Artikel Lain