suria

Pelajar Malaysia di luar negara ini pilih untuk pulang... anggap ditanggung 14 hari check-in hotel mewah bukan keistimewaan - “Tentunya untuk kebaikan semua”

Amni Zulaikha Zamri memberitahu meskipun duduk di hotel mewah itu bukan bererti dia dapat berseronok sebaliknya tetap ada rasa bimbang sepanjang tempoh 14 hari di kuarantin.

SEJAK Jumaat lalu, semua penumpang yang masuk ke negara sama ada menerusi jalan darat, udara mahupun laut wajib menjalani tempoh isolasi di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Kesemua mereka yang tiba di pintu masuk negara akan terus dibawa ke pusat kuarantin dengan menaiki bas selepas menjalani prosedur imigresen.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada yang terkecuali... semua yang masuk ke Malaysia akan ‘dijemput’ jalani tempoh kuarantin

Sebuah pasukan khas turut diwujudkan yang berperanan mengendalikan dan menguruskan semua rakyat yang ditempatkan di pusat kuarantin termasuk makan minum mereka sepanjang tempoh 14 hari mengasingkan diri.

Setakat ini, 112 hotel bertaraf tiga bintang ke atas dalam proses diwartakan sebagai pusat kuarantin untuk mereka yang baru pulang dari luar negara dan kerajaan membiayai kos RM150 sehari bagi setiap individu.

Amni memberitahu dia mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia selepas penularan Covid-19 di England semakin membimbangkan.

Lebih baik kuarantin di negara sendiri

Bagi Amni Zulaikha Zamri, sejak pengumuman itu dibuat, dia maklum perlu mematuhi segala prosedur ditetapkan kerajaan dan menyifatkan ia sebagai tindakan tepat bagi mengelak sebarang masalah lain di masa hadapan.

Amni, 22, memberitahu dia membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia kerana bimbang berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin tidak terkawal di England.

Kata penuntut Universiti Sheffield Hallam di South Yorkshire itu, meskipun banyak langkah keselamatan telah diambil oleh kerajaan di sana, namun kebanyakan masyarakatnya masih ingkar dan menjalani kehidupan seperti tiada apa berlaku.

"Ada yang masih berkunjung ke pub dan bersiar-siar seperti tiada apa berlaku walaupun peningkatan kes Covid-19 di sana semakin membimbangkan.

Pihak hotel menyediakan makanan sebanyak tiga kali sehari.

"Apabila melihat senario itu, saya jadi gelisah tambahan pula saya seorang diri di sana... Atas sebab itu saya ambil keputusan untuk pulang ke tanah air.

"Sekurang-kurangnya, jika ada apa-apa berlaku pun, saya dekat dengan keluarga," kata siswi peringkat sarjana muda dalam bidang perhubungan awam dan media di universiti berkenaan sejak September 2019.

Hotel memang mewah tapi tak boleh buat apa pun!

Selepas menempuh penerbangan hampir 14 jam dan menyaksikan suasana sepi di Lapangan Terbang Heathrow, anak kelahiran Klang, Selangor itu akhirnya tiba di tanah air dan kini ditempatkan di Sunway Resort Hotel & Spa di Petaling Jaya sejurus tiba dari London, 6 April lalu.

Meskipun rezekinya ditempatkan di sebuah hotel mewah, Amni menganggap ia bukanlah satu keistimewaan kerana ketika ini dia sentiasa berdoa agar bebas daripada wabak tersebut.

Suasana bilik hotel Amni di Sunway Resort Hotel & Spa di Petaling Jaya.

"Alhamdulillah selesa dan kami yang ditempatkan di hotel ini dijaga dengan baik, cumanya perlu mengikut peraturan ditetapkan termasuklah tidak dibenarkan meninggalkan bilik.

"Makanan pula diberi tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Setakat ini semuanya dalam keadaan baik," ujarnya.

Menceritakan aktiviti hariannya ketika ini, Amni memberitahu dia banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen selain menelaah pelajaran serta membaca perkembangan semasa Covid-19 di seluruh dunia.

"Bosan itu ada juga tetapi saya akur kerana perintah kuarantin ini adalah untuk kebaikan saya dan semua. Apa-apa pun saya banyak sibukkan diri walaupun aktiviti yang boleh dilakukan sangat terhad," katanya yang kerap berhubung dengan keluarga menerusi telefon.

Amni (kanan) bersama ibu, Minarni serta ahli keluarga pada sambutan Aidilfitri lalu. 

Jangan bimbang perkara yang belum berlaku

Seperti Amni, Ahmad Hariz Anuar, 20, juga membuat pilihan untuk kembali ke Malaysia selepas hampir tiga tahun melanjutkan pengajian di Pesantren Fatahillah Ibnu Nizar yang terletak di Desa Sumberkerang Daerah Gending di Wilayah Probolinggo, Indonesia.

Hariz yang kini ditempatkan di Hotel Hilton, Petaling Jaya memberitahu meskipun terasing daripada masyarakat luar, namun dia menganggap kuarantin ini sebagai waktu untuk dirinya lebih mendekatkan diri kepada Allah serta membaca al-Quran.

"Terkejut juga apabila ditempatkan di hotel mewah seperti Hilton tetapi tiada apa boleh dilakukan selain perlu mengasingkan diri dalam bilik.

"Perasaan tertekan itu tiada kerana saya selalu ingat pesan ustaz sebelum pulang supaya jangan takut atau bimbang dengan perkara yang belum berlaku.

Hariz (dua dari kiri) tidak berasa tertekan terpaksa dikuarantin sebaliknya menggunakan peluang ini untuk tingkatkan ibadah.

"Sebaik-baiknya gunakan kesempatan yang ada ini untuk terus tingkatkan ketaqwaan kepada Allah dan berdoa agar semua urusan kita dipermudahkan," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Yang pasti, sebaik kedua-duanya menjejakkan kaki ke tanah air, ibu bapa serta keluarga masing-masing bersyukur kerana segalanya dipermudahkan.

Ibu kepada Amni, Minarni Mat Saad misalnya mengikuti perkembangan anaknya setiap hari dan lebih menarik bekas editor di sebuah akhbar perdana ini sentiasa meletakkan hal berkaitan anak sulungnya itu sebagai topik utama ketika mengemaskini posting di media sosialnya.

"Lega bila dapat tahu dia ada di Sunway Resort tu, rezeki dia la... walaupun suspens juga dalam masa 14 hari itu, sekurang-kurangnya dia dah ada di sini," katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, wabak Covid-19 ini membuatkan anaknya lebih menghargai Malaysia apabila Amni lebih tenang sebaik tiba di tanah air.

Hariz bersama ibunya, Raja Tatina.

"Bukan itu sahaja, Amni juga lebih menghargai keluarga, masyarakat dan kerajaan yang prihatin dan semuanya itu hanya ada di sini," katanya yang tidak sabar menanti saat dapat bertemu anaknya itu dan tentu sekali menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri bersama.

Sementara itu, ibu kepada Hariz, Raja Tatina Raja Musa yang bertugas di sektor swasta juga senada seperti Minarni yang ternyata lebih tenang apabila anaknya selamat tiba di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

"Duduk diam-diam dalam bilik, jangan keluar sebab di luar semua ada CCTV di koridor," demikian ingatan yang dititipkan buat anak bongsunya itu.

Menerusi postingnya di laman Facebook, wanita ini meminta anaknya bersabar untuk tempoh dua minggu itu.

"You got your books, ada TV, ada phone, ada tingkap, ada katil, kerusi meja. Food deliverd. Sabar je lah 14 hari ni dik," katanya ringkas.

Artikel Lain