suria

Ludah kahak di butang lif, bayangkan aksi lebih teruk yang tak dirakam... dah lupa adab ke?

Di saat petugas kesihatan bertungkus lumus melumpuhkan penularan wabak Covid-19 ada segelintir pihak bersikap biadab dengan meludah ke arah panel butang lif.

MEREMANG bulu roma teman menonton video tular yang menunjukkan seorang lelaki meludah ke arah panel butang lif di sebuah pangsapuri.

Langsung tiada perasaan bersalah teman tengok tindakan biadab lelaki tersebut. Di mana agaknya kewarasan dan akalnya ketika sesuka hati meludah merata tempat seperti itu?

Tertanya-tanya juga teman, sama ada individu tersebut sedar atau tidak mengenai penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara kita ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih Sugu dan Pavithra, kamu buka mata teman tentang erti kebahagiaan!

Tak dapat teman bayangkan orang yang tersentuh kesan ludah lelaki itu dan menyebarkannya ke tempat lain pula selepas itu!

Keraplah mencuci tangan anda menggunakan sabun bagi membunuh kuman.

Kerana sikap tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri seperti lelaki itulah membuatkan kita perlu sentiasa berwaspada dan melindungi diri terutamanya dengan situasi sekarang.

Itu kejadian yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV)! Cuba bayangkan entah berapa banyak lagi jenis manusia seperti lelaki tersebut atau mungkin ada lebih teruk yang tidak dirakamkan?

Berfikir mengenainya sahaja membuatkan teman rasa kecut perut! Itu belum lagi bercakap mengenai peningkatan kes Covid-19 yang sehingga Isnin sebanyak 553 kes dicatatkan.

Kita perlu kecut perut! Sudah tiba masanya kita lebih berdisiplin dan mengambil serius semua saranan pencegahan yang tidak jemu-jemu disampaikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hampir setiap hari!

Petugas di hospital terpaksa merisikokan diri demi memastikan penularan Covid-19 terkawal.

Jangan ada perasaan bahawa kita tidak akan dijangkit wabak itu - ambil pengajaran tindakan lelaki biadab itu meludah merata tempat yang mungkin membawa pelbagai virus bersamanya.

Kita perlu mulakan perubahan dan mungkin anda sudah jemu mendengar mengenai perkara ini tetapi pakailah topeng muka, kerap cuci tangan dengan sabun atau guna hand sanitizer bagi melindungi diri anda daripada risiko jangkitan.

Tahanlah diri anda daripada godaan segala jenis promosi tiket penerbangan terutamanya ke destinasi yang mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.

Kebetulan kini musim cuti sekolah; cubalah elak berkunjung ke kawasan tumpuan orang ramai kerana rasanya tidak berbaloi meletakkan diri anda dan keluarga kepada risiko jangkitan.

Rasanya jika anda memberi penjelasan sebaik mungkin kepada anak-anak mengenai situasi semasa ketika ini, mereka juga akan faham.

Sebaik-baiknya elakkan berkunjung ke tempat tumpuan dan ramai orang.

Jagalah adab kita juga apabila berada di tempat awam yang bukan sahaja dapat melindungi diri anda tetapi orang lain.

Paling penting dalam hal ini, teman cukup berasa kasihan dengan semua petugas di hospital termasuk doktor, jururawat, pembantu perubatan, sukarelawan yang meletakkan diri mereka dalam situasi bahaya setiap hari bagi memastikan semua pesakit mendapat rawatan sewajarnya.

Tak dapat teman bayangkan perasaan mereka ini yang terpaksa mengorbankan diri demi masyarakat, bekerja lebih masa sehingga terpaksa mengabaikan keluarga sendiri - malah mendedahkan keluarga mereka kepada bahaya Covid-19.

Jika kita semua ada perasaan kasihan kepada 'hero' kita ini, marilah sama-sama kita jaga kesihatan dan keselamatan diri agar kita tidak menjadi beban kepada mereka.

Ini sekali gus dapat mengurangkan kes penularan wabak itu di negara kita.

Artikel Lain