"BILA nak kahwin?" adalah pertanyaan biasa bagi yang belum mendirikan rumah tangga tapi tahukah anda kebanyakan individu bujang juga tiada jawapan mengapa jodoh mereka masih belum sampai! Alasan yang biasa kita dengar adalah takut terikat dengan komitmen, masih belum cukup wang atau pun belum bertemu pasangan yang tepat. Namun sebenarnya tanpa disedari ada di antara kita yang masih kekal solo hanya menjadikan ia satu alasan, walaupun kebenarannya mereka sedang mensabotaj diri sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Cemburu tak bertempat... Adakah anda seorang narsistik? Menurut Pakar Psikologi Melanie Schilling, sabotaj diri sendiri termasuklah meremehkan keadaan, menjauhkan diri untuk bersosial atau mengelak daripada bertemu kenalan baharu. "Ramai akan kata jodoh belum sampai tetapi tanpa disedari ada di antara mereka ini mensabotaj diri sendiri. Dalam erti kata lain, mereka mahu hidup keseorangan, tiada usaha mencari pasangan. "Ia adalah tindakan sabotaj diri mereka sendiri," ujarnya. Kita perlu belajar mencintai diri sendiri sebelum menyayangi orang lain. Dalam pada itu, Melanie memberitahu individu yang mensabotaj diri sendiri ini kebanyakannya mempunyai rasa bimbang diri mereka terluka dan mahu melindungi diri sendiri. "Barangkali cinta mereka pernah ditolak membuatkan si dia enggan mencuba lagi kerana bimbang kejadian sama akan berulang. Paling selamat adalah menjauhkan diri, mensabotaj diri sendiri," katanya. Apa sebenarnya yang boleh dilakukan oleh golongan ini? Melanie memberitahu situasi itu bukanlah 100 peratus negatif sebaliknya seseorang itu boleh belajar mencintai diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain. Dengan cara itu katanya, dapat membuatkan seseorang lebih mudah menerima kehadiran orang lain dalam hidup mereka.