SETAKAT Khamis, sebanyak 235 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Malaysia menjadi keseluruhan dijangkiti virus itu sebanyak 2,031 kes. Negara turut mencatatkan 23 kematian akibat wabak merbahaya itu. Ekoran itu juga, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini kepada 14 April depan. Lanjutan perintah itu dibuat bagi memastikan rantaian penyebaran wabak itu dapat dihentikan sepenuhnya dan ia disambut baik oleh rakyat. ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! PM umum lanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April Pun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang terus berdegil dan keluar rumah tanpa tujuan selain ada yang melepak bersama rakan-rakan serta bersenam di tempat terbuka. Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Samhan Awang berkata, sekiranya rakyat negara ini masih berdegil untuk mengikut arahan dikeluarkan ia boleh menyebabkan gelombang ketiga wabak itu. Jika itu berlaku kata Dr. Samhan, ia mungkin sudah terlambat dan akan memberi kesan mendalam kepada seluruh negara termasuk tiga perkara ini; Paling terkesan adalah barisan hadapan yang memberi perkhidmatan merawat pesakit. 1. Barisan hadapan akan lumpuh Dr. Samhan memberitahu sekiranya wabak Covid-19 sudah tidak terkawal ia akan memberi kesan kepada petugas barisan hadapan terutamanya doktor dan jururawat. Ini termasuklah staf akan dijangkiti apabila individu yang positif tidak memberi maklumat dan sejarah yang betul ketika hadir membuat saringan. Apabila senario itu terjadi maka kaki tangan barisan hadapan tidak mencukupi, beban itu pula akan ditanggung oleh orang lain. Tidak mustahil katanya, jika semua frontliner lumpuh, tugas itu akan diambil oleh orang bukan berkelayakan merawat pesakit. Apabila pesakit sudah terlalu ramai, ia boleh menyebabkan kekurangan peralatan sokongan. 2. Kekurangan peralatan sokongan Disebabkan peningkatan terlalu tinggi, sekiranya penularan wabak itu tidak dibendung, ia boleh menyebabkan kekurangan peralatan sokongan termasuklah ventilator (alat bantuan pernafasan di ICU). "Harus diingat, kita bukan hanya ada kes Covid-19 di ICU malah pesakit-pesakit dengan penyakit lain seperti lemah jantung, strok - mereka ini juga memerlukan katil dan ventilator di ICU. "Kita mempunyai sampel yang banyak dan perlu disaringkan. Pada satu tahap ini akan menyebabkan kita kehabisan peralatan sokongan dan apabila berlakunya lambakan kes kita terpaksa pilih siapa patut hidup atau mati. "Biasanya, kita akan berikan alat pernafasan ini kepada orang yang ada potensi untuk lebih tinggi untuk hidup. Andai kata itu adalah ibu atau bapa kita... Adakah kita mahu perkara itu berlaku?" katanya. Kita harus mengambil iktibar mengenai penularan wabak Covid-19 di Itali yang sudah tidak terkawal. 3. Gelombang ketiga Perkara paling dirisaukan kata Dr. Samhan adalah gelombang ketiga wabak berbahaya itu. Jika ia berlaku katanya, ia pasti lebih teruk dan meletakkan harapan kita pada tahap nipis. Apabila kes meningkat secara mendadak, dikhuatiri negara tidak mampu lagi membendung penularan virus tersebut. Mengambil Itali sebagai contoh, negara itu tidak mengambil langkah pencegahan yang betul selain rakyatnya tidak memberi kerjasama yang akhirnya memperlihatkan peningkatan mendadak kes setiap hari selain ribuan kematian. "Berbeza di Wuhan, China, mereka sekarang sudah mampu membanteras Covid-19 kerana mereka bekerjasama di antara frontliner dan masyarakat yang duduk dirumah bagi mengelak virus itu terus tersebar. "Kuarantin sangat penting supaya kita tak jadi agen penyebar kerana kita sendiri tidak tahu sama ada sudah dijangkiti atau sebaliknya," ujarnya. Atas kepentingan itu kata Dr. Samhan, beliau menasihati rakyat negara ini agar memberi kerjasama terhadap Perintah Kawalan Pergerakan yang dibuat kerajaan agar rantaian penularan wabak itu dapat dihentikan. "Asingkan diri anda, ikut peraturan yang dikeluarkan kerajaan," katanya yang turut menyifatkan bencana itu sebagai ujian Allah agar masyarakat bekerjasama dan meningkatkan ketaqwaan kepada-Nya.