suria

Cuaca sejuk tapi tidur berpeluh... Ini 4 sebabnya

Pasti di antara kita yang pernah mengalami masalah berpeluh ketika tidur dan tidak tahu puncanya.

PERASAN tak kadang-kadang badan kita akan berpeluh-peluh apabila terjaga pada waktu malam walaupun memasang penghawa dingin?

Tapi biasanya kita akan kata mungkin cuaca atau suhu penghawa dingin yang tak cukup kuat membuatkan kita berasa panas dan berpeluh-peluh.

Padahal keadaan itu sebenarnya menandakan kita sedang mengalami apa dipanggil hiperhidrosis ketika tidur dan bukannya disebabkan oleh faktor sekeliling seperti panas dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki rendah hormon seks testosteron berdepan risiko kematian lebih tinggi akibat Covid-19 - Kajian

Ia berlaku disebabkan oleh fluktuasi hormon dalam tubuh atau kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan dan ia memberi kesan kepada tidur seseorang.

Berpeluh ketika tidur boleh menyebabkan kita terbangun kerana berasa tidak selesa. Tapi apa pemicu kepada keadaan itu?

1. Menopause

Bagi wanita lanjut usia yang mengalami masalah itu, ia mungkin disebabkan berlaku perubahan hormon ketika proses menopause dan menurut kajian lebih 80 peratus wanita mengalami peluh ketika proses tamat haid.

Biasanya, menopause terjadi 12 bulan selepas seorang wanita datang haid terakhir sekitar usia 45 hingga 55 tahun.

Secara dasarnya, penurunan hormon estrogen yang terjadi membuatkan seseorang berpeluh apabila badan berusaha untuk mengatur suhu badan.

Jika perkara ini berlaku, sebaik-baiknya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat selain ubat-ubatan bagi menggantikan estrogen dalam badan.

2. Badan melawan jangkitan kuman, bakteria

Sementara itu, jika badan kita terkena jangkitan kuman atau bakteria, badan kita akan menaikkan suhu badan untuk melawan jangkitan yang menyebabkan demam.

Peningkatan suhu badan ini juga menyebabkan berpeluh sehingga membuatkan seseorang berasa tidak selesa.

3. Kemurungan

Tidak hanya itu, individu yang mengalami masalah kemurungan dan mengambil ubat-ubatan seperti antidepresan boleh menyebabkan berpeluh ketika waktu malam.

4. Diabetes

Bagi pesakit diabetes yang mengambil ubat seperti Metformin atau insulin akan mengalami masalah berpeluh di waktu malam kesan daripada ubat.

Tetapi ia juga boleh disebabkan faktor kekurangan gula dalam tubuh dan menyebabkan berpeluh-peluh selain menggeletar atau dalam kes buruk, pengsan.

Jika anda mengambil ubat-ubatan menyebabkan berpeluh, adalah disarankan untuk tidur memakai pakaian nipis atau memastikan bilik sentiasa sejuk atau mempunyai pengaliran udara yang bagus.

Persoalan lebih penting, perlukan kita risau dengan situasi itu? Pakar memberitahu kita tidak perlu bimbang kerana ia adalah keadaan biasa terutama kepada individu yang bergantung kepada ubat tertentu.

Bagaimanapun sekiranya terdapat gejala lain seperti demam, penurunan berat badan atau perubahan nafsu makan sebaik-baiknya berjumpa doktor untuk mendapat kepastian lanjut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain