suria

Anda kerap sembelit? Umpama strategi bola sepak, formasi 2-4-2 antara tip bantu atasi masalah 'membuang' ketika puasa

Perubahan pola pemakanan ketika berpuasa boleh menyebabkan kita susah untuk membuang air besar.

PERASAN tak, setiap kali tibanya bulan Ramadan kita akan lebih susah 'membuang' walaupun menjamah pelbagai makanan ketika berbuka puasa.

Perkara itu sebenarnya berlaku disebabkan sistem pencernaan kita sedang melakukan penyesuaian memandangkan pola pemakanan kita bertukar.

Itu belum ditambah dengan kurangnya pengambilan makanan dengan serat, cecair dan faktor lain seperti tidak aktif ketika berpuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbuka dengan teh ais, teh tarik... Menyegarkan atau bahaya?

Sukar membuang air besar boleh membuatkan kita berasa tidak selesa tapi ada beberapa tip untuk kita lakukan agar sistem pencernaan dapat berfungsi seperti biasa.

1. Pengambilan makanan berserat tinggi

Makanan serat tinggi dapat melancarkan proses pencernaan dan hal ini disebabkan serat tidak dapat dihadam dan diserap oleh sistem pencernaan manusia.

Oleh sebab itu, serat akan memenuhi usus dan menimbulkan dorongan untuk membuang air besar. Ketika bersahur dan berbuka, banyak ambil makanan tinggi serat seperti kacang, sayur, gandum serta buah-buahan seperti kurma.

2. Kurangkan makanan rendah serat

Sepanjang Ramadan ini, sebaik-baiknya hindari makanan yang tidak berkhasiat, rendah serat seperti produk tenusu dan daging yang bukan sahaja boleh buat anda susah buang air tetapi mungkin penyebab cirit birit.

3. Banyak minum air putih

Air sangat penting buat manusia. Atas sebab itu, adalah penting untuk minum air secukupnya ketika berbuka sehingga waktu sahur bagi memastikan badan kita tidak mengalami dehidrasi.

Ia juga cukup membantu sistem pencernaan agar memudahkan proses membuang air besar.

Sebaik-baiknya, minumlah lapan gelas air sehari dan ketika Ramadan bahagikan kepada 2-4-2, iaitu dua gelas ketika berbuka, empat gelas ketika makan malam dan dua gelas semasa bersahur.

4. Kekal aktif

Sebaik-baiknya lakukan aktiviti harian anda seperti biasa dan kekal aktif. Ini kerana jika kita tidak berbuat apa-apa ia boleh memberi kesan kepada saluran pencernaan sekaligus menyebabkan anda sukar 'membuang'.

5. Jangan stres!

Apabila sukar buang air besar, mulalah rasa tertekan! Tapi tahukan anda stres adalah antara punca melambatkan kelancaran pencernaan anda? Sebab itu di bulan mulia ini, kita cukup dianjurkan melakukan pelbagai perkara bermanfaat.

6. Jangan tahan!

Apabila terasa hendak 'membuang' jangan ditahan-tahan! Menahan akan membuatkan sistem pencernaan anda terganggu disebabkan najis boleh menjadi keras dan sukar dikeluarkan.

7. Jadikan 'membuang' sebagai kebiasaan

Jika sebelum ini, kita akan membuang air besar pada waktu pagi, tapi kedatangan Ramadan apa kata cuba biasakan ke tandas selepas makan malam dan jadikan ia rutin.

Kenapa selepas makan? Ini kerana gerakan pada usus akan meningkat dan berpotensi untuk menimbulkan rangsangan membuang air besar.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain