GENERASI baharu atau milenial sering dikaitkan sebagai mereka yang penuh dengan kreativiti, produktif serta celik teknologi. Bagaimanapun di sebalik itu, terdapat sejumlah penyakit yang mengintai generasi milenial atau Gen Y ini, dan penyakit paling popular adalah tekanan darah tinggi dan kemurungan yang menghantui anak-anak muda. Hasil kajian dilakukan Blue Cross Blue Shield (BCBS) menunjukkan risiko generasi milenial terdedah dengan penyakit lebih tinggi berbanding generasi X pada usia sama. ARTIKEL BERKAITAN: Suka minum teh lepas makan? Awas kesan buruknya pada kesihatan anda Kajian itu juga mendapati rata-rata golongan itu mula mengalami tahap kesihatan yang menurun pada usia seawal 27 tahun dan turut menemui lapan penyakit yang mengancam Gen Y. Masalah kemurungan dalam kalangan Gen Y semakin meningkat. 1. Kemurungan Kaian yang dilakukan terhadap golongan ini di Amerika Syarikat (AS) mendapati kemurungan merupakan masalah utama milenial yang mencapai peningkatan lima peratus pada 2017 kepada 31 peratus berbanding 26 peratus pada 2014. Antara faktor berlakunya peningkatan masalah gangguan mental ini disebabkan tekanan pekerjaan, kewangan dan gaya hidup. 2. Penggunaan bahan terlarang Penggunaan bahan terlarang iaitu dadah meningkat sebanyak dua peratus dan sekaligus menyebabkan masalah kesihatan lain dalam kalangan golongan milenial seperti gangguan saraf, otak, halusinasi hingga mengakibatkan kematian. Tabiat merokok menyebabkan Gen Y terdedah kepada pelbagai penyakit kronik. 3. Pengambilan alkohol Alkohol sering menjadi jalan keluar kepada golongan ini bagi mengurangkan tekanan, namun tanpa disedari ia meningkatkan risiko penyakit lain pada usia muda. 4. Tekanan darah tinggi Tekanan darah tinggi dalam kalangan Gen Y mencapai peningkatan dua kali ganda iaitu 8.1 peratus kepada 16 peratus pada 2017, berbanding hanya 7.9 peratus pada 2014. Golongan ini juga terdedah kepada penyakit berkaitan kardiovaskular seperti jantung dan angin ahmar jika tiada sebarang kawalan dibuat. 5. Penyakit Crohn Ia adalah penyakit radang usus kronik disebabkan oleh gaya hidup tidak sihat termasuk pemakanan tidak seimbang. Tabiat pemakanan tidak sihat boleh menyebabkan diabetes jenis 2. 6. Kolesterol tinggi Kadar kolesterol dalam darah yang tinggi turut menjadi ancaman golongan milenial disebabkan faktor pemakanan yang tidak seimbang dan kurang bersenam menyebabkan peningkatan masalah itu. Kolesterol tinggi meningkatkan risiko penyakit jantung, angin ahmar serta buah pinggang. 7. Diabetes jenis 2 Penyakit diabetes jenis 2 sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan orang muda disebabkan faktor pemakanan tidak sihat termasuk pengambilan garam, gula dan lemak yang tinggi dalam makanan. 8. Rokok Peratusan perokok meningkat 5.6 peratus di AS dan tabiat membuka ruang kepada pelbagai risiko penyakit berbahaya dalam kalangan Gen Y.