KETIKA berpuasa, pola pemakanan kita akan berubah daripada kebiasaan termasuk menjamah makanan pada awal pagi (sahur) dan hanya boleh makan semula pada waktu Maghrib. Sepanjang tempoh berpuasa, ada sesetengah orang akan berasa tidak selesa dengan perut mereka hingga menyebabkan muntah. Apa sebenarnya penyebab kepada keadaan ini? Sebenarnya, muntah ketika berpuasa disebabkan sistem pencernaan kita sedang menyesuaikan diri dengan bentuk pola pemakanan kita yang bertukar. ARTIKEL BERKAITAN: Selain cepat haus, ada risiko lain jika kerap jamah menu pedas ketika sahur dan iftar! Muntah bukanlah perkara yang perlu anda bimbang tetapi jika ia terjadi secara berterusan dan boleh disebabkan perkara lain. Sebaik-baiknya ketahui punca muntah terutamanya ketika sedang berpuasa; 1. Makan berlebihan Salah satu penyebab muntah ketika puasa adalah kita makan berlebihan atau gelojoh ketika sahur. Perut tidak dapat menampung dan mencerna kuantiti makanan yang terlalu banyak, maka sistem pencernaan akan memaksa makanan keluar dari tubuh melalui muntah. 2. Makan makanan berminyak ketika sahur Makanan berminyak juga boleh memicu rasa ingin muntah ketika berpuasa. Ini kerana minyak mengandungi lemak yang tinggi. Pengambilan makanan berminyak boleh membuatkan perut berasa tidak selesa dan mual. 3. Makanan pedas Makanan pedas memang cukup nikmat dan membuka selera tapi banyak makan pedas pun masalah juga terutamanya ketika waktu sahur yang boleh menyebabkan perut tidak selesa dan muntah! Bagi yang memang sudah mengalami masalah perut seperti gastrik patut berhati-hati kerana ia boleh membuatkan anda mual dan muntah. 4. Terus tidur selepas sahur Terus tidur selepas sahur boleh menjadi penyebab kepada rasa mual sehingga membuatkan anda muntah ketika berpuasa. Muntah mungkin kedengaran seperti perkara remeh tetapi menjaga pemakanan dan kesihatan ketika berpuasa sangat penting bagi memastikan badan kita sentiasa segar dan bertenaga menjalani ibadah itu. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mstar!