suria

Awas! Bukan ketiak sahaja busuk, ada 8 bahagian badan lain yang kerap berbau!

Bau badan bukan semata-mata mengenai bau ketiak.

TAHUKAH anda tubuh kita mengeluarkan pelbagai jenis bau yang tidak menyenangkan terutamanya di bahagian ketiak.

Sebetulnya peluh tidak berbau, tetapi bakteria yang terdapat pada kulit kita membuatkan ia cepat membiak dan menghasilkan bau kurang enak.

Sebenarnya bau badan bukan sahaja pada ketiak tetapi turut berlaku di beberapa bahagian badan lain seperti kaki, pusat, mulut, hidung, rambut, celah kangkang, alat kelamin dan tapak tangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerap gosok gigi dapat kurangkan risiko serangan strok

Setiap daripada kita mempunyai bau badan unik dipengaruhi oleh pola pemakanan, jantina, masalah kesihatan dan ubat-ubatan yang kita ambil.

Faktanya, bau badan dapat berbicara tentang tahap kesihatan kita secara keseluruhan antaranya termasuklah;

1. Air kencing berbau kuat

Jika air kencing berbau kuat berbanding kebiasaan ia berkemungkinan petanda penularan penyakit seksual disebut chlamydia. Ia adalah jangkitan pada saluran kencing yang membuatkan urin berbau busuk.

Sebaik-baiknya jika ini berlaku, rujuk kepada doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

2. Nafas berbau buah-buahan

Ia mungkin bau yang menyenangkan tetapi menurut Persatuan Diabetes Amerika, nafas berbau buah-buahan adalah petanda awal kadar gula dalam darah tinggi.

Bau itu muncul kerana tubuh tidak dapat menghasilkan tenaga untuk berfungsi dengan baik lalu memecahkan asid lemak dalam badan sebagai 'bahan bakar'.

Ketika ini berlaku, ia turut menghasilkan keton, zat kimia asid dalam darah yang membuatkan aroma nafas berbau buah-buahan.

3. Bau mulut

Walaupun sering menggosok gigi namun bau mulut tetap kurang enak, ia berkemungkinan anda mengalami masalah gastrik. Ini kerana asid yang mengalir sehingga ke bahagian kerongkong boleh menyebabkan nafas berbau busuk.

4. Hidung berbau

Hidung berbau terjadi disebabkan beberapa masalah seperti sinus, jerawat dan sakit gigi malah jika ada masalah gigi berlubang, hidung boleh mengeluarkan bau busuk kerana salurannya yang berhubung dengan mulut dan kerongkong.

5. Bau kaki

Bau kaki boleh terjadi disebabkan kuman dan kulat yang menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan, gatal, kering serta bersisik di antara celah jari kaki.

Atasi masalah ini dengan sering mencuci kaki menggunakan sabun anti bakteria.

6. Kentut busuk!

Tiada siapa yang kentut berbau wangi tapi sekiranya anda dapati baunya busuk luar biasa ia berkemungkinan anda mengalami masalah dipanggil ketidakseimbangan laktosa (gula dalam susu).

Apabila tubuh tidak menghasilkan laktase (enzim yang menukarkan laktosa menjadi glukosa dan galaktosa) ia akan terus masuk ke usus besar yang juga lokasi bakteria membiak. Ini mengakibatkan najis dan kentut anda berbau lebih busuk daripada biasa.

Bau badan, Ketiak, Kentut, Hidung, Kaki

Artikel Lain